saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 07/10/2009

"Liyana penghibur keluarga kami"


KELUARGA merupakan penyokong kuat kepada kejayaan Liyana selama ini. Dari kiri: Adriana (kakak ketiga), Liyana, Jasmay (bapa), Habsah (ibu) dan Faradilla (kakak kedua) bersama bakal suaminya.


SEJAK kecil lagi, Liyana Jasmay, 20, sudah berupaya menunjukkan kebolehannya sebagai seorang penyanyi dan pelakon.

Dengan kelebihannya yang ada dalam dirinya itu jugalah, dia digelar sebagai penghibur dalam keluarganya.

Pasti ada sahaja keletah dan gelagat Liyana yang membuatkan keluarganya tidak kering gusi lantas menyebabkan dirinya cukup disayangi oleh setiap ahli keluarganya.

Tanpa segan-silu dia akan melakukan apa sahaja seperti mana yang disuruh oleh ahli keluarganya terutama sekali saat diminta untuk mendendangkan lagu-lagu nyanyian Ziana Zain.

Ini diakui sendiri oleh bapanya, Jasmay Shah, 56, yang memberitahu jiwa anaknya terhadap dunia seni sudah terserlah sejak dia berusia sembilan tahun.

Sebagai seorang bapa, Jasmay memberitahu dia langsung tidak pernah menyekat keinginan dan minat keempat-empat anaknya termasuk Liyana dalam setiap bidang yang diceburi mereka.

Apa yang penting bagi diri dan isterinya, Habsah Simpon, 52, adalah terus menyokong dan memberikan semangat untuk mereka meneruskan kehidupan dan cita-cita yang diingini.

Lebih penting lagi tugasnya sebagai bapa adalah untuk terus mengingati dan menasihati anak-anaknya untuk berada dalam landasan yang betul dan tidak akan jauh tersasar.

"Begitu juga dalam perihal Liyana. Saya selalu menasihatkannya agar sentiasa jaga perilaku dan jangan sampai melakukan perkara yang mampu menconteng arang ke muka keluarga kami.

"Saya sebagai seorang bapa sudah memberikannya kebebasan untuk memilih jalan hidupnya sendiri tetapi dia harus tahu dan bijak untuk mengawal dirinya.

"Kerana itu, ibu dan kakaknya, Adriana sentiasa bersamanya untuk mengawal dan memerhatikan dirinya dan setakat ini, Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan baik," kata Jasmay sewaktu ditemui pada majlis kesyukuran yang diadakan di kediamannya di Kemensah Heights, Hulu Kelang, Selangor beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Syawal baru-baru ini.

Selain Liyana, perkahwinan Jasmay dan Habsah juga dikurniakan dengan tiga cahaya mata lain iaitu Juzaili, 32; Faradilla, 29; dan Adriana, 27.

Menyambung bicara, apa yang membuatkannya berasa bangga terhadap anak bongsunya itu apabila Liyana berupaya untuk hidup berdikari dengan mencari rezeki sebagai seorang pelakon dan kini penyanyi.

Bukan itu sahaja, sebagai bapa dia cukup kagum dan terharu apabila Liyana memiliki sifat pemurah yang cukup kuat.

Sifat itu katanya, sudah jelas kelihatan apabila dia selesai membintangi drama pertamanya, Si Lembik pada tahun 1998.

Ketika itu, dia meminta Jasmay untuk membeli makanan segera, Kentucky Fried Chicken bagi menjamu kesemua krew produksi yang terlibat dalam drama itu.

"Sehingga kini dia sudah berusia 20 tahun, sifat itu masih lagi dikekalkan dan dia pasti akan membuat majlis meraikan mereka yang terlibat dalam setiap filem mahupun drama yang dibintanginya.

"Majlis kesyukuran ini pun adalah inisiatif Liyana sendiri yang mahu menjamu anak-anak yatim serta berkongsi rezeki dan kegembiraan dengan mereka memandangkan rezekinya yang tidak putus itu," katanya yang mengusahakan perniagaan sendiri dengan membekalkan makanan untuk hospital di sekitar Lembah Kelang.

Majlis kesyukuran itu diadakan sempena kejayaan Liyana memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM 22) menerusi filem Papadom, Ogos lalu.

