saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/09/2009

Nostalgia lebaran di Singapura


MARIANI (kanan) diapit oleh Melissa (kiri) dan Ogy. Ketiga-tiga mereka merupakan pelakon tersohor tanah air.


WALAUPUN sudah 26 tahun berlalu, namun setiap kali menjelangnya Syawal kenangan meraikannya di Jalan Boon Teck [email protected] Ampas, Singapura masih segar di ingatan mereka yang pernah menetap di sana.

Biarpun kini kemeriahan raya tidak pernah berubah, namun ada ketika apabila kenangan menjelma ia bisa menitiskan air mata.

Apalagi kerinduan yang menebal di jiwa kadangkala membuatkan hati meronta-ronta ingin menjelma kembali di zaman itu biarpun ia adalah sesuatu yang mustahil.

Betapa tidak, 10 tahun beraya di sana bermula tahun 1953, seniwati veteran, Mariani Ismail sentiasa teringat suasana kemesraan dan kecoh para pelakon berkumpul di madrasah.

“Memanglah sekarang mummy (panggilan buat diri) beraya dikelilingi anak-anak, menantu dan cucu tetapi kadang-kadang apabila teringat beraya di sana, mummy boleh menangis.

“Bayangkan semasa menjadi artis Shaw Brothers kami ditatang bagai minyak yang penuh dan kami tidak dibenarkan keluar walaupun pada hari raya.

“Tetapi kami tidak pernah merasa sedih kerana selalunya selepas solat raya, kami seniman dan seniwati akan berkumpul di madrasah untuk beraya bersama bagaikan sebuah keluarga.

“Kami masing-masing membawa juadah raya untuk makan bersama. Setiap orang ada masakan istimewa mereka,” cerita seniwati berusia 76 tahun mengenai pengalaman beraya di zaman mudanya dulu.

Madrasah yang dibina oleh Allahyarham suaminya, H.M Rohaizad, lazimnya menjadi tumpuan seniwati dan seniman berkumpul meraikan lebaran.

Ini kerana ketika itulah mereka semua berpeluang berkumpul dan bertanya khabar serta bercerita pelbagai kisah lucu dan menarik yang jarang dapat dikongsi apabila masing-masing sibuk dengan kerja (penggambaran).

“Mummy selalunya bawa mi siam Singapore sebab kat sana mi siam mummy memang popular. Arwah Saadiah pula tak pernah tinggal dengan lontong dan sambal sotongnya.

“Tetapi Wak Mustardjo paling terkenal dengan sambal goreng dan sambal godok. Memang sedap, kalau sambal godok dimakan dengan ketupat atau lontong, boleh lupa berbual buat seketika.

“Selalunya kami berkumpul sampai waktu Zohor. Selepas itu, semua balik ke rumah masing-masing kerana selepas itu saudara mara dari luar akan datang mengunjungi kami pula,” cerita Mariani mengimbau kenangan lalu.

Bagaimanapun, apabila HM Rohaizad meninggal dunia pada tahun 1961 kerana serangan jantung, semua itu sudah berakhir.

Ini kerana tidak lama selepas itu, Mariani berkahwin kali kedua dengan Alias Ahmad, ayah kepada Melissa Saila pada akhir 1962.

Selepas berkahwin, Mariani terus berpindah ke Johor.

“Beraya di Boon Teck Road memang saat indah bagi mummy dan seniwati serta seniman-seniman semua. Kini tiada lagi gelak tawa mereka, cuma yang ada hanya kenangan yang tidak mudah dipadam,” kata Mariani.

Ogy teringat beraya dalam banjir

Berlainan pula bagi Fauziah Ahmad Daud, 47, atau Ogy apabila mengimbau kenangan dan suasana raya ketika di Jalan Ampas.

Bagi Ogy beraya di Boon Teck Road bersama anak-anak aktor S. Samsuddin dan Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarham Normadiah pada tahun 1970 merupakan momen paling indah dan menyeronokkan.

“Ogy memang tidak boleh lupa beraya dalam banjir. Masa itu umur Ogy lapan tahun. Ya Allah bestnya banjir. Ma bapa kita semua sibuk makan-makan dan berbual tapi...kami budah-budak ini sibuk main air,” cerita Ogy sambil ketawa kala mengimbau nostalgia beraya zaman kanak-kanaknya.

Menurut Ogy, walaupun banjir tetapi arwah ibunya tetap memasak hidangan istimewanya lontong, sambal kacang dan sotong untuk hidangan rakan-rakan artis lain.

“Selepas Zohor, bermulalah raya kami anak-anak seniwati dan seniman ini. Selalunya Ogy, Kak Ani, Azlina, Liza, Haris anak Pak Sudin dan anak-anak Ahmad Mahmud, Salleh Kamil dan Kassim Masdor akan beraya ke rumah datuk Ogy dan saudara mara kami yang lain.

