saya nak baca ..

SABAH & SARAWAK


ARKIB : 20/10/2009

Strawberi segar di Ba'kelalan


Pak Tagal dan pembantunya, Erina memetik buah strawberi berhampiran Apple Lodge di Buduk Nur, Ba'kelalan, Miri, Sarawak.


MIRI 19 Okt. - Lazimnya kalau menyebut strawberi, sudah tentu terlintas dalam fikiran kita mengenai dua lokasi tanah tinggi di negara ini seperti Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang di Sabah yang popular dengan tanaman tersebut.

Namun, tidak pernah terbayang, Sarawak juga mempunyai tanaman strawberinya sendiri kerana difahamkan buah itu hanya dapat tumbuh di kawasan beriklim sejuk.

Bagaimanapun tinjauan Utusan Malaysia di Buduk Nur, Ba'kelalan mendapati, strawberi bakal menjadi ikon baru pelancongan di Sarawak selain kisah tanaman epalnya yang begitu terkenal merentasi Laut China Selatan dan seluruh bumi Kenyalang.

Terletak di utara Miri dalam bahagian Lawas, tanah tinggi Ba'kelalan sememangnya bumi bertuah. Dengan suhu siang hari 25°C hingga 32°C manakala malam 15°C dan terletak pada kedudukan 2,900 kaki dari aras laut, cuaca Ba'kelalan sejuk dan sesuai untuk tanaman seperti epal, oren, 'avocado', markisa dan strawberi.

Menyedari kelebihan Ba'kelalan yang tidak dimiliki tempat lain di Sarawak, Tagal Paran, 75, atau lebih mesra dipanggil Pak Tagal telah mengorak langkah untuk memulakan tanaman strawberi.

Walaupun mempunyai ladang epal seluas 10 hektar, namun itu bukan penoktah bagi beliau membangunkan Ba'kelalan sebagai pusat pertanian tanaman beriklim sejuk.

''Semangat mencuba sesuatu yang baru sentiasa berkobar-kobar dalam jiwa saya. Saya jenis yang tidak senang duduk diam, sebaliknya sentiasa berfikir untuk mencuba sesuatu yang baru.

''Tanaman strawberi ini merupakan sebahagian daripada perancangan saya untuk melihat apa potensi yang di Ba'kelalan selain tanaman epal," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang juga pengerusi Rata Farm Sdn. Bhd. berkata, usaha membangunkan Ba'kelalan sebagai pusat pengeluaran buah strawberi yang pertama di negeri ini dilaksanakan pada awal tahun 2007.

Sebagai permulaan sebanyak 1,000 pokok strawberi yang dibeli dari Cameron Highlands ditanam berhampiran Apple Lodge, Buduk Nur.

Seperti di Cameron Highlands, beliau menggunakan bumbung struktur kalis hujan sebagai pelindung bagi mengelakkan pokok rosak.

Selain menggunakan sistem fertigasi iaitu air dan baja dicampurkan dan dibekalkan kepada tanaman pada yang kadar yang ditetapkan.

Tagal menambah, pokok strawberi itu ditanam dalam polibeg yang diisi tanaman campuran hampas sabut kelapa dan bahan perlite yang disusun di atas rak.

Projek yang menelan kos RM20,000 itu bagaimanapun menemui kegagalan. Kesemua anak pokok yang dibeli mati selepas beberapa bulan ditanam dan tidak sempat mengeluarkan hasil. Namun ia tidak melumpuhkan semangat warga emas ini.

''Selepas kegagalan pertama, pada tahun lepas saya mencuba lagi mendapatkan anak pokok strawberi. Saya membeli sebanyak 170 pokok yang kemudian dibiakkan sehingga jumlah sekarang 417 pokok dan semuanya berbuah," katanya yang banyak bertanyakan kepada mereka yang berpengalaman mengenai tip dan cara-cara penjagaan tanaman strawberi.

Menurut Pak Tagal, berdasarkan pemerhatian, apa yang penting strawberi memerlukan penjagaan yang cukup setiap hari.

Berbanding epal, strawberi perlu disembur air setiap hari selain buah masak yang perlu dikutip setiap pagi.

''Bagi saya menanam strawberi sama susah seperti menanam epal. Namun jika kita sudah tahu caranya, mahir dalam memberi racun dan baja yang sesuai, tidaklah terlalu sukar,'' katanya yang mendapat bekalan racun dan baja dari Miri.

Berkat kesungguhan, strawberi Pak Tagal mula mengeluarkan hasil yang pertama iaitu pada Jun pada tahun ini. Setiap hari beliau dengan bantuan dua orang pekerja akan menyembur dan memetik buah strawberi.

''Setakat ini kita sudah menuai hampir 10 kilogram buah strawberi. Walaupun tidak banyak, namun saya gembira kerana percubaan kali ini menemui kejayaan," katanya sambil menambah buah strawberi yang harganya mencecah RM16 sekilogram mempunyai pasaran luas di Kota Kinabalu, Brunei selain Sarawak.

Menurut Pak Tagal, beliau kini sedang berusaha mencari pembekal yang dapat membantu memasarkan buah strawberi dan sebagai permulaan beliau memilih Miri.

Dia turut bercadang menghasilkan jem strawberi Ba'kelalan dan memasarkan bersama produk lain yang sudah terkenal seperti beras Adan atau beras Bario, garam gunung dan epal.

Bagi meningkatkan keluaran, Pak Tagal tahun ini bercadang untuk membeli 400 lagi anak strawberi dari Kundasang dan 2,000 anak pokok epal spesies baru dari Batu Malang, Indonesia.

''Tanaman strawberi merupakan projek kedua Rata Farm Sdn Bhd selepas berjaya mengusahakan ladang epal. Selepas ini saya merancang untuk menanam buah anggur pula," katanya yang sedang mengintai peluang untuk membeli anak pokok anggur.

Ba'kelalan boleh dikunjungi menggunakan penerbangan terus dari Miri pesawat kecil Twin Otter yang mengambil masa kurang 50 minit.

Manakala dari Lawas, memandu ke Ba Kelalan sebaiknya menggunakan pacuan empat roda dan mengambil masa sekitar lima jam bergantung kepada keadaan cuaca.

Selain ladang epal dan beras Bario, Ba'kelalan yang terletak di tengah-tengah lembah gunung-ganang menjanjikan suasana yang amat menarik untuk para pelancong.

Keindahan alam semula jadi, udara segar dan keunikan budaya suku kaum Lun Bawang sudah pasti memanggil anda kembali ke sana.

Jika teringin menikmati atau memetik strawberi, lupakan seketika Cameron Highlands atau Kundasang kerana Ba'kelalan sedia menanti kedatangan anda.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.