saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/09/2009

Baraan, Marhaban dan meriam paip

Pulang ke kampung di Batu Pahat dari Kuala Lumpur pada tahun 1968 untuk berhari raya merupakan satu perjuangan tersendiri. Pada masa itu, jarak antara bandar itu dengan Kuala Lumpur dirasakan lebih jauh daripada waktu ini.

Kesukaran pengangkutan menyebabkannya dirasakan lebih jauh. Masa itu belum ada banyak bas ekspres. Bagi laluan ke selatan dari Kuala Lumpur, bas ekspres yang ada ialah Kuala Lumpur-Melaka dan Kuala Lumpur-Singapura. kalau dapat tiket untuk menaiki Kuala Lumpur-Melaka pun sudah bertuah.

Tetapi seringkali sukar untuk mendapat tiket bas itu. Maka terpaksalah pulang ke kampung dengan menaiki bas sambung-sambung. Bas berhawa dingin tidak terfikir ketika itu. Iaitu mengambil bas henti-henti dari Kuala Lumpur ke Seremban, Tampin, Melaka, Muar dan Batu Pahat. Laluan bas menggunakan jalan negeri yang sempit dan bengkang-bengkok. Bagaimanapun, masa itu kenderaan tidak banyak. Di seluruh malaysia ketika itu, hanya ada satu lebuh raya, iaitu Lebuh raya Persekutuan yang menghubungi Kuala Lumpur dan Port Swettenham, nama lama Pelabuhan Klang.

Pada tahun 1968, jambatan Muar dan Batu Pahat belum dibina. Untuk menyeberangi Sungai Muar dan Sungai Batu Pahat, maka penumpang bas terpaksa turun dan menaiki bot penumpang, yang memakan masa untuk menunggunya.

Justeru perjalanan dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat memakan satu hari suntuk. Tetapi bukanlah kerana kesesakan lalu lintas kerana ketika itu kenderaan tidak banyak.

Dari bandar untuk masuk ke kampung juga adalah satu perjuangan. Dengan membawa beg-beg serta rangkaian anak-anak kecil, keluarga ini akan berjalan kaki pulang ke rumah datuk dan neneknya. Selalunya akan ada saja orang kampung berbasikal pulang. Dengan merekalah akan ditumpangnya menaiki basikal untuk sampai ke rumah datuk.

Menjelang raya di Parit Linau Besar adalah suatu yang amat meriah bukan saja bagi kanak-kanak tetapi juga orang dewasa. Walaupun hanya empat kilometer dari bandar batu Pahat, pada tahun 1968, kampung itu tidak mempunyai bekalan air ataupun elektrik. Semuanya mengharapkan air hujan yang ditadah dan disimpan dalam tempayan dan kolah.

Untuk mandi, kolam adalah tempatnya. Sental badan dengan sabut dan badan pasti berbau kelat air kolam dan parit.

Televisyen tentunya tidak ada. Bukan saja kerana tidak ada elektrik, orang kampung yang bergantung pada hasil kopi dan getah tentu tidak mampu untuk membeli janakuasa atau televisyen. Hiburan adalah melalui radio. Tetapi banyak anak muda di kampung itu yang pandai main gitar sendiri, ada kalanya atas gitar buatan sendiri. maklumlah zaman itu era kegemilangan pop yeh-yeh.

Radio

Pada malam raya berkumandang takbir di radio dan lagu raya oleh Saloma, P. Ramlee dan Ahmad Jais. Kalau hari biasa, rumah hanya diterangi dengan lampu pelita, sempena malam raya, masing-masing menggunakan lampu pam, selalunya cap kupu-kupu di mana minyak tanah dipam ke mentol kain untuk mendapatkan cahaya lebih baik berbanding pelita. lampu ini hanya dapat bertahan dari maghrib hingga ke pukul 10.

Namun begitu di seluruh kampung keindahan lampu pelita yang dipasang keliling rumah dan sepanjang jalan kampung memanjang mengikuti parit adalah amat permai bagi para penduduk. Suatu perasaan yang sudah tidak mampu untuk dinikmati pada hari ini.

Di pintu masuk kampung, anak-anak muda telah pun mendirikan pintu gerbang sempena raya. Pada malam raya, akan bercahaya di kelilingi lampu pelita. Sementara hampir di setiap rumah yang ada kanak-kanak akan dipasang tanglung buatan sendiri, macam-macam bentuk. Ada bulan bintang, masjid dan seumpamanya.

Pada masa itu, lagu raya yang menyebut "dam dam dum bunyi mercun'' oleh Saloma masih disiarkan. Di Johor ketika itu, Radio Singapura lebih popular daripada Radio Malaysia.

Mercun ada di setiap rumah. Bunga api hanya untuk budak-budak kecil yang belum bersekolah dan anak-anak perempuan. Lelaki mesti main mercun. Tetapi remaja dan belia tidak pandang mercun. mereka bermain meriam buluh. dalam banyak-banyak meriam buluh, akan ada anak muda yang membuat meriam paling besar dalam kampung itu.

Ini kerana kampung-kampung bersaing untuk mengeluarkan dentuman meriam buluh paling kuat. Untuk beberapa lama anak-anak muda kampung meredah belukar untuk mencari buluh paling ampuh bagi dibuat meriam. Tetapi tahun itu mereka berjaya menemui satu paip besi yang boleh dijadikan meriam. Ternyata bunyinya paling kuat dan mengalahkan semua kampung berhampiran.

Pada hari raya, sebelah paginya tentunya sembahyang raya, bertahlil di surau, kemudian menziarahi dan bermaafan dengan orang tua-tua: buyut, yayi, nyayi, wak, mbah dan paman. Dengan adik beradik: long, ngah, uda, utih, anjang, usu dan seumpamanya. Maka bertangis-tangisanlah ketika meminta maaf. Tertanya juga, banyakkah kesalahan mereka sampai menangis-nangis begitu sekali?

Yang pasti pada zaman itu, keseronokannya adalah makan dan bersembang, bergelak tawa. Tidak ada televisyen, komputer, psp, sms atau deringan telefon yang mengganggu kemeriahan perbualan. Kalau ada pun hanyalah majalah-majalah hiburan untuk dibaca bersama.

Bagaimanapun kemuncak hari raya di kampung adalah baraan. hampir semua penduduk kampung terlibat dengan baraan. Dengan berpakaian Melayu lengkap bersongkok rombongan ini akan bersalaman dengan tuan rumah dan kemudian berselawat dan marhaban sebelum makan kuih-muih. Setiap rumah di kampung itu akan dikunjungi, yang bermakna setiap orang kampung akan dapat bertemu dan bermaafan dalam amalan baraan ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.