saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/11/2009

Karya matang Bernard Chauly


BERNARD Chauly (kanan) bersama pelakon utama filem Pisau Cukur (dari kiri), Aaron Aziz Fazura dan Maya Karin.


APABILA membicarakan tentang hasil kerja sutradara popular ini, agak sukar sekali untuk mencari kelemahannya. Bukan mahu bersikap bias tetapi itulah realitinya kerana sentuhannya jarang sekali mengecewakan.

Lihat sahaja bagaimana impak yang terhasil daripada filem dan drama bersiri, Gol & Gincu yang sehingga kini masih berbekas di hati peminat setianya.

Lantas apabila berpeluang menonton filem terbaru arahan Bernard Chauly yang berjudul Pisau Cukur baru-baru ini, penulis cuba untuk menontonnya dengan minda yang terbuka.

Bimbang juga kalau Pisau Cukur tidak mampu menjadi sebuah karya yang menghiburkan seperti mana Gol & Gincu berjaya menawan hati penulis.

Namun, selepas hampir dua jam berada di dalam panggung, ternyata penulis berasa puas menonton Pisau Cukur.

Sememangnya Pisau Cukur jauh cukup berbeza dengan Gol & Gincu baik dari segi tema, jalan cerita dan lakonan pemainnya sendiri.

Jika Gol & Gincu membicarakan semangat dan pergolakan remaja moden hari ini, Pisau Cukur pula mengupas isu wanita pisau cukur yang sering kali dipandang negatif.

Naratif ceritanya membicarakan tentang wanita moden yang cita-citanya untuk mencari pasangan hidup dari kalangan lelaki kaya demi menjamin masa depan mereka.

Pisau Cukur diolah dengan begitu baik dan ia menonjolkan permasalahan dan realiti hidup di kalangan wanita moden hari ini yang menjadi pisau cukur.

Meskipun begitu, ia diceritakan dengan begitu kreatif lalu membuatkan kita berfikir bahawa wanita-wanita seperti ini bukannya jahat dan mereka sebenarnya ada matlamat hidup yang mahu dicapai.

Cuma, niat sahaja yang membezakan apa yang mereka inginkan dalam kehidupan mereka dan itu yang ditonjolkan dengan jelas dalam filem Pisau Cukur ini.

Seperkara lagi mengenai kekuatan filem ini ialah dari segi skrip dan dialog yang bersahaja serta cukup melucukan yang menjadi tunjang utamanya.

Semuanya dipaparkan dengan matang, segar, bersahaja dan yang penting, Pisau Cukur bukan sebuah filem komedi yang cuba memperbodoh-bodohkan penonton.

Malah, tidak mustahil untuk beberapa ungkapan dalam filem ini akan menjadi ikutan ramai selepas ini.

Tidak cukup dengan itu, rekaan set bagi kapal pelayaran persiaran juga cukup meyakinkan biarpun ia dirakamkan di darat dan banyak dibantu dengan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Pisau Cukur juga sebenarnya membuktikan bahawa Bernard semakin matang dalam menterjemahkan kreativitinya yang sentiasa segar dan baru itu.

Maka dengan itu, tidak hairanlah mereka yang menonton filem ini tempoh hari tidak henti ketawa sepanjang tayangannya lebih-lebih lagi dengan lakonan pelakonnya.

Fazura sebagai Intan Mastura, seorang hos dan wartawan penyiaran telah memberikan lakonan yang cukup berkesan dan bersahaja.

Lontaran dialog dengan mimik muka yang semula jadi telah membuktikan Fazura sememangnya merupakan aktres dalam generasinya yang berada dalam kelasnya tersendiri.

Maya Karin juga tidak mengecewakan sebagai Bella, seorang wanita yang tidak putus memburu cinta lelaki kaya untuk menjamin kehidupannya.

Berperwatakan gedik dan manja yang pertama kali dibawakan oleh Maya sememangnya cukup menjadi dan sekali gus memperlihatkan sisi lain lakonan Maya yang selama ini dikritik.

Begitu juga dengan watak-watak lain yang semuanya diadun dengan baik dan penonjolan kesemuanya adalah seimbang.

Bagi Bernard, biarpun respons yang diterimanya rata-rata adalah positif namun, untuk menghasilkan Pisau Cukur bukannya mudah.

Apatah lagi ia merupakan genre komedi yang pertama kali diarahkan olehnya dan Bernard sendiri tidak mampu menyembunyikan kebimbangannya.

Katanya, bukan mudah untuk membuat orang ketawa kerana jika tersilap langkah, ia akan menjadi sebuah filem komedi yang klise.

Hakikatnya, Bernard suka untuk melihat penonton ketawa menonton babak yang dekat pada kebenaran seperti mana yang ditonjolkan dalam filem ini.

"Saya bertuah kerana memiliki penulis skrip yang bagus iaitu Rafidah Abdullah yang ternyata bijak menghasilkan sebuah skrip yang mudah difahami.

"Dalam masa yang sama juga, ia tetap menghiburkan dan mampu buat orang ketawa lantas membuatkan saya fikir bahawa elemen humor itu memang menjadi.

"Satu yang pasti saya juga tidak mahu filem ini dibandingkan dengan Gol & Gincu kerana kedua-duanya adalah berbeza sekali," katanya yang juga pernah menghasilkan filem Goodbye Boys pada tahun 2006 selepas Gol & Gincu.

