saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/10/2009

Prihatin kesengsaraan golongan miskin 'urban'

MAJLIS akikah putera sulung saya, Fahd Al-Warith baru-baru ini memaksa saya memikirkan sejenak perihal pembiayaan dan tanggungjawab membesarkan anak seperti mana yang dituntut agama. Ternyata ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah.

Sesekali menghimbau masa lampau, emosi saya sedikit tersentuh mengenangkan diri sendiri yang sebenarnya tidak pernah 'diakikahkan' ketika seusia dengan Fahd. Entahlah. Barangkali, ia terlalu mahal untuk diadakan oleh ibu dan arwah ayah dahulu tatkala kami sekeluarga masih dihimpit suasana kemiskinan.

Justeru, apabila menganalisis intipati Bajet 2010, sedikit sebanyak saya merasa lega kerana kesengsaraan akibat kemiskinan urban nampaknya diberi perhatian oleh kerajaan. Sememangnya menjadi harapan segenap lapisan rakyat, bahawa iltizam pemerintah untuk menjaga kemaslahatan rakyat akan terus-terusan diterjemahkan kepada realiti, seperti mana yang telah ditunaikan sepanjang lebih 50 tahun kemerdekaan, sejajar dengan laungan 'rakyat didahulukan'.

Dalam masa kerajaan sedang berusaha ke arah sasaran 'sifar miskin tegar', sudah tentu permasalahan kemiskinan urban ini tidak boleh dipandang sepi. Kita tidak mahu menjadi seperti beberapa negara maju, tetapi rakyatnya di bandar menghadapi masalah kewangan yang mendesak seperti di Singapura. Malahan, di Amerika Syarikat sendiri, 'kaya' dengan gelandangan yang melarat dan hidup di jalanan gara-gara kos kehidupan yang tinggi.

Pengalaman Sendiri

Saya sebenarnya menzahirkan kesedaran ini atas pengalaman hidup saya sendiri yang bermula dengan kesusahan. Sekalipun susur galur keturunan kami daripada keluarga aristokrat, pemergian arwah ayah ketika saya berumur 4 tahun merupakan suatu tamparan hebat untuk ibu dan keluarga meneruskan kehidupan di tengah-tengah bandar Johor Bahru.

Gaji arwah ayah sebagai seorang guru pada tahun 1970-an sebanyak RM1,000 agak tinggi tetapi pencen selepas kematian hanyalah RM275 sebulan sehinggalah beberapa tahun lalu, yakni di bawah garis kemiskinan negara iaitu RM500. Dengan kos makanan dan pengangkutan bersekolah yang mencecah hingga lebih dua ratus ringgit, menabung sememangnya bukan sesuatu yang dapat kami lakukan. Apatah lagi untuk bersenang-senang, berbelanja itu dan ini. Terma 'mewah' terlalu asing dalam kehidupan kami.

Bagi saya dan kakak, kalau berhari raya pun, itulah masanya untuk bersiar-siar melihat hiasan lampu jalanan di bandar Johor Bahru pada waktu malam kerana dapat menumpang kereta saudara mara yang singgah untuk beraya bersama. Mujur juga kami semua diberi kesihatan dan tiada keperluan untuk menjalani kos perubatan tinggi ketika membesar.

Bayangkanlah betapa payahnya untuk hidup di 'hutan batu-bata'. Kos kehidupan pula tinggi kerana rata-rata kos barang dan perbelanjaan di Johor Bahru dipengaruhi oleh permintaan tinggi rakyat Singapura yang membeli-belah di situ.

Namun, atas tekanan ini saya mencari jalan untuk merubah nasib. Kemudahan belajar diraih. Sebagai anak Johor, kerana kecemerlangan akademik dan kepimpinan rendah serta menengah, saya memperolehi biasiswa Dato' Onn semasa menuntut di English College dan Sekolah Agama Rakyat di Johor.

Tidak hanya di situ, saya terus dibiayai oleh Yayasan Pelajaran Johor semasa menduduki diploma. Kemudian, Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menukarkan pembiayaan pinjaman pembelajaran saya di England yang bernilai hampir ratusan juta kepada biasiswa atas kecemerlangan akademik.

Anak-anak miskin lain seperti saya berusaha tanpa insentif seperti rakan-rakan sekelas yang merupakan anak-anak keluarga berada yang diberi habuan oleh ibu bapa mereka untuk ke Disneyland dan Universal Studio apabila mendapat keputusan peperiksaan cemerlang. Usah Disneyland atau Universal Studio, pagar Zoo Singapura pun tidak dapat saya jenguk walau secemerlang mana pun keputusan peperiksaan saya.

Kami diasuh agar berusaha sendiri bukan untuk mendapat habuan tetapi untuk merubah nasib kehidupan keluarga masa hadapan.

Tanpa kuasa Allah, usaha gigih dan bantuan dari kerajaan Barisan Nasional (BN), saya belum tentu berdiri di mana saya berada kini. Itu pun, yang peliknya, masih ada yang lupa daratan dan mencadangkan kepada kerajaan agar menarik 'keistimewaan' bagi membantu anak-anak Melayu! Tidak dapatlah saya bayangkan kalau kemudahan ini benar-benar diambil. Jawabnya nanti, yang miskin akan terus miskin dan yang kaya akan terus kaya.

Miskin 'Urban' vs Miskin Pedalaman

Permasalahan miskin bandar banyak perbezaannya daripada masalah kemiskinan di pendalaman. Bukanlah saya mahu memperkecilkan isu kemiskinan di luar bandar, namun kalau di kampung, kita setidak-tidaknya masih boleh bercucuk tanam dan mengail ikan untuk mencari sesuap makanan halal.

Di bandar sebaliknya, masyarakat dihambat dengan pelbagai kos kehidupan. Dengan suasana ekonomi yang tidak menentu kini, peningkatan pelbagai kos barangan mungkin tidak dapat dielakkan. Atas kesedaran dan pengalaman, saya menyeru keprihatinan kerajaan terhadap isu kemiskinan urban digandakan lagi.

Sementara itu, rakyat pula tidak boleh terlalu bergantung harap kepada kerajaan yang telah berusaha sehabis baik. Kita juga mesti berusaha merubah nasib sendiri dan bersikap rasional bahawa kerajaan mengalami defisit tahun ini kesan daripada kejatuhan ekonomi global. Jadikan hidup ini suatu cabaran dan tanggungjawab yang mematangkan kehidupan dan ia mesti diatasi dengan semangat waja.

Selama ini saya terpaksa memberanikan diri menempuh seorang diri pelbagai cabaran mendatang. Mujur hati kecil saya sudah berkembang subur dan mekar dengan menerima hakikat bahawa, "Kita mesti matang atas tanggungjawab kita di masa hadapan, bukan atas pengalaman kita masa silam".

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.