saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/11/2009

Hujan batu di negeri sendiri


PEMANDANGAN bandar Helsinki, Finland yang menduduki tempat pertama Legatum Prosperity Index.


KALAU diikutkan tempat terbaik untuk seseorang itu menjalani kehidupan pastinya di negaranya sendiri. Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri.

Sesungguhnya masih ramai yang berpegang bahawa hidup di negara sendiri adalah lebih baik berdasarkan banyak faktor. Dan yang paling penting ialah perasaan selesa di negeri sendiri, sayang kepada negara dan ramai ahli keluarga yang menetap di sini merupakan antara faktor utama mengapa kebanyakan kita masih menetap di negara sendiri.

Hasilnya kesemua kita akan berusaha untuk menambah baik negara sendiri dengan melakukan pelbagai perkara termasuklah melalui ekonomi, sosial dan politik supaya kita akan terus berasa selesa di negara sendiri.

Namun begitu bukan tugas kita untuk menentukan apakah negara kita adalah yang terbaik di dunia dari segi kemakmuran dan kegembiraan.

Berdasarkan Legatum Prosperity Index iaitu sebuah carta tahunan tentang kemakmuran sesebuah negara yang dikeluarkan Institut Legatum, Finland menduduki tempat pertama bagi negara paling makmur di dunia. Kedudukan Finland ini didorong oleh kemakmuran yang dikecapi dari pelbagai sudut.

Mengenai Institut Legatum ia merupakan sebuah badan pemikir yang dibiayai oleh Kumpulan Legatum yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan dan pelaburan. Institut ini yang ditubuhkan pada 2007 terletak di Mayfair, London.

Menariknya tentang pemilihan negara paling makmur oleh institut ini ialah ahli panel tidak hanya melihat kepada pembangunan ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata. Ahli panel menilai sembilan faktor utama dalam pemilihan mereka seperti asas ekonomi, inovasi dan keusahawanan, institusi demokrasi, pelajaran, kesihatan, keselamatan, pentadbiran, kebebasan peribadi dan kehidupan kemasyarakatan.

Semua faktor ini dilihat mampu menjadi kayu pengukur untuk menilai kebahagiaan dan kemakmuran masyarakat yang hidup dalam sesebuah negara dalam cara yang kompleks tetapi lebih tersusun.

Tambah menarik lagi dengan kemodenan yang semakin ketara sekarang, adalah dilihat kekayaan sesebuah negara bukan lagi menjadi kayu pengukur utama kemakmuran.

Masyarakat dunia kini lebih melihat kepada pentadbiran dalam negara yang lebih telus dan meyakinkan, kebebasan individu dalam perkara seperti bersuara dan menulis serta soal seperti pelajaran dan kesihatan sebagai intipati utama dalam soal kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Pandangan yang diberikan meliputi seluruh golongan masyarakat termasuklah pemimpin perniagaan, pihak media dan orang ramai. Kebanyakan faktor ini turut melibatkan polisi kerajaan seperti hak asasi manusia, kebebasan dalam ekonomi dan lain-lain bagi mendapat penjelasan lebih mendalam dari pelbagai golongan tentang apa yang dimaksudkan dengan pembangunan, kebahagiaan dan kualiti hidup di sesebuah negara.

Berbalik kepada pemilihan Finland sebagai negara paling makmur di dunia, bukan sahaja kerana kemakmuran ekonomi malah faktor kualiti demokrasi dan pemerintahan yang baik turut diambil kira.

Menduduki

Seterusnya negara-negara kecil di Eropah menguasai lima tangga teratas dengan Switzerland menduduki tempat kedua diikuti Sweden, Denmark dan Norway. Kesemua negara ini hanya negara-negara kecil di Eropah dan mempunyai jumlah penduduk yang kecil. Maka adalah tidak menghairankan bagaimana negara ini boleh menduduki antara tempat teratas kerana kesemua negara ini memenuhi kriteria penilaian sembilan faktor yang diambil kira oleh Institut Legatum.

Dengan pertumbuhan ekonomi yang mantap, dasar pelajaran dan kesihatan yang menyeluruh dengan keselamatan yang terjamin serta ketelusan dan kebebasan sama ada dalam politik dan pentadbiran, maka adalah wajar penduduk negara ini merasa sangat makmur, gembira dan selamat.

Namun jika dilihat mereka yang berada di kelompok bawah indeks ini seperti Zimbabwe yang menduduki tempat 104 selain Sudan, Yemen dan Cameroon, situasi yang sangat berbeza boleh dilihat berbanding lima negara teratas.

