saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 07/10/2009

Samseng mungkin dalangi cetak rompak Geng?


BURHANUDDIN Md. Radzi (kanan) dan Ahmad Puad Onah menunjukkan antara DVD asli dan cetak rompak filem Geng di pejabat Les' Copaque Production Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


GENG Pengembaraan Bermula (Geng) merupakan antara filem tempatan yang mendapat sambutan hangat para penonton apabila ia meraih kutipan tiket RM6.3 juta ketika ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada Februari lalu.

Ekoran sambutan hebat itu, filem animasi terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (LCPSB) turut diedarkan dalam bentuk cakera video digital (DVD) sejak seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu di mana jualannya mencecah sehingga 60,000 unit.

Sayangnya, jualan DVD Geng itu terhenti setakat itu sahaja apabila ia kini mendapat saingan sengit daripada DVD cetak rompak yang meniru hampir sama dengan produk yang asli menyebabkan Pengarah Urusannya, Burhanuddin Md. Radzi tidak senang duduk.

Menurut Burhanuddin, dia difahamkan kegiatan itu mungkin didalangi oleh kumpulan samseng berdasarkan modus operandi dan kualiti kulit album serta duplikasi DVD Geng cetak rompak yang sukar dibezakan dengan yang asli.

"Saya difahamkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kemungkinan besar kegiatan ini (cetak rompak) ada kaitan dengan kumpulan samseng yang mendalangi aktiviti-aktiviti haram seperti ini yang mengaut banyak keuntungan.

"Kami dapati pelekat hologram yang digunakan pada depan kulit DVD Geng merupakan hologram asli, tetapi yang misterinya selepas disiasat kami dapati ia dikeluarkan pada tahun 2006 untuk penerbitan filem-filem Hindustan.

"Apa yang menghairankan kami ialah bagaimana hologram itu boleh digunakan pula ke atas DVD cetak rompak filem Geng?" soalnya pada sidang media yang diadakan di pejabat LCPSB di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Jelas Burhanuddin, ekoran masalah cetak rompak itu beliau menganggarkan sekitar 20,000 DVD Geng yang setiap satu unit berharga RM35.90 telah dicetak rompak menyebabkan cetakan kedua filem itu berjumlah 40,000 unit telah terjejas teruk.

Selain penggunaan hologram asli, penerbit syarikat bumiputra itu juga melahirkan rasa hairan dan kesal kerana DVD Geng bukan setakat dijual di pasar-pasar malam tetapi ia juga boleh didapati di premis-premis sah yang terletak di pusat-pusat membeli-belah.

"Saya kesal kerana ada di antara premis-premis menjual DVD di pusat-pusat membeli-belah turut menjual DVD Geng cetak rompak sedangkan mereka tahu siapa pengedar sebenar produk kami yang sah. Maknanya, kalau mereka membeli daripada bukan pengedar yang sah, mereka tentunya tahu ia bukanlah produk yang asli.

"Selain itu, para pembeli juga sukar membezakan antara DVD yang asli dan cetak rompak kerana produk yang dihasilkan kelihatan seperti yang asli. Cuma bezanya, harga DVD cetak rompak berharga RM29.90 dan tidak ada poster percuma.

"Sijil dari Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) juga tidak ada pada DVD Geng yang cetak rompak," ujarnya yang bangga kerana Geng turut ditayangkan di pawagam-pawagam di Jakarta dan Bandung, Indonesia sejak 9 September lalu.

Bersekongkol

LCPSB katanya, mula mengesan kegiatan cetak rompak DVD Geng itu pada minggu pertama Hari Raya Aidilfitri lalu terutamanya di bandar Kuantan dan Johor Bahru.

Sehubungan itu, beliau bercadang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak-pihak yang bersekongkol dalam mengedar serta menjual DVD cetak rompak Geng yang bukan setakat diminati golongan kanak-kanak tetapi juga penonton dewasa.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah yang menunjukkan kepada wakil-wakil media massa antara DVD Geng yang asli dan cetak rompak.

Ahmad Puad yang juga mewakili Primeworks Studio selaku pengedar Geng berharap pihak kerajaan terutamanya KPDNKK menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menyekat gejala cetak rompak yang semakin berleluasa itu.

"Kami harap pihak berkuasa seperti KPDNKK campur tangan bagi membantu kami. Setakat ini laporan berhubung masalah itu sudahpun dibuat. Kami juga sudah bermesyuarat dengan Menteri KPDNKK iaitu Datuk Ismail Sabri Yaakob pada bulan puasa lalu bagi membincangkan perkara itu.

"Selain itu, pemilik pusat-pusat membeli-belah juga harus bertindak bagi membendung gejala ini. Akta-akta lain termasuklah Akta Hakcipta 1987 harus digunakan supaya para pembeli tidak terus ditipu dengan barangan cetak rompak yang kini sudah seperti tidak ada bezanya dengan yang asli," katanya.

Difahamkan, Geng yang turut mendapat perhatian daripada penerbit di India dan bakal ditayangkan di lebih 4,000 pawagam di negara tersebut kini sukar menjual lebih banyak DVD Geng yang asli kerana belum ada tindakan tegas bagi membendung gejala tersebut.

Justeru, Ahmad Puad menasihatkan agar para pembeli supaya lebih prihatin dengan melihat pelekat sijil yang dikeluarkan oleh Finas pada bahagian belakang DVD yang asli sebelum membeli produk tersebut.

"Antara modus operandi yang digunakan oleh penjual DVD cetak rompak Geng ialah mereka mempamerkan DVD yang asli di rak depan atau kaunter premis mereka. Bagaimanapun apabila para pembeli membeli DVD terbabit mereka memberikan produk yang cetak rompak," dedahnya.

Geng yang diarahkan oleh Mohd. Nizal Abd. Razak menelan kos pembikinan mencecah RM4 juta di mana ia merupakan filem animasi tempatan paling mahal.

Filem itu telah memenangi pelbagai anugerah antaranya Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia ke-22 di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Ogos yang lalu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.