saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/10/2009

Cuci the Musical cetus fenomena baru


PEMBAWAKAN watak dengan cemerlang oleh Hans Isaac, Afdlin Shauki, Awie dan AC Mizal menjadi tunjang utama Cuci the Musical.


APABILA Hans Isaac mengumumkan filem sulung arahannya, Cuci akan diangkat ke pentas teater, penulis berfikiran sedikit skeptikal.

Pelbagai persoalan mula berlegar di minda dan penulis mula bertanya sendiri adakah Hans mampu menjadikan Cuci sebagai sebuah teater muzikal yang hebat.

Bukan mahu memperkecilkan kredibiliti dan usaha Hans untuk merealisasikan impiannya, tetapi sedikit sebanyak keraguan itu wujud untuk melihat sejauh manakah Cuci mampu bertukar menjadi sebuah pementasan yang dibanggakan.

Apatah lagi, kejayaan teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang the Musical, P.Ramlee the Musical dan Impak Maksima the Musical telah meletakkan satu tanda aras yang cukup tinggi dalam penerbitan teater muzikal di negara ini.

Sudah pasti kejayaan dua teater muzikal ini sedikit sebanyak akan dijadikan perbandingan untuk Cuci the Musical (CTM) sementelah hampir kesemua tulang belakang pementasan ini pernah terlibat dengan dua teater muzikal mega itu.

Lantas apabila diundang untuk menonton CTM di Panggung Sari, Istana Budaya malam Jumaat lalu, penulis pergi dengan minda dan fikiran yang kosong biarpun ada teman yang mengatakan CTM cukup menghiburkan.

Sebaik sahaja tirai dibuka, kemunculan empat aktor iaitu Afdlin Shauki, AC Mizal, Awie dan Hans sendiri sudah cukup untuk menimbulkan suasana gamat di dalam Panggung Sari.

Ternyata impak dan penangan watak Fairil (Afdlin), C'Tan (AC), Jojo (Awie) dan Khai (Hans) sememangnya cukup besar.

Tidak keterlaluan dikatakan watak-watak ini mampu menjadi watak ikonik seperti mana yang pernah dicipta oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi watak Bujang Lapok.

Jika dilihat secara kasar, CTM sebenarnya sebuah naskhah yang cukup santai dan ringan tetapi di sebalik itu, ia berjaya meninggalkan satu kesan abadi kepada penonton.

Masakan tidak, hampir setiap masa seluruh Panggung Sari digegarkan dengan tepukan gemuruh dan hilai tawa penonton yang tidak henti-henti.

Bukan sekadar skrip dan dialognya yang melucukan dan bersahaja, tetapi pembangunan setiap karakter juga berupaya membuatkan penonton terhibur dan ketawa.

segar dan tidak slapstik

Skripnya yang lucu itu juga segar dan tidak slapstik sehingga perlu memaksa penonton ketawa melihat aksi pemainnya.

AC Mizal dan Awie misalnya, berjaya membawa watak masing-masing dengan cemerlang dan menampakkan sisi lain mereka sebagai seorang aktor.

Mungkin khalayak sudah biasa melihat AC dalam membawakan watak komedi tetapi untuk menonton persembahan Awie di pentas teater buat pertama kali menari serta menyanyi, adalah sesuatu yang cukup menarik.

Watak Jojo yang dilakonkannya cukup menawan hati penonton dan Awie kelihatan sungguh comel di atas pentas sekali gus menghapuskan imej lelaki sasa yang cukup sinonim dengan dirinya.

Lebih-lebih lagi, babak romantik dan percintaan di antara Jojo dan Farah (lakonan Adibah Noor) berjaya mencipta keserasian.

Malah, tidak mustahil jika selepas ini Awie dan Adibah digandingkan dalam mana-mana filem atau drama kerana mereka sememangnya memiliki ikatan yang cukup kuat untuk bergandingan.

Hans sendiri apa kurangnya. Pertama kali menonjolkan bakat nyanyiannya kepada khalayak adalah sesuatu percubaan yang boleh dibanggakan.

Usah sesekali membandingkan Hans dengan tiga aktor yang mempunyai latar belakang dalam bidang nyanyian kerana karakter vokal Hans adalah tersendiri.

Selain mereka, Ramli Hassan dan Harith Iskander yang membawakan watak Tan Sri dan Wira juga memiliki kelebihan masing-masing.

Ramli seperti mana yang diketahui, merupakan seorang yang cukup sinonim di pentas teater lantas menjadikan dia kelihatan begitu gah dalam pementasan ini dengan lontaran vokalnya.

Harith juga kelihatan begitu semula jadi dalam membawakan watak antagonis yang bisa membuatkan audiens berasa meluat dan terhibur dalam masa yang sama dengan gelagatnya.

Sebagai salah seorang pengarah bersama serta individu yang menjaga elemen humor dalam pementasan ini, Harith memang berjaya membuat penonton ketawa.

