saya nak baca ..

POLIS & TENTERA


ARKIB : 21/10/2009

Bengkel pengacara berjaya tingkatkan bakat warga TD


PESERTA-peserta bengkel diberi motivasi mengenai cara-cara untuk menjadi juruacara yang kreatif.PESERTA-peserta bengkel diberi motivasi mengenai cara-cara untuk menjadi juruacara yang kreatif.


SEORANG pengacara majlis merupakan individu yang memainkan peranan sangat penting dalam menentukan sesuatu majlis atau acara itu berjalan lancar dan ceria.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan majlis berkenaan berakhir dengan kelam-kabut seterusnya menimbulkan rasa kurang puas hati di kalangan pengunjung.

Sehubungan itu, ciri-ciri penting yang perlu ada pada seseorang pengacara majlis termasuk mempunyai penampilan dan personaliti yang baik.

Personaliti yang menyerlah akan menjadikan majlis bertambah ceria dan ini dapat menghiburkan hadirin.

Selain itu, pengacara juga perlu mempunyai suara yang lunak, kreatif, versatil, berdisiplin dan pelbagai ciri-ciri lain.

Kemahiran dan pengetahuan yang ada pada seseorang pengacara akan menjadi majlis tersebut 'hidup'.

Namun, semua kemahiran dan pengetahuan yang disebut tadi bukan ada pada setiap individu yang mahu bergelar pengacara.

Sebaliknya ia perlu dicungkil, dilatih dan digilap bagi membolehkan individu berkenaan menjadi pengacara majlis yang baik.

Menyedari hakikat berkenaan, Markas Tentera Darat (TD) saban tahun menganjurkan pelbagai acara atau majlis sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, formasi mahupun pasukan.

Baru-baru ini Markas TD mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Juruacara Rasmi TD Siri 1/2009 yang berlangsung di Bukit Fraser, Pahang.

Menurut Penyelaras Bengkel, Mejar Mohd. Hanafi Mohd. Yunus, bengkel selama tujuh hari itu bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dari kalangan warga TD.

Katanya, ia juga untuk mengilap kebolehan pengacara dalam mengendalikan majlis dengan lebih baik pada masa akan datang.

Menurutnya, langkah itu akan membolehkan semua peserta menjadi pengacara yang baik dengan mempelajari modul-modul sepanjang bengkel itu.

Pada bengkel itu antara modul yang diketengahkan ialah pengolahan dan pengawalan suara, penulisan skrip acara rasmi dan dokumentari, interaksi bersama tetamu, pengucapan awam, pengacaraan di alaf baru serta aspek etika, protokol dan penampilan diri.

Peserta juga didedahkan dengan lebih menyeluruh mengenai aspek pengacaraan majlis dengan lebih kreatif, pembinaan keyakinan diri dalam konteks perhubungan, kaedah pengawalan suara, aspek gaya bahasa dan tatabahasa serta beberapa perkara lain yang tidak pernah didedahkan kepada mereka sebelum ini.

Selain itu, ia merupakan langkah bagi memberikan pendedahan lebih menyeluruh dan komprehensif berkaitan aspek pengacaraan majlis khususnya kepada pengacara baru.

Ini dapat menambah keyakinan peserta apabila berhadapan dengan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan kedudukan.

Bagi membolehkan bengkel dilaksanakan dengan berkesan, beberapa pendekatan diberikan penekanan.

Ini termasuk pembelajaran secara teori, melakukan latihan praktikal serta berkongsi pengalaman. Selain itu, beberapa fasilitator yang berpengalaman terdiri daripada pegawai TD dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bekas pegawai tentera serta beberapa penceramah awam dijemput bagi menjayakan bengkel itu.

Kehadiran fasilitator berpengalaman secara tidak langsung menguatkan lagi tanggapan bahawa bengkel tersebut mampu meningkatkan kewibawaan para peserta.

Pengalaman serta latarbelakang yang pelbagai dimiliki fasilitator itu berjaya menambahkan pengetahuan anggota yang mengikuti bengkel berkenaan.

Melalui bengkel sedemikian diharap dapat menambah keyakinan para peserta untuk mengendalikan majlis-majlis rasmi di peringkat TD dan formasi.

