saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/09/2009

Akhbar Utusan dibakar di DBP

UTUSAN Melayu tidak selalunya mengikut arus sentimen bangsanya, adakala terpaksa menyekat atau melawan arus ini sehingga menimbulkan kemarahan dan tindakan di kalangan mereka yang kecewa dengan pendiriannya di dalam sesuatu isu besar kerana Utusan Melayu dilihat mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat dan dasar kerajaan.

Pada 2 Mac 1967, Utusan Melayu (jawi) telah dibakar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur oleh pejuang-pejuang bahasa kerana membantah sikap Utusan Melayu menyokong keputusan kerajaan untuk mengekalkan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini di samping bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Kerajaan Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj memikirkan bahawa dasar ini perlu diadakan setelah 10 tahun merdeka supaya dengan itu dalam bidang tertentu bahasa Inggeris boleh terus digunapakai disamping kepentingan bahasa itu sebagai bahasa dunia.

Ini memerlukan rang undang undang bahasa dikemukakan ke dalam Parlimen.

Pendirian Utusan Melayu menyokong dasar kerajaan itu mengejutkan orang Melayu terutama sekali pencinta-pencinta bahasa kerana Utusan Melayu diketahui sebagai akhbar yang berada di barisan depan dari sejak sebelum kemerdekaan dalam mendukung perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Sikap Utusan Melayu ini telah menyebabkan ia dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa dan pengampu UMNO. Ketua Pengarangnya Melan Abdullah (Tan Sri) mahu dibakar hidup-hidup dan berbagai-bagai lagi kecaman dilemparkan terhadapnya.

Kebangkitan semangat para pejuang bahasa telah disemarakkan lagi oleh sebuah sajak Sasterawan Negara Usman Awang yang bertajuk Keranda 152:

Anak Melayu

Panas dadamu membakar baju

Kita arak keranda 152

Ke tanah perkuburannya Parlimen.

Sepuluh tanah nafas ini terhenti

Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba

Tiap pintu dan jendela sudah dijaga

Bayang bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu

namamu telah diseru

Jawablah

Sebelum lidahmu jadi bisu.

Kemuncak bantahan terhadap langkah kerajaan untuk meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini ialah perhimpunan lebih 1,000 orang pejuang-pejuang bahasa mengadakan tunjuk perasaan membantah rang undang-undang bahasa dan juga pendirian Utusan Melayu. Mereka tidak sahaja membakar akhbar Utusan Melayu tetapi juga cuba membakar gambar Tuanku.

Jurugambar Utusan Melayu Hussein Nor (Allahyarham) telah cuba ditolak ke dalam api yang sedang marak menyala dalam pembakaran akhbar Utusan Melayu itu oleh seorang yang tidak dapat mengawal perasaannya tetapi telah disekat oleh pemberita Utusan Melayu Taib Ahmad.

Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman nyata tidak begitu senang terhadap Ketua Pengarah DBP, Syed Nasir Ismail (Tan Sri) kerana membiarkan DBP digunakan untuk tunjuk perasaan itu.

Dalam suatu perhimpunan di Ipoh sehari kemudian yang turut dihadiri oleh Syed Nasir, Tunku dalam ucapannya telah menyentuh tunjuk perasaan itu dengan berkata, “Kelmarin depa bakar gambar saya di Dewan Bahasa. Tak apalah, mereka nak bakar bakarlah, kalau tak cukup, boleh pergi ambil lagi di rumah saya, banyak lagi gambar saya yang lebih elok, yang warna pun ada.” Saya sendiri meliputi lawatan Tunku ke Perak.

Kejadian

Utusan Melayu keluaran 3 Mac 1967 melaporkan kejadian tunjuk perasaan di DBP itu sebagai berikut:

Lebih daripada 1,500 orang wakil-wakil badan-badan kebudayaan, persatuan persatuan bahasa, parti-parti parti politik Melayu, peguam peguam, pelajar pelajar maktab dan orang perseorangan dari seluruh tanah air telah berhimpun lebih dari tiga jam dalam suasana yang tegang di dewan itu sambil mengutuk kerajaan.

Kemuncak perhimpunan itu telah membakar bergulung-gulung akhbar Utusan Melayu oleh beberapa orang pemuda di luar bangunan DBP.

Sambil membakar naskhah Utusan, pemuda-pemuda yang marah menyerupai “Pengawal Merah Peking” (Red Guards) telah menjerit-jerit “Utusan Melayu pengampu”, “Lidah UMNO”, “Biarkan bankrap” dan “Bakar Melan Abdullah Pengarang Utusan Melayu.”

Pada mulanya mereka hendak membakar gambar Tunku yang hampir sedikit tercecah ke api, tetapi mereka tidak jadi berbuat demikian setelah beberapa orang ahli jawatankuasa yang baru dipilih melarang mereka berbuat demikian.

Pemuda-pemuda itu kemudian dengan tempik sorak telah mengambil bergulung-gulung naskhah Utusan Melayu lalu mencampakkannya ke dalam api yang sedang marak.

