saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/09/2009

Semarak Syawal bersama Siti


TIGA beradik ini akan menghiburkan peminat mereka menerusi rancangan Konsert Sesuci Lebaran Datuk Siti Nurhaliza.


SETIAP kali tibanya Syawal, penyanyi tersohor ini merupakan antara yang menjadi rebutan dan pilihan semua stesen televisyen di negara ini bagi menghiasi program-program hiburan mereka.

Biarpun sudah berumah tangga, harus diakui aura dan karisma yang dimiliki oleh Datuk Siti Nurhaliza tetap utuh dan sekali gus membuktikan bahawa dia masih lagi relevan di dalam industri hiburan tanah air.

Dalam erti kata lain, untuk peminat-peminat setia Siti, kalau tiada kelibat penyanyi itu dalam mana-mana program untuk Syawal bagaikan tidak lengkap sambutan Aidilfitri mereka.

Untuk tahun ini, Siti akan muncul dalam dua program Syawal khusus untuk peminat dan penonton di mana kedua-dua program berkenaan mempunyai pendekatan yang berbeza serta akan ditayangkan untuk dua saluran yang berlainan.

Dua program yang dimaksudkan itu adalah Konsert Sesuci Lebaran Datuk Siti Nurhaliza akan bersiaran menerusi saluran Muzik Aktif (saluran 180, Astro) bermula pukul 9 malam.

Manakala Lentera Aidilfitri Datuk Siti pula akan ditayangkan pada hari raya kedua di saluran Astro Ria (saluran 104, Astro) pada pukul 4 petang.

Jelas Siti, dia gembira dan teruja apabila dapat melibatkan diri dalam dua program hiburan yang berbeza untuk dua saluran yang berlainan.

Bukan itu sahaja, dengan adanya dua program itu juga setidak-tidaknya peminat dapat menonton aksi dan persembahannya dalam dua suasana yang berbeza.

Untuk Konsert Sesuci Lebaran Datuk Siti Nurhaliza, Siti beraksi bersama artis-artis naungan SNP iaitu Saida, Saerah serta kumpulan Coda dan penyanyi yang semakin menempa nama, Aizat.

Bagi melengkapkan lagi perjalanan cerita untuk rancangan tersebut, ia turut menampilkan pelakon dan pelawak Louisa Chong sebagai pelakon undangan.

Program berbentuk muzikal itu diterbitkan oleh syarikat Siti sendiri iaitu Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) yang pertama kali menerbitkan rancangan untuk saluran hiburan yang dimiliki oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu.

Sementara itu, Lentera Aidilfitri Datuk Siti pula diterbitkan oleh Global Station Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh kakak ipar Siti, Zaiton Mohammad Jiwa dan menampilkan Faizal Tahir dan Saiful Apek sebagai artis undangan.

"Satu yang pasti, untuk kedua-dua program ini saya dapat bekerja dengan dua penyanyi baru iaitu Faizal Tahir dan Aizat yang amat saya kagumi bakat mereka.

"Lantas, apabila mereka bersetuju untuk sama-sama berkongsi pentas dengan saya untuk program istimewa seperti ini, saya melihatnya sebagai satu penghargaan kerana belum berpeluang untuk berbuat demikian sebelum ini," ujar Siti dalam nada teruja.

Mengulas tentang Konsert Sesuci Lebaran Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu memberitahu konsep dan ideanya datang dari pihak RTM sendiri yang mahukan sebuah program yang mampu menghidupkan suasana Hari Raya itu sendiri.

Lantas, dia bersama produksinya memikirkan sebuah konsep yang mempunyai jalan cerita yang menepati maksud Syawal itu sendiri iaitu tentang kemenangan dan kegembiraan.

Bukan itu sahaja, lagu-lagu yang ditampilkan juga bertepatan dengan konsep rancangan itu bagi menguatkan lagi jalan ceritanya.

Konsert Sesuci Lebaran Datuk Siti Nurhaliza mengisahkan tentang bagaimana kesedihan yang ditanggung oleh sekumpulan anak muda (kumpulan Coda dan Aizat) yang berada di perantauan dan tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung.

Namun, kesedihan itu tidak lama apabila jiran mereka (Siti, Saida dan Saerah) yang kebetulan hendak pulang ke kampung telah menjemput mereka untuk beraya bersama di kampung halaman mereka.

"Program ini juga merupakan satu platform untuk mengembangkan lagi bakat-bakat di bawah naungan SNP serta memperkenalkan lagu-lagu terbaru mereka.

"Tidak hanya menampilkan lagu-lagu raya tetapi juga lagu-lagu moden dan pop untuk melengkapkan lagi jalan cerita program ini," katanya yang turut menyampaikan lagu raya klasiknya, Sesuci Lebaran dalam rancangan itu.

