saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 22/10/2009

Cinta Zakariya pada khat


ISLAM yang tidak membezakan warna kulit membolehkan bangsa kulit putih Amerika, Mohamed Zakariya menjadi pakar penulis khat terkemuka dunia.


KELEBIHAN atau kemahiran menulis khat sepatutnya ada pada setiap umat Islam. Ia bukan sahaja sebagai tanda kecintaan kepada agama yang suci ini bahkan satu kemahiran yang mampu menjadi satu metod dakwah yang paling strategik.

Sekeras mana pun hati manusia, kadang kala mudah cair dan mula terdetik dengan hanya membiarkan diri dilayan oleh alunan azan yang berkumandang dari kaca-kaca televisyen mahupun menara-menara masjid.

Namun tidak kurang hati yang keras itu juga akan tertarik kepada nilai-nilai estetika yang terpancar melalui kesenian halus kaligrafi khat itu sendiri.

Fenomena inilah yang melanda si kulit putih Amerika, Mohamed Zakariya. Beliau tertarik kepada kesenian khat lalu memeluk Islam dan kini seorang yang sangat mahir menulis khat itu dengan sentuhan yang sangat indah dan berseni.

Hebat bukan? Di saat ramai mereka yang dilahirkan sebagai Islam masih tidak dapat menilai dan menghargai keindahan nilai seni agama mereka sendiri.

Antara pencapaian hebat beliau apabila buat pertama kali Amerika Syarikat memperkenal setem pos kenang-kenangan sempena 'Perayaan Aidilfitri' pada tahun 2001, Zakariya adalah individu yang bertanggungjawab mereka bentuk setem-setem tersebut,

Dilahirkan pada 1942 di Ventura California, Zakariya pada asalnya merupakan seorang jurutera aeroangkasa, suatu kerjaya yang sangat mencabar dan memerlukan seseorang yang begitu peka atau sensitif terhadap apa juga objek yang ditemui.

Segala-galanya berubah apabila pada suatu hari, Zakariya berpeluang melancong ke Maghribi sebuah negara di Afrika Utara yang kaya dan terkenal dengan pelbagai kebudayaan dan kesenian Islam.

Tertarik

Kunjungannya ke negara itu benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Zakariya apabila beliau begitu tertarik kepada pegangan budaya, agama dan bahasa yang begitu kuat melatari kehidupan penduduk Maghribi.

Segala pengalaman yang beliau lalui di negara itu, menyebabkan Zakariya ingin mengetahui dengan lebih mendalam.

Ini membawa beliau mempelajari mengenai Islam dan akhirnya tanpa sebarang keraguan, beliau menyerahkan diri kepada Islam dengan memeluk agama itu secara rasmi.

"Pelbagai kenangan dan pengalaman yang saya perolehi terutama di Casablanca. Sebaik saya mendarat di pelabuhannya, suasana dalam remang-remang senja ketika itu amat indah.

"Namun hati saya tiba-tiba terusik apabila melihatkan kaum lelaki yang berjubah putih kelihatan begitu tergesa-gesa menuju ke masjid untuk menunaikan solat.

"Ia menjadi pemandangan yang sangat asing, yang belum pernah saya saksikan sebelum ini dan di saat itu juga azan turut berkumandang menyebabkan hati saya bagai dipagut kepiluan," katanya.

Zakariya ingin menyaksikan dan menikmati lebih banyak lagi kesenian khat di negara itu.

Namun semua itu bagaikan terhalang apabila hanya umat Islam sahaja yang dibenarkan memasuki masjid.

"Oleh kerana saya bukan seorang Islam, saya tidak dibenarkan masuk dan ia begitu mengecewakan," katanya.

Namun hikmah di sebalik tegahan itu, Zakariya semakin kuat untuk mempelajari Islam sehingga membawa kepada pengislamannya itu.

Namun keindahan terutama seni khat itu telah Zakariya kenali sejak kecil lagi. Pertama kali melihatnya beliau terus terpikat dan terpukau.

Peristiwa itu berlaku ketika beliau menyaksikan keindahan seni khat pada sebuah bingkai bergambar yang tergantung di sebuah kedai menjual ambal milik seorang rakyat Armenia.

"Saya terlalu ingin memiliki bingkai itu, tulisan khat itu kelihatan begitu indah. Tetapi sayangnya saya tidak mampu untuk membelinya.

"Tetapi sejak itu saya berazam, saya akan belajar untuk menulis khat dan dibingkaikan untuk saya sendiri," katanya.

Akibat kuatnya pengaruh Islam itu kepada Zakariya, kerjaya sehebat jurutera aeroangkasa sanggup beliau tinggalkan.

Beliau mengambil keputusan menghambakan diri terhadap dunia kesenian Islam dengan berkelana dari satu negara Islam ke satu negara Islam yang lain semata-mata untuk menikmati keindahan agama itu dalam apa juga objek dan subjek terutama seni khat itu sendiri.

Bertahun-tahun lamanya Zakariya mengembara ke Mesir, Algeria dan Turki semata-mata untuk mempelajari dan mendalami kemahiran menulis khat.

Fenomena yang sangat luar biasa bagi seorang warga Barat seperti Zakariya yang begitu taksub pada keindahan khat.

Malah apabila mendapat tawaran untuk berguru dengan tokoh khat terkenal dunia yang berasal dari Istanbul Turki, Hasan Celebi sama sekali tidak beliau lepaskan.

Beliau menyifatkan dirinya sangat bertuah, bagaikan bulan jatuh ke riba kerana berpeluang untuk menajamkan lagi selok belok penulisan khat dengan seorang yang sangat terkenal seperti Hasan Celebi itu.

Berkat kesungguhan

Berkat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Zakariya dan minat beliau yang semakin marak terhadap seni khat, akhirnya pada tahun 1988, anak murid Hassan ini dianugerahkan ijazah Icazet dalam seni khat Thuluth dan Nasakh atau Naskh dan diikuti pada tahun 1997, Ijazah Icazet untuk seni khat jenis Taliq diterima daripada seorang lagi tokoh seni khat terkemuka dunia dari Turki, Dr. Ali Alparslan.

Kini beliau yang kembali menetap di Amerika terus menghambakan dirinya dalam dunia seni khat ini dengan mempunyai syarikat dan galerinya sendiri bagi berkongsi keindahan seni itu dengan orang ramai.

Beliau mempunyai ramai anak didik yang didedahkan sepenuhnya mengenai kesenian Islam di samping sibuk menghasilkan karya-karya agung beliau dan mengadakan pameran bergerak di merata tempat dan pelosok dunia.

Namun Zakariya tidak membataskan kerjaya seninya kepada satu-satu bidang sahaja. Malah elemen-elemen kejuruteraan yang ada dalam dirinya tetap dapat dilihat kerana beliau juga adalah seorang pengukir, pengendali mesin yang pakar.

Zakariya juga terkenal sebagai seorang arkitek, mereka dan membina pelbagai rekaan mengikut gaya horologikal yang antik dan peralatan saintifik.

Koleksi-koleksinya itu dapat dilihat di Muzium Sains Aramco di Arab Saudi, Muzium Kebangsaan di Qatar, Muzium Time di Rockford III dan Planetarium Adler di Chicago Amerika.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.