saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 16/09/2009

Pecah dan perintah II: Hubungan Malaysia-Indonesia

MINGGU lepas saya membincangkan satu teori mengenai strategi pecah dan perintah atau pecah dan tawan yang mungkin sedang berlaku secara sedar atau di bawah sedar dalam sistem politik tanah air sekarang.

Orang Melayu berpecah dan membenci antara satu sama lain - serta membenci kaum-kaum lain yang berada di negara ini. Kesimpulan saya ialah, jika ini terus berlaku orang Melayu akhirnya akan diketepikan, tidak dipedulikan dan terpaksa melukut di tepi gantang. (Ikuti di www.utusan.com.my bagi membaca Cuit bertajuk Strategi pecah, perintah dan tawan pembangkang?)

Strategi ini juga boleh dilakukan ke atas negara-negara dan antara-negara. Ia adalah satu strategi yang dilakukan oleh pihak penjajah dan kolonial beratus-ratus tahun lalu - termasuklah ke atas Tanah Melayu oleh British, oleh Sepanyol dan Amerika ke atas Filipina dan gugusan kepulauan Sulu, Israel dan Amerika di kalangan negara Arab, Pakistan dan banyak lagi.

Antara strategi yang dilakukan ialah mempengaruhi pihak pemerintah yang mempunyai sekutu lain supaya menyebelahinya. Ia harus dilakukan secara terus terang, halus atau kasar. Jika cara terus terang tidak boleh dilakukan, atau sukar, atau mustahil - maka strategi lain akan dilakukan.

Strategi itu ialah melalui pegawai-pegawainya; dan jika itu pun tidak boleh dilaksanakan ia akan terus kepada rakyat. Di zaman sekarang, NGO atau juga disebut sebagai pertubuhan bukan kerajaan ialah organisasi yang paling efektif yang boleh dipengaruhi bagi melaksanakan strategi pecah dan perintah ini.

Apakah hubungan dingin antara rakyat Indonesia ke atas Malaysia sekarang ada kaitan dengan ini semua?

Kita kaji susur galur kedua-dua negara itu dulu.

Hubungan Malaysia-Indonesia ialah hubungan tradisi. Ia telah berlangsung sejak zaman Sriwijaya pada abad ke-7. Sejarah Melayu mengisahkan asal usul raja-raja Melayu, yang dirujukkan kepada Kesultanan Melaka yang mewarisi Kerajaan Sriwijaya, ia mengisahkan betapa permulaan sistem raja-raja Melayu adalah di Bukit Siguntang di Sumatera, atau disebut juga sebagai Seri Andalas.

Sejak itu hubungan rakyat dengan rakyat telah terjalin. Orang Malaysia dan Indonesia menyifatkan hubungan mereka sebagai hubungan serumpun. Serumpun bermakna serupa, sama atau dalam ikatan yang satu.

Orang Melayu telah berasimilasi sejak zaman-berzaman dengan keturunan Jawa, Bugis, Aceh, Boyan (Bawean), Mendaling, Banjar, Minang yang menyeberang ke Tanah Melayu. Mereka hidup sebagai satu bangsa yang kemudiannya diiktiraf sebagai bangsa Melayu Malaysia atau bumiputera. Uniknya, keturunan akar Indonesia ini masih mengamalkan loghat bahasa asal sesama mereka. Koloni etnik keturunan Indonesia ini banyak tertumpu di Johor, Selangor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

Mereka ini kemudiannya menjadi tokoh-tokoh terpenting Malaysia dari segi ekonomi, sosial dan politik. Malah banyak juga keturunan kesultanan di Malaysia berasal susur galurnya dari tanah seberang.

Orang Malaysia dan Indonesia menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca bahasa pertuturan mereka. Bahasa itu dituturi oleh lebih 300 juta orang di rantau Nusantara ini.

Kedua-dua rakyat Malaysia-Indonesia mengamalkan agama yang sama iaitu Islam dan kebudayaannya juga hampir sama.

Pada sekitar 1980-an sehingga kini, berlaku penghijrahan beramai-ramai rakyat Indonesia ke negara ini. Ia adalah satu eksodus ekonomi yang belum pernah berlaku - apabila mereka memasuki ke negara ini secara sah atau pun tidak bagi membantu membangunkan negara ini. Orang Indonesia terkenal dengan kerja lasak mereka. Orang Indonesia digunakan untuk kerja-kerja pembinaan. Banyak bangunan besar yang berdiri hasil kemakmuran Malaysia, dilakukan oleh buruh-buruh kontrak Indonesia.

Pendek kata, hubungan dua-hala Malaysia-Indonesia tiada masalah.

Kuasa-kuasa asing melihat bahawa Malaysia-Indonesia ialah satu kuasa serumpun yang kuat. Kuasa itu boleh dilihat dalam pelbagai bentuk sama ada kuasa ketenteraan, kuasa manusia, kuasa ekonomi malah kuasa pendidikan dan budaya.