Sedang api marak menjulang, tiba tiba seorang pemuda yang kelihatan sudah di luar kawalan telah mengheret jurugambar Utusan Melayu Hussein Nor untuk dilontar ke dalam api.

Taib Ahmad yang menulis berita ini menceritakan “ Saya kebetulan berada hampir di situ segera meluru menghalang perbuatan pemuda itu. Hussein Nor kelihatan begitu cemas.”

Jika dalam mempertahankan kedudukan bahasa Inggeris, Utusan Melayu dilihat sebagai pengkhianat kepada bangsa tetapi empat tahun kemudian Utusan Melayu telah dihukum pula oleh mahkamah kerana dituduh menerbitkan berita yang bersifat menghasut ke arah penghapusan sekolah Tamil dan Cina di negara ini.

Ini adalah berpunca daripada berita ucapan Ahli Parlimen Musa Hitam (bekas Timbalan Perdana Menteri) dalam persidangan Parlimen pada 5 April 1971 yang meminta supaya sekolah aliran Cina dan Tamil di negara ini menggunakan bahasa Malaysia tetapi telah diberikan tajuk kecil oleh seorang penyunting kanan Utusan Melayu berbunyi “Hapuskan sekolah-sekolah beraliran Cina atau Tamil.”

Mahkamah mendapati tajuk kecil berita itu telah menyimpang daripada maksud sebenar keseluruhan isi berita.

Kesal

Ketua Pengarang Utusan Melayu Melan Abdullah sangat kesal dengan kesilapan mengenainya kerana kurang pengertian dari Penyunting Kanan A. Samad Ahmad (Allahyarham) tetapi beliau tidak dapat melepaskan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pengarang.

Perbicaraan kes ini telah menjadi satu peringatan kepada semua ketua pengarang akhbar apabila Hakim Mahkamah memutuskan bahawa mereka adalah bertanggungjawab di atas keseluruhan penyiaran akhbar dan tidak boleh meletakkan kesalahan kepada penyunting atau pemberita yang melakukannya.

Melan Abdullah dan Abdul Samad Ahmad telah dihadapkan ke Mahkamah Tengah Khas dan didapati bersalah oleh Yang Dipertua Kanan Ng Mann Sau pada 18 Jun 1971 atas tuduhan menerbitkan satu penerbitan menghasut.

Mereka dibela oleh peguam Senator Kamarul Ariffin yang dibantu oleh Raja Abdul Aziz dan Samuel Mathews. Peguam Kanan Persekutuan Gunn Chit Tuan telah menjalankan pendakwaan dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdullah Ngah.

Melan dan Abdul Samad dituduh di bawah Akta Menghasut 1948 yang telah dipinda semula pada tahun 1969 berikutan dengan Peristiwa 13 Mei. Melan telah dihukum denda RM500 dan Abdul Samad RM1,000.

Ng dalam membuat keputusan itu berkata tajuk kecil “Hapuskan Sekolah aliran Cina dan Tamil” menyeleweng dan melampaui daripada ucapan yang dibuat oleh Musa Hitam yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan antara kaum.

Katanya, ‘‘Ada perbezaan antara mencadangkan supaya dihapuskan sekolah-sekolah Tamil dan Cina dengan cadangan supaya diubah sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil dengan menggunakan Bahasa Malaysia.

‘‘Pada pendapat saya anjuran supaya dihapuskan sekolah Tamil dan Cina akan menyentuh pengajaran dan pengajian lain- lain bahasa seperti yang telah dilindungi oleh Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Tajuk ini lebih daripada mempersoalkan pelaksanaan dasar kerajaan dan membawa kesan mencabar hak untuk mempelajari lain lain bahasa yang dijamin oleh Perlembagaan menurut Ceraian 3(1) ( f ) Akta Menghasut,’’ katanya.

Perhatian

Menurut Ng lagi ‘‘Tajuk kecil itu bukan sahaja sekadar hendak menarik perhatian pembaca untuk membaca keseluruhan berita itu sahaja malah ia mengandungi unsur menghasut yang menimbulkan kesan menaikan semangat pembaca”.

Beliau seterusnya menyatakan hakikat bahawa Melan tidak tahu mengenai tajuk itu sebelum ia tersiar dalam akhbar tidak cukup untuk membolehkan beliau melepaskan diri atau berlepas tangan.

‘Ada bukti bukti jelas bahawa sebagai Ketua Pengarang Melan adalah bertanggungjawab kepada kesemua penerbitan Utusan Melayu,’’ kata Ng.

Demikianlah Utusan Melayu tenggelam dan timbul dalam arus kebangkitan bangsanya. Baik buruknya, salah atau benarnya dihukum oleh rakyat berasaskan di mana mereka berdiri.

Sekiranya Utusan Melayu tidak mempertahankan kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua lebih 40 tahun lalu dan tidak melawan arus sentimen para fanatik bahasa, maka orang Melayu hari ini benar berada dalam keranda.

Minggu depan: Wawancara MB yang terperam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.