saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 15/09/2009

Solo, band jalan seiring - Tomok


TOMOK bakal muncul dengan album solo tidak lama lagi.


SEJAK menjuarai One In A Million musim ketiga (OIAM3) pada Mei lalu, rezeki Shah Indrawan Ismail atau popular dengan panggilan Tomok bagaikan mencurah-curah.

Namanya yang satu ketika agak tenggelam selepas melalui fasa populariti bersama New Boyz, kini kembali menghangatkan dunia muzik tanah air.

Bagaikan menjawab persoalan terhadap judul lagu Sejarah Mungkin Berulang yang pernah mengangkat nama New Boyz satu ketika dahulu, Tomok tidak lupa berdoa agar rezeki sentiasa memihak kepadanya.

Bergelar 'jutawan seni' dengan muncul sebagai artis pertama menjuarai OIAM, Tomok ketika ini sibuk menyiapkan album solo pertamanya.

Dijangka memuatkan antara tujuh ke 10 buah lagu, bukan hanya album, kemenangannya dalam OIAM memberi seribu satu rahmat buat diri Tomok.

Selain dapat mengembalikan populariti, Tomok mampu berbangga apabila dapat memiliki barisan peminat yang baru.

Kalau dahulu, khalayak peminatnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja, tatkala ini, dia mula diminati golongan dewasa yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Itulah rezeki namanya dan ia pasti akan datang andai seseorang itu berani untuk melakukan sesuatu perubahan dalam hidup.

Bagaimanapun, sedang Tomok 'enak' melayari medan hiburan secara solo, ramai yang mempersoalkan tentang kedudukan New Boyz pada waktu ini.

Pelbagai pihak membuat telahan bahawa New Boyz sudah pun berkubur dan dipinggirkan sendiri oleh Tomok selaku vokalis utamanya.

Telahan-telahan itu muncul apabila Tomok sering kelihatan berseorangan ketika menghadiri aktiviti-aktiviti membabitkan hiburan tanpa ditemani rakan-rakan New Boyz.

Fokusnya untuk muncul dengan album solo juga sedikit sebanyak menguatkan lagi dakwaan berkenaan.

Sungguhpun begitu, bagi Tomok, dia sendiri tidak pernah mengenepikan New Boyz biar dikatakan sudah mampu untuk bergerak secara solo.

Masih meletakkan New Boys sebagai keutamaan, Tomok berkata, kariernya selaku penyanyi solo dan vokalis New Boys berlangsung secara seiring.

"New Boyz masih ada. Saya tidak akan menyisihkan New Boyz kerana saya dan rakan-rakan membesar dengan band itu. Kami mempunyai perancangan sendiri untuk menggerakkan New Boyz.

"Bagi saya pula, antara band dan solo, kedua-duanya seiring. Namun, buat masa ini, saya terpaksa memfokus kepada album solo yang termaktub selepas menjuarai OIAM.

"Namun, dalam memastikan yang mana akan bergerak, semuanya bergantung kepada persembahan. Kalau memerlukan band, saya akan bawa New Boyz,'' katanya ketika ditemui di majlis rakaman Melodi Raya di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Selain Tomok dan Zack selaku anggota lama, New Boyz kini dianggotai dua ahli baru iaitu Ristoe dan Afiez.

Ujar Tomok, disebabkan fokusnya ketika ini kepada album solo, New Boyz akan digerakkan kembali dengan aktif sejurus selepas album solonya dipasarkan nanti.

"Sebenarnya, kami memang sudah bincang soal band sebelum saya menyertai OIAM lagi. Kalangan ahli memang memahami niat saya memasuki pertandingan realiti itu.

"Sedikitpun tidak ada perasaan cemburu kalangan mereka. Apa yang membuatkan saya terharu, mereka sentiasa memberikan sokongan sepanjang saya di dalam OIAM,'' kata Tomok.

Ditanya mengenai album solonya, Tomok memberitahu, ia mungkin akan dipasarkan selepas Aidilfitri ini.

Masih belum menemui judul bersesuaian, album itu berkonsepkan pop rock dengan mendapat sentuhan beberapa komposer terkenal termasuk karya ciptaan seorang anggota New Boyz iaitu Afiez.

"Insya-Allah, saya juga akan mencipta sebuah lagu untuk album ini. Semua lagu-lagu saya berbincang dengan syarikat rakaman (Monkeybone) sebelum dimuatkan dalam album,'' katanya.

Enggan bicara soal cinta

Kata ramai orang, kalau sudah berjaya, sudah tentu Tomok akan dikelilingi oleh ramai wanita yang ingin mendambakan cintanya kepada jejaka berusia 25 tahun itu.

Pada usia 25 tahun, paling kurang, Tomok sudah tentu bersedia untuk menyunting sekuntum bunga bagi menjadi penyeri dalam hidupnya.

Bagaimanapun, bagi Tomok, buat masa ini, dirinya lebih selesa berbicara tentang kerjaya berbanding cinta dan perkahwinan.

"Sekarang ini, saya lebih suka cerita soal kerjaya. Kawan-kawan memanglah ramai. Tunggulah apabila tiba masanya nanti saya akan cerita soal kahwin pula,'' jelasnya sambil ketawa kecil.

Lebaran cara Tomok

Sementara itu, ditanya tentang kelainan raya pada tahun ini selepas bergelar jutawan, Tomok memberitahu, seperti tahun-tahun sebelum ini, segala persiapan berhubung lebaran dilakukannya secara sederhana.

"Saya akan bercuti antara tiga hingga empat hari. Semua persiapan sudah siap dilakukan. Tidak ada bezanya raya tahun ini.

"Saya tidak mahu membazir. Seperti biasa, saya sekeluarga akan pulang ke Rembau dan Palong, Negeri Sembilan,'' jelas Tomok yang merupakan adik kepada Isma, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.