“Selagi tak malam kami tak balik. Kami ni memang terkenal sebagai AJK collect (kumpul) duit raya dan selalunya pukul 7 malam barulah kami balik dengan membawa duit yang banyak.

“Bayangkan tahun 1970, kami masing-masing boleh dapat duit raya sampai RM300 sehari. Masa tu masing-masing jadi orang kaya baru,” cerita Ogy.

Menurut Ogy, selain pengalaman beraya dalam banjir, pengalaman lain yang sukar dilupakan ialah pakaian raya yang dibelikan oleh arwah ayahnya, Ahmad Daud.

“Selalunya setiap kali raya ayah belikan Ogy dan Kak Ani empat pasangan pakaian. Tetapi yang peliknya Ogy dengan Kak Ani bukannya kembar, tapi ayah selalu belikan kami baju sepasang. Kalau baju raya Ogy warna biru berbunga, Kak Ani pun sama,” cerita Ogy yang pelik dengan tindakan arwah ayahnya itu.

Kini kata Ogy setelah tujuh tahun arwah ayahnya tiada dan empat tahun ketiadaan ibu, raya baginya begitu sepi dan menyedihkan.

“Setiap kali raya, Ogy pasti teringat arwah ayah dan mummy. Sebenarnya kedua ibu bapa Ogy tidak pernah meminta apa-apa setiap raya, tetapi sebagai anak Ogy mesti belikan baju kurung dan Melayu untuk mereka.

“Kalau dulu pagi raya, Ogy mesti ikut ayah solat raya di masjid, kini kami adik beradik akan ke pusara mereka dan abang Bad (arwah Batt Latiff) selepas solat raya.

“Memang lain beraya tanpa mereka. Walaupun sedih tapi kami tetap memasak juadah yang menjadi wajib dalam keluarga kami, lontong dan sambal sotong,” cerita Ogy yang sehingga kini masih memakai baju kurung arwah ibu dan kain pelikat arwah ayahnya setiap kali tidur.

Menurut Ogy, walaupun ini tahun kedua dia beraya bersama anak kesayangannya, Nuraminah Aishah yang berusia setahun sembilan bulan, namun kebiasaan bersama adik beradiknya tidak pernah dilupakan.

“Kadangan-kadang Ogy hairan tengok Nuraminah, kecil-kecil lagi sudah pandai merasa pilu bila mengunjungi pusara. Bayangkan beberapa bulan lalu bila Ogy bawa dia menzirah pusara dia boleh menangis sambil memeluk batu nisan arwah mummy dan ayah,” cerita Ogy mengenai anaknya.

Lis warisi bakat ibu

Sementara itu, bagi Melissa, 37, ibu kepada tiga orang anak - Noor, 4, Zain (3) dan Zahrah (3 bulan) beraya bersama anak-anak adalah sesuatu yang membahagiakan.

“Dulu masa baru-baru kahwin dengan Megat Fauzi, Lis rasa beraya tidak banyak bezanya, cuma Lis sudah menjadi isteri.

“Tetapi sejak dikurniakan anak daripada seorang hingga kini sudah tiga, Lis dapat rasakan keseronokannya itu suka digambarkan dengan kata-kata.

“Disebabkan terlalu seronok nak menyambut raya dengan tiga orang anak, Lis sampai terlupa membeli persiapan raya untuk diri sendiri, sebaliknya hanya untuk anak-anak,” cerita Lis sambil tersenyum.

Menurut Lis, seperti tahun-tahun sebelumnya dia dan keluarga akan beraya di rumah mertuanya di Kuala Lumpur (KL) dan kemudian barulah ke rumah ibunya, seniwati Mariani.

“Tahun-tahun sebelum ini memang menjadi kebiasaan mummy beraya di Singapura dengan anak-anak di sana. Jadi apabila tahun ini mummy senyap aje, Lis ingat mummy akan sana.

“Tetapi mummy akan beraya di KL dan Lis akan teruskan tradisi Lis dan suami dengan mengunjungi rumah mertua. Kemudian barulah Lis beraya ke rumah mummy,” cerita Lis.

Bagaimanapun bagi Lis, raya tahun ini begitu menyeronokkan bukan sahaja mummynya akan beraya di sini, malah yang lebih bermakna dia sudah pandai masak mi siam Singapore.

“Lis memang suka belajar memasak dengan mummy. Mi siam Singapore mummy memang sedap. Setelah beberapa kali cuba membuatnya akhirnya mummy bersetuju masakan mi siam Singapore Lin menepati kelulusan beliau,” kata Lis sambil ketawa memandang ibunya.

Disebabkan kini Lis sudah pandai memasak mi siam Singapore, beberapa orang sepupu dan kakak-kakaknya sudahpun membuat tempahan untuk hidangan hari raya.

“Bukanlah mereka nak beli, tapi mereka ‘tempah’ nak makan mi siam Singapore Lis. Insya-Allah selepas beraya di rumah mertua, Lis akan memasak untuk menjamu adik beradik lain,” kata Melissa Saila.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.