Saat ditanya apakah dia sudah bersedia dengan impak yang bakal terhasil menerusi filem Pisau Cukur seperti mana Gol & Gincu, Bernard menyatakan jawapan optimisnya.

"Jika ia berjaya, ia adalah satu kejayaan bukan sahaja untuk saya tetapi juga kepada semua warga kerja filem ini.

"Saya membikin filem adalah untuk semua rakyat Malaysia menontonnya dan itu yang saya mahukan sebaik sahaja bergelar pengarah filem cereka," ujarnya mengenai filem yang pada asalnya menggunakan judul Gara-Gara Tiga Dara itu lagi.

Tambahnya, kekuatan filem Pisau Cukur juga terletak kepada keserasiannya bersama Rafidah dan juga Lina Tan selaku penerbit eksekutif untuk filem ini.

Tiga serangkai ini jugalah pasukan yang bertanggungjawab mencipta fenomena Gol & Gincu.

"Apabila Rafidah dan Lina membentangkan projek filem ini, saya begitu teruja kerana bagi saya ia adalah sebuah filem gila (ketawa).

"Sewaktu perbincangan, kami sama-sama berbincang dan memikirkan bagaimanakah untuk menjadikan filem ini lebih gila dan hasilnya, cukup menyerlah," kata Bernard yang sememangnya kagum dan bangga kerana dapat bekerja dengan dua wanita kreatif itu.

Bukan itu sahaja, barisan pelakonnya juga menggandakan lagi keterujaan Bernard dalam menghasilkan filem ini.

Selain Maya dan Fazura, antara pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Datuk Rahim Razali, Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Khatijah Tan, Umie Aida, Sharifah Sofea, Liyana Jasmay, Nas-T serta pendatang baru, Shahredza Minhat.

Berbicara lanjut, jelas Bernard selain Fazura, kebanyakan pelakonnya merupakan mereka yang pertama kali berlakon di bawah arahannya.

Bernard juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar dan gemuruhnya apabila menyaksikan nama-nama besar dan hebat dalam filem terbarunya itu.

"Namun begitu, mereka cukup profesional dan boleh bertukar pendapat serta idea untuk menghidupkan watak masing-masing.

"Lebih-lebih lagi dengan adanya bengkel lakonan yang diadakan sebulan sebelum penggambaran bermula membuatkan mereka tahu apa yang perlu dilakukan," katanya yang menggunakan khidmat aktivis teater terkenal, Datuk Zahim Al-Bakri dan Janet Pillai sebagai guru lakonan dalam bengkel tersebut.

Malah, Bernard juga tidak menolak kemungkinan filem ini mampu untuk dilangsungkan ke kaca televisyen seandainya diberi peluang nanti.

Bagi Fazura, biarpun mempunyai pengalaman sebelum ini berlakon di bawah arahan Bernard, namun baginya Pisau Cukur memberikan satu pengalaman yang berbeza.

Sambil memuji pengarah itu yang dilabelnya sebagai seorang yang bijak dan genius, Fazura sebenarnya tidak mahu penonton menyamakan watak Intan Mastura dan Puteri yang dibawakan dalam filem Gol & Gincu.

Katanya, Intan dan Puteri adalah dua karakter yang berbeza baik dari segi perwatakan, kehidupan sosial dan juga latar belakang.

"Bukan mudah nak bawa watak gedik seperti Intan yang suka menyibuk dan dalam masa yang sama perlu berdepan dengan masalah peribadinya yang menjalin hubungan bersama suami orang.

"Tetapi saya berjaya bawakan watak ini kerana bantuan daripada Bernard yang banyak membantu untuk saya menyelami watak Intan.

"Sehinggakan saya berasakan watak Intan ini telah merasuki jiwa saya," katanya yang juga mahu melihat filem ini dizahirkan ke kaca televisyen dan juga sebagai teater muzikal.

Dalam masa yang sama, Fazura menolak dakwaan kononnya dia menenggelamkan Maya dalam filem itu.

Katanya, semua adalah persepsi masyarakat yang melihat watak itu dengan lebih menyerlah di layar lebar.

Bekerja dengan Bernard dan seluruh krew produksi Pisau Cukur bagi Maya, merupakan pengalaman yang cukup indah dan manis sekali.

Menurutnya, jika dari mula semuanya berjalan dengan baik dan pantas maka, Maya yakin ia adalah sebuah produksi yang berjaya.

"Semua orang yang terlibat dalam produksi ini profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan.

"Tiada lain yang saya harapkan untuk filem ini agar ia mampu dinikmati oleh semua golongan masyarakat," katanya yang baru sahaja menginjak usia 30 tahun pada 29 Oktober lalu.

Seperti mana Fazura, Maya juga menyatakan kesukarannya membawakan watak Bella yang memerlukannya menjadi seorang yang gedik dan mengada-ngada.

"Saya bukan seorang yang seperti mana yang digambarkan dalam filem ini tetapi cabaran itu saya sahut demi memberikan kelainan dalam lakonan.

"Tetapi ini bukan bermakna saya sudah puas hati kerana banyak yang perlu saya baiki dan yang penting, suami saya juga terhibur dengan filem ini," ujar Maya yang kini sibuk dengan latihan teater Natrah.

Bagi peminat filem tempatan, pastikan jangan ketinggalan menonton filem komedi terhebat 2009 ini di pawagam berdekatan anda bermula hari ini (5 November).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.