saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 19/10/2009

MCA sedang sakit, perlu ubat mujarab

KETIKA gelora politik belum reda, tumpuan kini kepada mesyuarat ketiga, penggal kedua, Parlimen Ke-12 yang bermula hari ini. Dewan Rakyat akan bersidang selama 35 hari sehingga 15 Disember 2009.

Dewan Negara pula akan bersidang mulai 9 hingga 22 Disember. Kemuncak persidangan kali ini tentulah pembentangan Bajet 2010 pada Jumaat ini. Satu Malaysia sedang menantikan apakah rupa bentuk Bajet 2010 yang pertama kali akan dibentangkan oleh Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan. Tentunya Najib akan mengutamakan kepentingan rakyat sesuai dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Rakyat sudah mendengar sendiri ucapan dasar pertama Najib sebagai Presiden UMNO baru-baru ini. Rata-rata khususnya ahli UMNO dan rakan-rakan dalam komponen Barisan Nasional (BN) menerima dengan baik ucapan sulung Najib sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu. Berdasarkan mood yang ditunjukkan, terdapat tanda-tanda perubahan serta pembaharuan untuk kesejahteraan UMNO dan BN. Cuma janganlah semangat berkobar-kobar itu hanya bergema di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tempat orang UMNO ‘berkampung’ baru-baru ini.

Pada masa yang sama, komponen BN juga perlu melakukan perubahan lebih-lebih lagi melibatkan parti utamanya di Semenanjung iaitu MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Setakat ini, Gerakan nampak tenang di bawah kepimpinan Dr. Koh Tsu Koon tetapi masih ada gelora dalam MCA, MIC dan PPP.

Paling meruncing ketika ini tentulah MCA. MIC pula tenang dalam gelora. Sudah ada usaha pihak tertentu mahu mencabar keputusan pemilihan yang baru lalu serta berusaha untuk menyingkirkan S. Samy Vellu sebagai Presiden MIC paling lama dalam sejarah. Khabarnya ada pihak yang mahu MIC mencontohi MCA mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). Tetapi usaha itu tidak akan berjaya kerana sebarang keputusan untuk mengadakan EGM terletak kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Dengan sokongan padu yang ada pada Samy Vellu, sudah pasti CWC MIC tidak akan mengadakan EGM. Malahan tidak ada keperluan untuk berbuat demikian kecuali orang No.2 buat hal. Tetapi kesetiaan G. Palanivel terhadap bosnya tidak diragui lagi.

PPP pula walaupun tenang tetapi masih ada gelora apabila salah seorang bekas pemimpin parti itu, T. Murugiah yang dipecat daripada parti sedang berusaha untuk mencabar bosnya, M.Kayveas di mahkamah.

Namun yang sedang ‘sakit’ sekarang tentulah MCA. Sama ada sakitnya dianggap kritikal atau sekadar ‘selesema’ atau ‘demam biasa’, MCA perlukan ubat yang mujarab. Tentunya Timbalan Presiden yang baru dilantik oleh Jawatankuasa Pusat (CC), Liow Tiong Lai tahu apa ubatnya. Mungkin dengan kepakaran sebagai Menteri Kesihatan, Tiong Lai tahu jenis ubat untuk menyembuhkan ‘penyakit’ MCA ini. Maka awal-awal lagi, Tiong Lai berkata, tidak perlu EGM kedua sebaliknya dari segi perlembagaan, isu itu boleh diselesaikan. Apakah kaedah itu?

Tetapi apa yang dialami oleh MCA bukannya penyakit seperti selesema babi atau H1N1. Kementerian boleh beri ubat, boleh kemukakan pelbagai kaedah untuk mencegah H1N1 tetapi jika orang yang mahu diubat degil, enggan mendengar nasihat dan menolak kaedah ini, maka akhirnya penyakit akan menyerang juga.

Dalam MCA juga sama. Lebih-lebih lagi MCA adalah sebuah badan politik yang diterajui manusia.