Beberapa peserta yang ditemui berkata, bengkel tersebut banyak memberi manfaat, pendedahan dan pengalaman baru.

Bagi mereka, sebelum ini belum ada bengkel seumpamanya yang bertujuan meningkatkan pengetahuan juruacara majlis.

Malah mereka menganggap dunia juruacara majlis tidak statik dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Sehubungan itu, adalah perlu bengkel yang sama dengan input dan modul baru diteruskan supaya juruacara majlis memperoleh lebih banyak pengetahuan dan pengalaman.

Menurut Kapten Betty Setianingsih Baharum, bengkel itu menjadikan dirinya seorang yang lebih berkeyakinan apabila berhadapan penonton.

Sebelum ini, Betty kurang yakin dengan kebolehan yang dimiliki namun setelah menyertai bengkel berkenaan ia meningkatkan lagi keyakinan dirinya.

berkeyakinan

"Meskipun pada peringkat awal saya mempunyai suara lebih rendah berbanding peserta lain, namun setelah bengkel berakhir saya lebih berkeyakinan untuk mengacarakan majlis dan menyesuaikan suara mengikut keadaan.

"Banyak input baru yang saya pelajari dari bengkel ini," katanya.

Bagi Kapten Norhaidawati Jaafar, bengkel tersebut banyak memberikan pengalaman baru yang menyeronokkan meskipun agak meletihkan.

Katanya, modul yang dirangka agak padat dan berterusan dan ini memberi pendedahan lebih luas kepadanya.

"Sebelum menghadiri bengkel, saya pernah menjadi pengacara majlis tetapi dengan mengikuti bengkel ini saya yakin dapat memberi khidmat lebih baik," katanya.

Beliau berharap bengkel seumpamanya dapat diteruskan bagi meningkatkan lagi pengetahuan di kalangan juruacara majlis.

Seorang lagi peserta, Sarjan Che Nor Che Noh berkata, bengkel yang dianjurkan memberi gambaran sebenar mengenai bagaimana seseorang pengacara harus bertindak dengan cekap dalam suatu keadaan.

Katanya, banyak pengetahuan baru diperoleh dan ini menunjukkan dunia juruacara majlis tidak statik.

"Ini termasuk peka terhadap perubahan pada majlis di saat-saat akhir.

"Sekiranya perkara tersebut tidak diambil perhatian, majlis yang mempunyai perhiasan cantik dengan juadah makanan lazat mungkin tidak menjadi kenangan kepada tetamu kerana acara yang berjalan tidak seperti diharapkan," katanya.

Ketika menyampaikan ucapan penutup bengkel, Pengarah Pusat Teknologi Maklumat TD (Pustekma) yang mewakili Ketua Staf TD, Kolonel Zaharin Jamel berkata, bengkel itu adalah inisiatif TD bagi mencari barisan pelapis juruacara yang boleh diketengahkan dalam pelbagai majlis dan acara.

Menurut beliau, untuk menjadi seorang pengacara berkaliber seseorang itu bukan sahaja harus mempunyai suara yang baik tetapi mesti mempunyai pakej lain.

Ini termasuk mempunyai inisiatif untuk melakukan penyelidikan terhadap acara dijalankan, peka terhadap perubahan majlis, melakukan raptai serta peka terhadap perkara sensitif.

Selain itu, menurut beliau, untuk menjadi pengacara majlis yang versatil, seseorang haruslah bijak mengolah skrip mengikut acara dan mengolah suara mengikut skrip.

Setelah menjalani pelbagai ujian dan melakukan persembahan diperlukan, di akhir bengkel beberapa peserta terpilih sebagi pemenang iaitu Pengacara Harapan (Staf Sarjan Razali Morat), Suara Latar Terbaik (Kapten Norhaidawati Jaafar), Juruhebah Radio Terbaik (Sarjan Che Nor Che Noh) dan Pengacara Keseluruhan Terbaik (Pertama - Kapten Mohd. Arif Ahmad Suparman; kedua - Kapten Norhaidawati Jaafar dan ketiga - (Kapten Tajul Hisham).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.