saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/10/2009

IKS lonjak ekonomi negara

MENGINJAK keluar daripada krisis ekonomi global yang berlaku awal 2008, Bajet 2010 yang akan dibentangkan nanti pastinya akan menjurus kepada usaha kerajaan untuk merancakkan semula aliran ekonomi.

Suntikan ekonomi baru itu penting ketika negara sedang menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan ekonomi yang positif dan pemulihan yang memberangsangkan ketika ini.

Kerana itu juga Bajet 2010 kali ini dinilai oleh kebanyakan penganalisis ekonomi sebagai bajet defisit yang mana perbelanjaan negara akan melebihi pendapatan. Dalam erti kata yang lain, kerajaan masih perlu memainkan peranan utama dalam usaha merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Tidak seperti syarikat bertaraf gergasi terutamanya yang mempunyai hubungan secara langsung dengan iklim ekonomi di Eropah, industri kecil dan sederhana (IKS) dikatakan tidak begitu menerima impak besar kesan kegawatan ekonomi global 2008.

Namun, pertumbuhan sektor itu turut menguncup kerana pengguna memilih untuk tidak berbelanja disebabkan bimbang krisis ekonomi global menjadi semakin buruk.

Kos-kos pengeluaran dan bahan mentah yang meningkat juga menyebabkan IKS yang berasaskan perkilangan dan pembuatan terpaksa mengecilkan operasi.

Kesannya terpaksa diserap oleh pekerja sama ada melalui pengurangan waktu bekerja atau lebih buruk ada yang terpaksa diberhentikan kerja. Kerana itu sektor tersebut memerlukan tumpuan khusus dalam belanjawan negara apatah lagi pertumbuhannya banyak dipengaruhi oleh dasar dan agenda yang disusun oleh kerajaan.

Antara yang boleh dipertingkatkan ialah intensif yang menggalakkan pengusaha IKS terutamanya di luar bandar beralih daripada cara tradisional kepada teknologi moden termasuk penggunaan mesin.

Pengusaha IKS di luar bandar juga perlu didedahkan dengan bidang teknologi moden supaya perusahaan mereka dapat diperbesarkan dan produk-produk yang dihasilkan boleh dipasarkan sehingga keluar negara.

Ke arah itu juga, kerajaan perlu menyediakan persekitaran yang lebih kondusif bagi pengusaha IKS membangunkan jenama masing-masing.

Tidak seperti intensif modal atau bantuan perniagaan, aspek pembangunan dan pengembangan jenama ini agak kurang diberi perhatian. Keadaan ini menyebabkan kebanyakan usahawan tempatan tidak berminat untuk memperkukuhkan jenama mereka supaya boleh dikomersialkan.

Justeru, bajet kali ini juga diharapkan dapat mencadangkan polisi dan tawaran insentif dari sudut penjenamaan produk di kalangan IKS tempatan.

Perkara lain yang boleh diberi perhatian juga ialah pembentukan rangkaian perniagaan dengan syarikat asing terutamanya di kalangan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Kerjasama itu membolehkan IKS tempatan bergabung dengan syarikat luar dan meneroka pasaran baru di negara-negara serantau.

Bagi penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman, kerajaan menerusi bajet 2010 perlu mengklasifikasikan syarikat-syarikat IKS ini mengikut kaedah tertentu.

Antaranya seperti sangat kompetitif; kompetitif; sederhana; tidak kompetitif dan sangat tidak kompetitif.

Haim yang juga pensyarah di Fakulti Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan, langkah itu membolehkan kerajaan membentuk pakej rangsangan dan pemulihan yang lebih berkesan dan efektif.

Sebagai contoh, kerajaan mungkin boleh menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di kawasan IKS dan mereka boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk membangunkan produk di samping mendapatkan khidmat nasihat. Ini kerana menyediakan pakej pemulihan bersifat satu untuk semua one for all tidak berkesan dalam persekitaran ekonomi seperti hari ini.