Lagu raya lain yang disampaikan dalam Konsert Sesuci Lebaran Datuk Siti Nurhaliza ini ialah Dendang Perantau, Balik Kampung, Indah Beraya Di Desa dan Aidilfitri Di Alaf Baru.

Lagu-lagu lain yang ditampilkan adalah seperti Pergi oleh Aizat, Dicari Malam (Saida), Akhir Cinta (Saerah), Ku Percaya Ada Cinta (Siti Nurhaliza) dan Zapin Usik-Mengusik (semua artis).

Jika Konsert Sesuci Lebaran Datuk Siti Nurhaliza menampilkan suasana beraya di desa dengan rekaan set yang membangkitkan suasana Syawal itu sendiri, lain pula dengan Lentera Aidilfitri Datuk Siti.

Baik dari segi pemilihan lagu dan konsepnya, semuanya cukup berbeza sekali biarpun pasti ramai yang akan mempertikaikan rasionalnya konsep itu dipilih sempena Syawal.

Optimis

Masakan tidak, kehadiran para penontonnya yang hadir memakai gaun petang dan tuksedo serta ditambah pula dengan atmosfera yang seolah-olah membawa penonton ke sebuah kelab malam di tahun 50-an.

Secara ringkas, konsep glamor dan anggun dipilih untuk rancangan Lentera Aidilfitri Datuk Siti dan semuanya itu merupakan gabungan idea pihak Astro serta Global Station.

"Sekali-sekala, saya rasa tidak salah untuk menampilkan kelainan untuk sesebuah rancangan raya yang berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini.

"Malah, saya juga optimis dengan penerimaan peminat yang mungkin mahu melihat satu kelainan dan mereka dapat melihatnya menerusi rancangan ini.

"Begitu juga dengan lagu-lagu yang dipilih di mana semuanya adalah pop dan moden yang dilihat sesuai dengan konsep rancangan ini. Hanya sebuah sahaja lagu raya yang ditampilkan di penghujung rancangan ini," ujar Siti yang mengenakan dua pasang baju rekaan Rizman Ruzaini dan Lord's Tailor untuk rancangan tersebut.

Lentera Aidilfitri Datuk Siti pastinya akan menjadi sebuah rancangan yang akan ditunggu-tunggu kerana julung kalinya, Siti dan Faizal Tahir bersatu di atas pentas dan beradu kekuatan vokal masing-masing.

Kedua-dua penyandang gelaran augerah Vokal Terbaik Anugerah Industri Muzik ini berduet menerusi lagu Mahakarya Cinta dan Dialah Di Hati serta Lucky.

Ujar Siti, lagu Mahakarya Cinta sememangnya merupakan lagu yang cukup mencabar vokalnya dan dia perlu untuk menyesuaikan nada kunci suaranya agar dapat diseimbangkan dengan Faizal.

Apatah lagi, lagu ciptaan Audi Mok itu merupakan salah sebuah lagu yang cukup diminati Siti selain lagu Sampai Syurga dan Cuba.

"Gabungan saya dan Faizal juga adalah satu kelainan untuk program ini kerana kami belum pernah digandingkan bersama sebelum ini.

"Jujurnya, saya memang kagum dengan bakat Faizal dan saya tiada masalah untuk bekerja dengannya. Insya Allah, siapa tahu mungkin kami akan bekerjasama untuk dalam album pula," puji Siti sehinggakan Faizal di sebelahnya tertunduk malu.

Bagi Faizal pula, dia mengibaratkan peluang keemasan ini umpama bulan jatuh ke riba dan sememangnya dia terharu apabila dapat berduet dengan Siti.

Malah penyanyi, komposer dan penulis lirik itu sudah lama menunggu waktu untuk digandingkan dengan penyanyi yang dikaguminya itu.

"Saya bagai hilang kata-kata dan sehingga kini seperti tidak percaya apabila dapat beraksi bersama Siti dalam sebuah rancangan. Saya juga tidak dapat sembunyikan perasaan gementar kerana bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini.

"Saya kagum dengan bakat dan semangat jati diri Siti sehingga dia mampu meletakkan namanya di puncak tertinggi sehingga ke hari ini," ujarnya yang turut menyampaikan lagu Sampai Syurga dan Bencinta dalam rancangan itu.

Antara lagu-lagu yang disampaikan Siti dalam Lentera Aidilfitri Datuk Siti ialah Ku Mahu, Pastikan, Cintamu, Di Taman Teman serta lagu medley Apa Guna Berjanji dan Bosanova.

Selain itu, Siti, Faizal dan Apek turut bergabung menyampaikan lagu-lagu seperti Suratan atau Kebetulan dan Menjelang Hari Raya.

Selain itu, Siti juga akan muncul sebagai artis undangan dalam rancangan Jangan Lupa Lirik! Raya! Raya! Raya! pada hari raya kedua pukul 6 petang di Astro Ria.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.