Dalam majlis itu, Liyana telah menjemput lebih daripada 30 orang anak-anak yatim yang menghuni Rumah Amal Belaian Kasih (Rabeka).

Habsah yang duduk di sebelah Jasmay dari awal temu ramah pula mempunyai pandangannya sendiri terhadap Liyana terutama sekali terhadap perwatakannya yang menimbulkan kurang selesa kepada segelintir pihak.

Anak yang manja

Jelasnya, Liyana memang seorang anak yang manja dan dia cukup mengerti jika ada yang tidak selesa dengan perwatakan anak daranya yang hiper dan suka ketawa itu.

Bahkan, jika ada gosip yang melanda anaknya itu, Habsah sedikit pun tidak melatah mahupun ambil peduli kerana dia begitu memahami Liyana.

"Setiap pandangan orang itu berbeza-beza dan terpulang kepada mereka untuk berkata apa yang mereka mahu. Yang penting, saya kenal dan tahu siapa anak saya," ujarnya sesekali memandang Liyana yang sedang sibuk bermain bunga api dengan anak-anak yatim.

Begitu juga dengan isu yang mengatakan Liyana yang cuba menjadi perosak industri muzik tempatan apabila tampil dengan single, Aku Tak Percaya Cinta.

Ujar Habsah, itu adalah ideanya yang percaya akan kebolehan dan bakat yang ada dalam diri anaknya itu.

"Dari kecil dia suka menyanyi dan saya tahu dia boleh menyanyi dengan gaya serta muzik yang sesuai dengan dia," katanya tenang saat diminta pandangannya tentang isu Liyana yang dikatakan tidak mempunyai bakat dalam bidang nyanyian itu.

Malah, isu tentang hubungannya dengan penyanyi dan komposer muda, Aizat juga tidak menggusarkan Habsah.

Katanya, Liyana bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja asalkan dia tahu untuk menjaga adab ketimuran dan batas-batas yang perlu dipelihara.

"Hubungan dengan Aizat diperkatakan ramai kerana Aizat dan Liyana sama-sama terlibat dalam industri. Jadi, tumpuan itu sudah pasti kepada mereka.

"Tentang soal jodoh pula, saya hanya reda dan pasrah kepada Allah SWT. Seandainya jodoh Liyana datang awal, saya terima," ujarnya yang terus selesa menjadi peneman setia dan mengikut Liyana ke mana sahaja.

Legasi seni Liyana

Selama 11 tahun mendamba diri menjadi pelakon, terlalu banyak pengalaman yang diraih oleh Liyana.

Kemenangannya dalam FFM 22 membuktikan ia adalah ganjaran terbaik untuknya sebagai seorang aktres.

Lebih membanggakan lagi, Liyana kini mampu tersenyum apabila namanya kini sebaris dengan nama-nama hebat antaranya Azean Irdawaty, Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Deanna Yusoff, Amy Mastura, Erra Fazira dan Maya Karin yang pernah menggondol gelaran itu.

Mengakui merasai sedikit beban untuk menggalas tanggungjawab selepas memenangi anugerah itu, apa yang penting untuk Liyana adalah meneruskan legasi seninya.

Biarpun masih muda, Liyana sudah merencana perjalanan seninya dan dia sendiri bercita-cita mahu menubuhkan syarikat sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sebelum itu, dia harus melunaskan impian dan harapan bapanya untuk menghabiskan pelajarannya di Kolej Sunway yang sudah tertangguh selama dua tahun.

Untuk itu, Liyana berazam untuk menamatkan pengajiannya dalam Diploma Seni Persembahan menjelang tahun 2011.

Sebaik selesai, Liyana mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan dia kini sedang memilih mahu ke London atau New York untuk mendalami bidang lakonan.

"Semua ini adalah untuk masa depan saya kerana saya mahu menyiapkan diri dengan segala ilmu memandangkan iklim industri filem tempatan amat sukar dijangka.

"Sudah 11 tahun saya dalam industri dan sudah tiba masanya saya merancang yang terbaik untuk kebaikan diri saya juga.

"Usia juga saya semakin meningkat dan pengalaman yang saya perolehi menguatkan saya untuk menjadi seorang yang lebih baik," katanya optimis dan bersungguh.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.