saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 07/10/2009

Semalam di Teluk Kemang: Tomyam dan penglipur lara

SEMALAM di Teluk Kemang cukup mengasyikkan. Angin sepoi-sepoi bahasa menenangkan dan mengimbau kenangan muda-muda dulu semasa berkelah di situ. Memandu ke Port Dickson ini tidaklah terlalu sukar. Sekitar 45 minit memandu secara santai melalui Lebuh Raya KL-Seremban-PD sampailah kita ke pusat peranginan tepi pantai yang cukup terkenal di Malaysia itu.

Setelah lama tidak ke situ, saya melihat kemajuannya cukup baik. Banyak hotel dan gerai perniagaan yang baru dibina di sepanjang kiri-kanan jalan di pesisir pantai Teluk Kemang itu.

Bertolak dari pejabat pukul 8.30 malam kelmarin, saya sempat singgah makan malam dengan beberapa rakan di PD. Sengaja saya berbuka puasa enam di pejabat hanya dengan minuman kerana mahu menjamu selera di tepi pantai itu. Tomyam udang galahnya ternyata cukup rasa dan sedap sekali.

Sambil menghirup sup masam pembuka selera itu mata memerhati ke setiap meja lain. Ramai yang tengah rancak berbincang. Ada berbincang secara tenang, ada yang serius. Sambil mata memerhati mereka, mereka juga memerhati ke arah kita. Masing-masing bertanya di dalam fikiran siapa agaknya mereka ini? Ada yang berkopiah putih ala Pas, ada yang memakai kemeja tangan pendek lepas ala orang UMNO, ada juga yang macam polis SB - pendek kata semua ada di situ.

Biasanya di kedai makan tiada tembok politik. Tak kira siapa, semua mahu makan. Jika sedap makanan maka tumpuan adalah kepada hidangan, kurang cakap, lebih makan.

Meja saya pun tak terkecuali, sambil menyuap ke mulut kami bercakap-cakap mengenai politik Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang dalam kawasan PD ini. Macam-macam juga yang diulas. Tapi kerana makanan sedap, masing-masing kurang bercakap.

Sebagai wartawan yang sudah terlalu kerap membuat liputan politik, terutamanya pilihan raya dan pilihan raya kecil saya boleh rasakan ia sama sahaja seperti yang lain-lainnya.

Namun bagi saya pilihan raya di Bagan Pinang ini lain sedikit. Ia amat istimewa. Istimewa kerana BN kena menang. Setelah tujuh pilihan raya kecil berturut-turut BN kalah, Bagan Pinang kena menang.

Apa cara pun BN kena menang. Pasal itulah BN memilih Tan Sri Isa Samad (ceramah Pas menyebutnya sebagai I.S.A) sebagai calon. Beliau cukup diterima di PD ini. Kerana itu jugalah Pas dalam ceramahnya terpaksa memburuk-burukkan beliau.

Selalunya jika calon tidak kuat, calon itu tidak akan menjadi habuan untuk diburuk-burukkan. Tapi dalam kes Isa ini karakternya perlu diburuk-burukkan dan dibunuh kerana beliau kuat dan popular di situ. Malah asal usulnya turut diulas oleh penceramah pembangkang bagi membangkitkan rasa berbelah bagi pengundi.

Saya sempat memasuki ke satu kampung dekat Si Rusa untuk mengikuti ceramah pakatan pembangkang yang dihadiri oleh penceramah-penceramah hebatnya.

Tapi saya tertarik mengikuti ceramah oleh seorang pemimpin kuat PKR, Dr. Badrul Amin Bahrun yang dikenali sebagai pengikut totok Anwar Ibrahim. Beliau ini dikenali sebagai pemimpin yang sanggup berbuat apa sahaja demi Anwar. Mungkin kerana Anwarlah beliau dulu menjadi popular sebagai penceramah di TV dan menjawat jawatan di Universiti Islam Malaysia.

Suara Badrul ini cukup lantang. Beliau ialah penceramah ala Anwar yang nyaring dan bertenaga suaranya. Ceritanya banyak diselitkan dengan fakta-fakta yang disensasikan dan dibesar-besarkan untuk memancing undi.

Beliau bercerita mengenai beberapa isu. Katanya, UMNO kini bukan lagi parti yang memegang amanah rakyat. Oleh itu beliau meminta semua pihak, termasuk isterinya jika ada yang berkeluargakan orang UMNO supaya memutuskan hubungan saudara dengan mereka.