Pada Haim juga, pengkategorian itu pada dasarnya mampu membantu kerajaan membentuk pelan perancangan strategik IKS yang lebih komprehensif. Mengetahui maklumat mereka dengan jelas akan membolehkan kerajaan membentuk pakej pemulihan atau rangsangan IKS seperti pelan pemasaran, R&D, sumber manusia, pengeluaran dan sebagainya dengan lebih berkesan.

''Langkah sedemikian mampu melonjak motivasi syarikat-syarikat IKS untuk lebih berdaya saing," ujar beliau.

Intensif lain yang boleh dipertingkatkan menerusi Bajet 2010 juga ialah bantuan kewangan. Modal berbentuk geran atau pinjaman boleh disalurkan dengan lebih berkesan kerana kategori ini akan menjadi indikator utama kepada IKS yang berpotensi.

Oleh itu adalah amat wajar untuk melihat bajet kali ini bersifat mesra perniagaan terutamanya IKS kerana sektor inilah yang menjadi penyumbang utama kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Penutupan syarikat-syarikat ini juga menyebabkan ribuan rakyat hilang pekerjaan dan jika ini berlaku maka proses pemulihan ekonomi akan menjadi lebih sukar dan lambat.

Selain IKS, sektor pembuatan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara selama ini wajar diberi perhatian khusus dalam Bajet 2010. Rundingan harus dibuat antara kerajaan dan pelabur bagi mencari jalan membantu mereka kekal beroperasi di Malaysia.

Membiarkan mereka berpindah ke negara lain atas alasan Malaysia tidak lagi kompetitif adalah kesilapan besar kerana masih terdapat syarikat yang mahu kekal di negara ini jika mendapat sokongan daripada kerajaan.

Justeru, kerajaan harus memulakan usaha proaktif dalam mengekalkan keyakinan para pelabur. Katanya, amat perlu untuk negara menggalakkan pihak swasta terlibat secara aktif dalam pembangunan ekonomi negara.

Ini kerana tanpa sokongan pihak swasta, sukar untuk negara keluar dari kemelut ekonomi dalam kadar segera. Kemampuan kerajaan menarik dan mendorong pihak swasta untuk lebih awal menyuntik modal ke dalam sektor atau pasaran juga amat penting.

Oleh itu menawarkan mereka dengan pakej-pakej pelaburan menarik di samping kadar cukai korporat yang kompetitif mampu memberi sumbangan positif dalam usaha pemulihan ekonomi ini.

Dalam skop yang lebih meluas, Haim juga berpendapat, Bajet 2010 perlu mempunyai mekanisme untuk menyusun pembangunan infrastruktur mega mengikut kepentingan. Pelaksanaannya memerlukan pemantauan teliti kerana kejayaan projek-projek mega itu mampu memberi kesan besar kepada rantaian ekonomi dan sosio ekonomi rakyat.

Di samping itu, projek-projek sederhana dan kecil yang diluluskan dan sedang diusahakan juga perlu dipantau agar tidak berlaku sebarang kelewatan dan ketirisan.

Kegagalan di peringkat ini akan menyebabkan usaha memulihkan ekonomi negara akan menjadi lebih sukar. Sektor-sektor perkhidmatan juga harus diberi insentif tertentu agar dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam memacu ekonomi negara.

Dasar meliberalisasikan 27 subsektor di sektor perkhidmatan baru-baru ini harus disokong dengan aktiviti yang mampu meletakkan Malaysia benar-benar kompetitif.

Pakej-pakej tertentu yang berbentuk kerjasama strategik wajar dibentuk dalam usaha menarik mereka untuk memilih negara ini sebagai destinasi pelaburan mereka.

Tambah Haim, adalah merugikan jika dasar liberalisasi itu hanya dimanfaatkan oleh segelintir pihak yang mengetahuinya sahaja. ''Jika ini berlaku maka usaha pemulihan ekonomi itu akan menjadi lebih lama lagi," ujar beliau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zuhur
Asar
Maghrib
Isyak



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.