Peperangan, keganasan dan huru-hara merupakan sesuatu yang sinonim dengan negara-negara ini.

Kedudukan Malaysia pula untuk tahun ini jatuh 10 anak tangga berbanding tempat ke 29 tahun lepas. Bagi negara ini dari segi asas ekonomi serta inovasi dan keusahawanan, kedudukannya dilihat sangat kukuh. Bagaimana dalam kebanyakan indeks Malaysia dilihat berada pada kedudukan sederhana tetapi dilihat ketinggalan dalam soal kebebasan peribadi.

Singapura pula merupakan negara Asia Tenggara yang menduduki tempat tertinggi berbanding negara jirannya dengan menduduki tempat ke 23. Walaupun dalam banyak perkara indeks negara jiran itu dilihat lebih kukuh namun ia tetap ketinggalan dalam perkara seperti institusi demokrasi dan kehidupan bermasyarakat. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan penduduk negara itu tetap merasakan bahawa pemerintah banyak menentukan apa yang perlu dilakukan. Adalah sesuatu yang biasa di mana kebanyakan penduduknya hanya mementingkan diri sendiri dan tidak banyak bergaul sesama mereka dalam soal bermasyarakat.

Negara Asia Tenggara lain yang termasuk dalam senarai Legatum Prosperity Index ialah Thailand yang menduduki tangga 44, Filipina tangga ke-55, Indonesia tangga ke-61 dan Vietnam tempat yang ke-77.

Jepun pula merupakan negara Asia yang menduduki tempat tertinggi pada tahun ini iaitu pada tempat ke-16 susut tiga anak tangga berbanding tahun lepas.

Mengejutkan

Namun yang mengejutkan ialah mengenai kedudukan Hong Kong yang merosot ke tangga 18 tahun ini. Negara itu merupakan antara negara Asia paling cemerlang tahun lepas apabila berjaya menduduk antara 10 negara termakmur di dunia dengan menduduki tempat kelapan.

Bagi negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Perancis kedudukan mereka juga merosot berbanding tahun lepas dengan AS menduduki tempat ke sembilan berbanding ke enam tahun lepas. Manakala Perancis menduduki tempat ke 17 berbanding 15 tahun lepas.

Hanya United Kingdom yang memperbaiki kedudukan dengan menduduki tempat ke 12 tahun ini berbanding 18 tahun lepas.

Kedudukan kesemua negara ini masih boleh dipertikai sebenarnya. Ini kerana walaupun negara ini maju dalam banyak bidang terutama ekonomi tetapi yang sebenarnya banyak masalah lain seperti soal jenayah dan keselamatan serta kehidupan kemasyarakatan tidaklah sebaik mana jika dibandingkan dengan negara-negara lain terutama di Asia.

Begitu juga dengan kedudukan Israel yang menduduki tempat ke-27 berbanding 19 tahun lepas adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Dengan kedudukan sebagai sebuah negara yang wujud kerana merampas hak orang lain selain tetap berlaku serangan di sana sini adalah sukar untuk difahami bagaimana penduduknya masih boleh menerima bahawa mereka hidup dalam aman dan makmur.

Bagaimana pun dalam soal kemakmuran semua mata tidak dapat tidak akan memberi tumpuan kepada dua negara yang semakin memuncak kedudukannya sebagai negara kuasa ekonomi baru iaitu China dan India.

India menduduki tempat yang lebih baik di tempat ke-45 berbanding China yang berada di kedudukan 75.

Dari segi pelajaran, kesihatan dan keselamatan India masih diragui kedudukannya sesuatu yang sudah agak sinonim dengan negara itu sejak dari dahulu lagi. Namun ia dilihat memiliki soal kehidupan bermasyarakat yang lebih baik ditambah pula dengan kematangan politik serta kedudukan ekonomi yang semakin menguntungkan rakyatnya.

Berbeza dengan China, soal pendidikan dan kesihatan bukanlah masalah utama tetapi yang dibimbangkan ialah dalam soal pentadbiran, kebebasan peribadi serta institusi demokrasi yang sememangnya sinonim dengan kedudukan negara itu yang masih berpegang teguh kepada komunis.

Sesungguhnya dalam soal kemakmuran yang dinikmati, pastinya kebanyakan penduduk di sesebuah negara akan tetap berpegang teguh bahawa negara mereka adalah yang terbaik. Walaupun mungkin terdapat di antara mereka yang berhijrah untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik namun pengakhirannya mereka sendiri yang tahu bahawa tidak ada tempat yang lebih baik selain dari tempat sendiri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.