Kedua-dua negara ini mempunyai kuasa, jika mereka bersekutu.

Pada sekitar 1980-an Malaysia dan Indonesia mempunyai dua tokoh yang terlalu kuat kuasa mereka. Malah negara-negara lain di kalangan ASEAN amat menghormati kedua-dua kuasa ini.

Kedua-dua kuasa ini iaitu Dr. Mahathir-Suharto diiktiraf sebagai pengimbang kepada rantau ini.

Namun, ada pihak yang tidak senang dengan perkembangan itu. Kuasa asing melihat kedua-dua tokoh ini adalah ancaman kepada mereka atau sekutu mereka atau individu yang mahu diangkat oleh mereka. Dr. Mahathir dilihat sebagai tokoh yang amat lantang menentang Barat.

Barat amat berharap Mahathir dapat dijatuhkan, secara dalaman atau luaran, melalui tekanan-tekanan tertentu. Masanya amat bertepatan sekali apabila berlaku krisis politik Mahathir-Anwar yang memperlihatkan Anwar mendapat sokongan Barat yang terlalu kuat.

Sebagaimana yang semuanya sudah tercatat dalam sejarah, laungan reformasi telah ditiupkan oleh 'unsur-unsur' tertentu ke dalam Indonesia dan kemudiannya dibawa ke Malaysia.

NGO-NGO telah diwujudkan dan dibiayai. Ia dibiayai melalui pelbagai cara oleh pihak luar. NGO-NGO ini kemudiannya bergerak aktif membawa mesej antikerajaan dan anti-Mahathir di Malaysia dan anti-Suharto di Indonesia. Media alternatif menerusi Internet dilancarkan bagi mengasak.

Akhirnya Dr. Mahathir jatuh, begitu jugalah Suharto. Sehingga ke hari ini banyak NGO masih mendapat pembiayaan daripada pihak-pihak tertentu secara langsung dan tidak. Di Indonesia, banyak NGOnya yang mendapat bantuan kewangan daripada pihak-pihak luar. Tidak perlulah disebut siapa dan negara mana yang membiayai, tapi banyak yang dibiayai. Ada antaranya NGO keagamaan, NGO yang memperjuangkan kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan sebagainya.

Dana-dana ini disalurkan atas alasan bagi membiayai latihan dan operasi organisasi itu.

NGO ini boleh dimanupulasi untuk kepentingan pembiayanya. Siapakah pembiaya ini? Tidak perlulah disebut di sini, namun pembiaya ini juga boleh masuk ke dalam sesebuah organisasi korporat melalui pembelian saham. Media-media dan beberapa stesen televisyen di Indonesia dikatakan sering melancarkan serangan ke atas Malaysia dalam isu-isu yang terlalu remeh-temeh. Apakah media mereka juga sudah dikuasai?

Isu tarian Pendet Bali dibesar-besarkan oleh media Indonesia dan NGO-NGOnya sehingga membangkitkan kemarahan rakyatnya. Blog-blog yang tidak tahu siapa miliknya melancarkan serangan 'ganyang' ke atas Malaysia.

Pendemonstran, yang biasanya dibayar untuk kerja-kerja tunjuk perasaan di Indonesia melancarkan slogan Sweeping Malaysia (sapu orang Malaysia) - seakan-akan kebetulan sama bunyinya seperti "sweep the Malays" (sapu orang Melayu) semasa peristiwa 13 Mei 1969 dulu.

Benar seperti kata Setiausaha Agung Pusat Strategik Indonesia, Bagus Satriayanto dan Pensyarah Fakulti Kemanusiaan Universiti Indonesia, Dr. Yon Machmudi dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur kelmarin. (Lihat Utusan Malaysia Selasa 15 Sept. muka 25)

Mereka mendakwa ada negara lain yang tidak senang melihat keakraban hubungan Malaysia dan Indonesia sejak kebelakangan ini.

Bagus tidak menolak tanggapan bahawa negara yang mendalangi rasa kebencian segelintir rakyat Indonesia terhadap Malaysia merupakan sebuah negara dari rantau Asia Tenggara sendiri.

Jadi, jelaslah jika itu ada kebenarannya, maka tidak hairanlah strategi pecah, perintah dan tawan ini merupakan satu strategi yang masih berkesan dan boleh dilaksanakan.

Adakah apa yang berlaku di Malaysia kini dan kemudiannya dengan Indonesia itu adalah sebahagian daripada perancangan besar pihak-pihak tertentu bagi menanti saat-saat apa yang disebut mereka sebagai transition atau peralihan?

Politik rakyat Malaysia sedang melalui situasi itu. Negara Malaysia juga perlu dipecahkan dengan Indonesia, supaya kuasa kedua-duanya tidak kuat dan tidak menggugat sesiapa. Mungkin, ada yang takut kuasa Malindo ini menjadi besar dan gagah.

Jika betul ada tangan ghaib, siapa agaknya?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.