saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 12/10/2009

Berbaloikah provokasi sesama insan hanya sekadar mencari undi?

SELESAI sudah pilihan raya kecil (PRK) kali kesembilan yang diadakan selepas pilihan raya umum (PRU) 2008. Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Pas gagal mencetuskan gelombang kebangkitan selepas berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang serta DUN Manek Urai dan Permatang Pasir. Dalam empat lagi PRK, BN mengekalkan kerusi Batang Air sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh, DUN Bukit Selambau dan Penanti (tidak disertai BN).

Keputusan itu tidak mengubah apa-apa dalam landskap politik. Sebaliknya kemenangan BN di Bagan Pinang melalui calonnya, Mohd. Isa Abdul Samad membuktikan BN masih mempunyai pengaruh yang besar. Dalam PRK, biasanya orang politik membuat pelbagai andaian sama ada undi itu membuktikan sokongan meningkat atau sebaliknya. Dan jika diselak semula PRK yang lalu, orang politik sama ada yang menyokong BN atau pembangkang bolehlah membuat andaian sendiri parti mana yang terus berpengaruh dan pengaruhnya sudah merosot. Jangan bandingkan jumlah kerusi yang dimenangi dalam PRK sebaliknya jumlah undi yang diperoleh berbanding PRU lalu. Tidak dinafikan ada PRK yang menyaksikan undi majoriti meningkat tetapi jumlah undi yang diperoleh calon berkenaan merosot.

Pakatan pembangkang mengidamkan untuk mencipta kemenangan kelapan tetapi keputusan sekarang sebenarnya 7-2 atau 6-2 (jika ditolak Penanti yang tidak disertai BN).

Satu perkara lagi, sebahagian besar pengundi Bandar Tentera Darat itu tidak termakan dengan cerita peribadi buruk calon BN sebaliknya melihat kepada keupayaan beliau untuk menyambung khidmat sebagai wakil rakyat. Lebih-lebih lagi pengalaman Mohd. Isa sebagai Menteri Besar.

Mohd. Isa sebelum ini sudah pun menjalani hukuman sehingga hilang jawatan menteri Kabinet serta tidak berpeluang bertanding pada PRU lalu. Beliau kini bebas. Bukanlah sesuatu yang pelik orang yang sebelum ini dihukum sama ada dipenjara, didenda, digantung keahlian dan sebagainya bertanding semula pada pilihan raya dan menang. Malahan ada juga beberapa orang yang sebelum ini dipenjara bertahun-tahun menang malahan diangkat sebagai idola. Jadi di mana peliknya jika Mohd. Isa yang hanya bersalah di dalam parti diberi gambaran buruk sebegitu rupa? Kenapa ada orang lain yang lebih 'buruk' kesalahannya tetapi diangkat dan dipuja sebegitu rupa?

Mungkin inilah dunia politik. Orang lain dianggap tidak betul. Itu tak betul...Ini tak betul. Diri sendiri sahaja yang betul. Dan ada pula yang betul bendul...angguk sahaja apa pemimpin mereka cakapkan. Putih kata pemimpin, putihlah kata mereka. Tetapi suasana di Bagan Pinang nampak berbeza jika dibandingkan dengan kempen Pas atau sekutunya di negeri-negeri utara atau timur. Jika di tempat lain, ceramah mereka mendapat sambutan yang menggalakkan tetapi di Bagan Pinang yang terletak dalam wilayah yang dianggap membangun juga, pengundi terlebih dahulu mampu menilai yang mana kaca dan permatan.

Cuma di Bagan Pinang, agak mengecewakan tercetus budaya yang seolah-olah mengancam pengundi-pengundi untuk keluar mengundi secara selesa. Kehadiran penyokong parti umpama lebih sudu dari kuah. Maknanya penyokong lebih ramai daripada pengundi. Mungkin inilah buktinya Port Dickson (PD) atau Bandar Tentera Darat sebagai pusat pelancongan sudah popular tetapi kononnya mahu dipopularkan lagi oleh Pas jika menang. Entahlah bagaimana usaha Pas mahu mempopularkan lagi PD sebagai pusat pelancongan utama. Adakah nak tarik orang ramai macam berlaku sepanjang kempen PRK itu? Lebih elok Pas memberi tumpuan kepada membangkitkan industri pelancongan di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor yang dikuasainya. Biarlah Mohamad Hasan dan rakan-rakannya dalam Kerajaan Negeri Sembilan memikirkan bagaimana nak majukan lagi PD.

Sekarang ini pun kerana PRK Bagan Pinang, PD tak mampu nak tampung kehadiran 'pelancong' yang begitu ramai. Penulis yang bercadang menziarahi ibu dan bapa saudara yang tinggal di PD pun dinasihatkan supaya datang lain kali, bukan musim kempen. Kata mereka, lain kalilah datang, banyak 'perkara tak elok' ditambah pula jalan sesak. Dan mengikut laporan pelbagai pihak, nyatalah sejak awal lagi, banyak provokasi dilakukan oleh parti politik semata-mata kerana undi.

Akibatnya pengundi tidak tenang untuk mengundi. Hari bertenang menjadi hari kemuncak berkempen.

Sampai bila keadaan ini akan berlaku? Khabarnya, suasana PRK di PD lebih buruk jika dibandingkan dengan PRK Permatang Pauh.

Kenapa kita sesama insan lebih-lebih lagi pada bulan Syawal ini sanggup melupakan adat dan budaya orang Melayu dan Islam semata-mata mahu mencari undi? Berbaloikah dengan maki hamun kerana ketamakan dan kerakusan bagaikan manusia hilang ingatan hanya disebabkan undi? Semoga PRK atau PRU akan datang, suasana lebih damai supaya kita sama ada yang berkempen atau mengundi menjadi manusia yang bahagia, tidak sakit jiwa atau gila semata-mata mahu mencari pemimpin.

Apa pun pengundi-pengundi Bagan Pinang sudah membuat keputusan. Mereka kebanyakannya tahu menghargai tangan (kerajaan) yang menghulurkan kebahagiaan selama ini. Memang benar seloroh Mohd. Isa dalam kempennya baru-baru ini bahawa jika diimbas dalam badan, terdapat simbol dacing (BN) dalam darah setiap pengundi di kawasan Bagan Pinang. Maksud beliau, pengundi di situ terhutang budi dengan kerajaan BN dan telah menerima banyak bantuan dan sumbangan. Inilah hakikat yang harus diterima. Setiap daripada kita terhutang budi kepada dacing dan sebelum ini kapal layar (Perikatan). Dan semua itu bukan terhad di Bagan Pinang sahaja. Justeru, belajarlah mensyukuri dengan berterima kasih kepada orang yang memberi!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:59
Zohor 1:21
Asar 4:23
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.