Entah mengapa, penulis merasakan kesemua pelakon di dalam teater muzikal ini berlakon seolah-olah tidak perlu menghafal skrip dan mencipta dialog mereka sendiri.

Tidak cukup dengan itu, kelebihan CTM juga terletak kepada intipati cerita yang menceritakan tentang semangat setiakawan dan persaudaraan selain penerapan elemen 1Malaysia.

Dalam erti kata lain, CTM adalah pementasan yang disifatkan begitu dekat dengan penonton negara ini yang mampu mengaitkan dengan keadaan serta situasi yang dialami mereka.

Seperkara lagi yang membuatkan penulis bangga dengan CTM adalah rekaan setnya yang ringkas dan minimum serta tidak perlu berlebih-lebihan untuk melengkapkan lagi jalan cerita CTM.

Itu belum ditambah dengan penggunaan kren yang rasanya pertama kali diperkenalkan dalam mana-mana pementasan teater muzikal di negara ini.

Semuanya semata-mata untuk menggambarkan babak malu tapi mahu antara Khai dan CJ saat meluahkan perasaan yang terpendam di dalam hati mereka.

Tidak lengkap sebuah pementasan teater muzikal tanpa iringan muzik dan CTM juga mempamerkan kecemerlangan dari sudut muziknya yang dihasilkan oleh Pacai dan Douglas Lim.

Di sebalik kesempurnaan dan kecemerlangan itu, CTM tidak terlepas daripada cacat-cela dan kelemahan yang dilihat sedikit merencatkan momentum audiens untuk terus menonton teater muzikal ini.

Kelemahan ini dapat dilihat dengan ketara pada set yang kedua di mana perjalanan ceritanya dilihat agak meleretleret sehinggakan ada beberapa babak dirasakan tidak perlu untuk dimasukkan.

Akibatnya, durasi teater ini telah menjangkau tiga jam yang pastinya agak lama untuk sebuah pementasan teater muzikal kontemporari seperti CTM.

Selain itu, ada beberapa ketika barisan ensemble juga dilihat tidak selari dan pergerakan mereka kurang kemas selain beberapa tarian yang dilihat tidak relevan dengan jalan cerita.

memperbaiki kelemahan

Sebagai penerbit, Hans menerima segala kritikan dengan terbuka untuk memperbaiki kelemahan memandangkan ini kali pertama syarikatnya, Tall Order Productions Sdn. Bhd., menerbitkan teater muzikal.

"Saya percaya masih ada ruang meningkatkan lagi prestasi dan mutu pementasan teater ini antaranya untuk memendekkan dan memotong adegan yang dirasakan tidak perlu.

"Memang ada respons yang saya terima mengatakan CTM agak panjang durasinya tetapi saya rasa bangga dan terharu apabila majoriti menyatakan kepuasan menonton teater ini.

"Malah, ada juga penonton dan peminat yang datang menonton tiga kali serta datang sejauh dari Singapura.

"Semua ini sudah cukup membuatkan saya gembira dan percaturan saya ini nampaknya membuahkan hasil," katanya penuh teruja sewaktu menghubungi Hits beberapa hari lalu.

Tambahnya, dia percaya kekuatan barisan pelakon dan skrip menjadi tunjang utama kepada kejayaan CTM.

"Kalau penonton datang menonton persembahan kami dan berasa terhibur, ia adalah satu penghargaan buat kami sebagai karyawan CTM.

"Apatah lagi untuk melihat penonton memberikan sanjungan berdiri (standing ovation) selepas persembahan membuatkan kami terharu dan rasa dihargai," ujarnya yang mengakui cabaran menghasilkan CTM bukanlah semudah yang disangka.

Kata Hans lagi, perancangan selama setahun untuk merealisasikan CTM dilihat banyak membantu kelancaran perjalanan teater muzikal ini.

"Saya menjadikan Cuci versi filem sebagai panduan untuk memantapkan lagi CTM dari segi jalan ceritanya.

"Kami juga banyak mengadakan bengkel lakonan dan skrip untuk memastikan CTM sebuah pementasan yang menghiburkan," jelasnya penuh bangga.

Dengan kejayaan CTM ini adakah bermakna CTM akan dipentaskan di Singapura selain kembali untuk musim kedua seperti mana teater muzikal tempatan yang lain?

Tidak menafikan perkara itu, jelas Hans, pihaknya sedang berbincang dengan pihak di Singapura untuk mementaskan CTM di Esplanade Theatre.

"Saya juga ada rancangan untuk membawa CTM merantau ke beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti Brunei dan Indonesia.

"Tetapi, semuanya bergantung kepada sokongan penonton tempatan terhadap CTM," katanya sambil menggesa masyarakat Malaysia untuk mendapatkan tiket dengan kadar segera memandangkan bilangan tiket buat masa ini semakin terhad.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.