''Putuskan juga hubungan saudara dengan mana-mana saudara yang menjadi polis'' dan sesiapa yang ada hubungan dengan orang UMNO. Pak-pak haji berkopiah putih yang mendengarnya terangguk-angguk sambil tangan menyuap kacang rebus.

Bagi pendengar yang lurus, mereka akan terikut cakapnya tanpa melihat bagaimana amanah rakyat di Selangor misalnya sedang diperkotak-katikkan oleh pakatan pembangkang yang memerintah negeri itu. Malah Pas Selangor kini terpaksa bersilat dengan pakatannya yang 'dikuasai' oleh DAP berhubung beberapa isu.

Tidak tahulah sekiranya Badrul tidak sedar mengenai hal itu? Badrul ini dulu disebut-sebut bakal dilantik sebagai Speaker Selangor yang kemudiannya terpaksa melepas kepada wakil DAP, Teng Chang Khim. Beliau pada pilihan raya umum lalu bertanding di Parlimen Sabak Bernam dan DUN Kuang, tapi tewas kedua-duanya sekali.

Beliau juga membangkitkan soal kes liwat Anwar. Tanpa menyebut sepatah pun yang Anwar sedang berada di Amerika untuk menghadap sifunya Al Gore di Amerika Syarikat bagi 'memperbaharui sokongan' ke atasnya, Badrul bercerita mengenai Saiful yang menuduh Anwar meliwatnya.

''Empat doktor mengesahkan anu Saiful masih dara." Satu lagi cubaan untuk merosakkan Anwar, jerit Badrul bersungguh-sungguh bagi menarik tumpuan hadirin.

Beliau yang mendabik dada sebagai bekas profesor undang-undang itu mendakwa sudah dapat mengagak hukuman bakal dihadapi oleh Anwar dalam perbicaraan, yang sudah ditangguhkan beberapa kali oleh peguam-peguam Anwar - atas pelbagai alasan.

Jika itulah yang berlaku, katanya, kita perlu sekali lagi berjuang mempertahankannya.

Rakyat harus bangkit sebagaimana kita lakukan pada 1998. Pada 1998 para pengikut Anwar yang taksub dan fanatik, termasuk Badrul, merusuh di jalanan di Kuala Lumpur bagi mempertahankan Anwar atas nama reformasi, satu slogan yang turut digunakan di Jakarta untuk menjatuhkan Suharto. Ia berlaku ekoran tindakan MT UMNO pada 2 September 1998 memutuskan untuk memecat Anwar.

Rusuhan itu berterusan sehinggalah pada satu malam 16 November 1998 apabila rakan baik Anwar, Al Gore berada di KL dan menghadiri majlis makan malam para pemimpin APEC di PWTC.

Al Gore (pada masa itu Naib Presiden Amerika) mengambil kesempatan semasa berucap mengecam kerajaan Malaysia kerana memecat Anwar dan memuji-muji keberanian rakyat Malaysia yang ketika itu berarak di jalan raya menyokong perjuangan reformasi bagi menentang kerajaan Mahathir.

Hubungan Al Gore dan beberapa pemimpin Amerika dengan Anwar cukup akrab. Dan fakta ini tidak pernah berani dibangkitkan oleh orang seperti Badrul di khalayak ramai.

Seorang rakan yang bersama-sama saya mengikuti ceramah itu mengeleng-geleng kepala mendengar sandiwara Badrul itu, termasuklah manipulasinya terhadap fakta kes inkues Teoh Beng Hock.

Kesimpulannya, kunjungan pendek malam kelmarin itu cukup bernilai untuk melihat cara berpolitik orang-orang politik ini. Ceramah atas asas sekitar soal itu sahaja tidak lebih hanyalah sebagai ''penyedap bagi jiwa yang kosong''. Tapi apakah orang PD jiwanya kosong?

Secara zahirnya, jumlah hadirin yang mengikuti ceramah itu tidak ramai. Bukan macam di Terengganu, Kedah mahupun negeri-negeri lain, yang ceramah seumpama itu merupakan penglipur lara bagi mereka.

Orang PD nampaknya tidak begitu berminat mengikuti ceramah seumpama itu, agaknya?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:20
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.