Manusia berpolitik mempunyai pelbagai kerenah dan ragam. Ada ketika kawan menjadi musuh dan musuh menjadi kawan. Dalam politik, ada musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan dan musang berbulu ayam. Dalam politik juga tidak ramai yang sanggup susah bersama rakan ketika susah, ketika tidak berjawatan, ketika tidak bergelar YB, YAB atau tidak lagi berstatus menteri. Tetapi yang mahu senang lenang bersama rakan yang senang ketika mempunyai kedudukan teramat ramai.

Inilah penyakit politik yang sukar dicegah dan diubat, tidak seperti H1N1 atau selesema babi.

Maka silap haribulan, kesan ‘penyakit’ yang melanda MCA ini boleh memudaratkan sehingga seperti yang pernah dialami oleh UMNO satu ketika dulu. Maka pilihlah sama ada MCA mahu ‘sembuh atau mati’.

MCA boleh diubati dan pulih. Tetapi perlu kena ubatnya. Tersilap ubat buruk padahnya.

Sebelum ini pun, apabila timbul pemecatan Dr. Chua Soi Lek sebagai Timbalan Presiden, ubat yang digunakan (EGM) tidak serasi sebaliknya lebih memudaratkan. Sebabnya, perwakilan EGM mengundi tidak percaya kepada Tee Keat sebagai orang No.1; bersetuju membatalkan pemecatan Soi Lek; tidak setuju Soi Lek dikembalikan ke jawatan No.2 MCA. Dalam erti kata lain, kedua-duanya ditolak. Maka MCA kini ibarat ke langit tidak tercapai ke bumi tidak berpijak. Tee Keat, orang muda yang baru diberi kepercayaan memimpin parti terbesar kaum Cina itu tidak boleh ‘bekerja’ dalam keadaan perwakilan memberi undi tidak percaya. Dan hasrat beliau meminta EGM kedua diadakan bagi menentukan sama ada perlu diadakan semula pemilihan kepimpinan MCA adalah ubat paling mujarab. Mungkin EGM kedua dapat menetapkan siapa yang layak bertanding dan siapa pula tidak supaya keputusannya nanti dapat berpijak di bumi nyata.

Selagi tidak ada pemilihan semula, maka selama itulah MCA tidak mampu bergerak seiring dengan rakan-rakannya dalam BN. Maka eloklah CC MCA menghormati kehendak Tee Keat. Kaedah ini pastinya memuaskan hati semua pihak.

MCA sebelum ini berjaya menghadapi gelora kepimpinannya. Beberapa pemimpinnya sanggup meninggalkan jawatan demi kepentingan parti. Maka tidak ada sebab pada kali ini, isu kepimpinan perlu dikusutkan lagi. Kembalilah kuasa kepada perwakilan.

Berbalik kepada Dewan Rakyat hari ini, apakah pelbagai kekecohan yang berlaku dalam mesyuarat sebelum ini akan berulang?

Pastinya pembangkang akan mengambil kesempatan ke atas masalah yang melanda MCA. Pelbagai soalan sama ada berkait secara langsung atau tidak dengan barisan kepimpinan MCA terutama Tee Keat akan menjadi perhatian. Isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) salah satu daripadanya. Bukan setakat Tee Keat, tetapi pemimpin lain MCA juga pastinya ‘dibelasah’. Musuh tentunya bersedia mencari dan mengumpul silap pemimpin. Dalam dunia ini, adalah lebih mudah mencari silap orang yang membuat kerja daripada mencari silap orang yang tidak membuat kerja.

Justeru, MCA perlu bersedia menghadapi semuanya ini. Selesaikan segera kemelut. Yakinkan ahli-ahlinya dan rakan-rakan dalam komponen BN. Tidak ada gunanya perubahan dan pembaharuan berlaku di dalam UMNO tetapi MCA bergelora dan MIC serta PPP belum mencapai ketenangan abadi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.