saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 22/10/2009

Telaga Simpul kaya cerita mistik


Telaga Simpul di Pantai Marina, Kemaman ini pernah menjadi tempat persinggahan pelayar dan pedagang untuk berhenti rehat. – Utusan/Fauzi Baharudin


KEMAMAN 21 Okt. – Suatu ketika dahulu, tempat ini menjadi persinggahan bagi pelayar dan pedagang untuk berhenti rehat. Dalam pada itu, menurut cerita orang- orang tua dahulu pula, tempat ini dikatakan menjadi ‘kediaman’ bagi makhluk halus.

Begitulah cerita-cerita yang sampai ke telinga penulis yang menyebabkan peninggalan sejarah ini dikunjungi baru-baru ini.

Hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit dari bandar Kemaman, pastinya kunjungan ke telaga tersebut memberikan satu kelainan apabila dapat melihat tinggalan sejarah mistik itu.

Telaga Simpul di Kemaman sememangnya terkenal dengan sejarahnya tidak kurang juga kaya dengan cerita-cerita mistiknya.

Maka tidak hairanlah, Majlis Daerah Kemaman (MDK) mengambil inisiatif memelihara lokasi tersebut selain menambah beberapa kemudahan baru bagi memberi keselesaan pengunjung.

Jika dahulu telaga ini hanya berdindingkan tanah, namun kini batu-bata mengelilingi telaga itu agar ia kelihatan lebih bersih dan memudahkan pengunjung mengunjunginya.

Kisah asal usul Telaga Simpul pastinya dapat dibaca apabila anda mengunjungi kawasan tersebut memandangkan terdapat sebuah batu yang menceritakan tentang kisah di sebalik wujudnya telaga itu.

Menurut cerita yang dimaklumkan, Telaga Simpul wujud akibat aliran mata air yang mengalir dari atas Bukit Pejajat dan mula bertakung di kaki bukit itu sehingga menjadi seperti sebuah kolam.

Airnya yang dikatakan tidak kering, jernih dan segar sehingga kini menyebabkan ia dipanggil telaga.

Menurut cerita penduduk, telaga ini sering dikunjungi oleh penduduk tempatan untuk minum, basuhan serta mandi-manda selain menjadi tempat persinggahan pelayar-pelayar mengisi bekalan air untuk belayar.

Catatan awal mendapati telaga ini dipercayai dibina oleh Abdullah Munshi ketika beliau belayar ke Kelantan, Pahang dan Terengganu namun sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan beliau yang membinanya.


Keindahan Pantai Marina dapat dinikmati pengunjung kerana lokasinya berdekatan dengan Telaga Simpul di Kemaman.


Namun jika dilihat daripada catatan buku Abdullah Munshi dalam buku yang berjudul Kisah Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan, ada menyebut semasa pelayaran balik dari Kelantan, beliau singgah ke satu tempat di Kemaman iaitu sebuah tempat yang dinamakan Telaga Simpul untuk mengambil air minuman dan mandi-manda.

Dalam catatan tersebut menceritakan ketika berada di telaga itu, beliau dan awak-awaknya mandi di telaga berkenaan.

Namun selepas mandi, beliau menyuruh awak-awaknya mengambil sehelai daun mengkuang setiap orang yang tumbuh di sekitar kawasan telaga berkenaan.

Beliau mengarahkan awak-awak menyimpul daun tersebut dan meletakkannya berhampiran telaga itu bagi mengelakkan mereka ditimpa bencana jika tidak berbuat demikian.

Menurutnya, ia perlu dilakukan kerana menjadi adat dan pantang-larang penduduk tempatan sejak dahulu lagi.

Tambah beliau, jika tiada mengkuang, daun pandan atau lalang juga boleh disimpul menggantikan daun mengkuang yang kian sukar ditemui di kawasan berkenaan.

Begitulah cerita sebuah telaga yang kini hanya menjadi tinggalan sejarah di Daerah Kemaman.

Ketika mengunjungi telaga tersebut baru-baru ini, penulis gagal menemui sebarang simpulan daun berhampiran telaga berkenaan.

Mungkin telaga tersebut tidak lagi menjadi tempat tumpuan penduduk menyebabkan ia terbiar dan barangkali ada yang takut untuk mendekati kawasan tersebut yang dipercayai mempunyai unsur-unsur mistik itu.

Lokasi Telaga Simpul yang berdekatan dengan Pantai Marina menjadikan ia tumpuan pelancong setiap hujung minggu.

Inisiatif MDK yang mendirikan sebuah surau dan bilik persalinan di kawasan berkenaan menjadikan kawasan tersebut lokasi pilihan pengunjung tempatan mahupun asing setiap hujung minggu.

Namun awas dengan kehadiran monyet-monyet liar di sekitar kawasan tersebut yang sering menjadikan kawasan berkenaan habitat mereka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.