saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/11/2009

Apa muslihat Kemboja lantik Thaksin sebagai penasihat?

MELANTIK bekas pemimpin sesebuah negara sebagai penasihat dalam bidang tertentu kepada negara yang lain bukanlah sesuatu yang pelik. Tetapi dalam pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat kewangan kepada kerajaan Kemboja, tindakan itu dilihat tidak ubah seperti mencurah minyak ke atas api.

Dalam keadaan hubungan diplomatik dua negara bersempadan itu yang sememangnya dingin, tindakan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen tersebut meningkatkan lagi ketegangan sedia ada.

Thailand dan Kemboja sebelum ini pernah beberapa kali mencetuskan kebimbangan di kalangan negara ASEAN terhadap kemungkinan tercetusnya perang. Ia berpunca daripada perebutan kuil Preah Vihear berusia 900 tahun. Kuil itu terletak di perbatasan kedua-dua negara yang didakwa sebahagian daripada wilayah masing-masing.

Perebutan berpuluh-puluh tahun ke atas salah sebuah tapak warisan penting dunia itu memaksa angkatan tentera kedua-dua negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Dalam perkembangan terbaru ini, Hun Sen menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vijjajva apabila melantik Thaksin sebagai penasihat kewangan negara itu.

Sebelumnya, Abhisit pernah menyuarakan rasa kurang senang terhadap Kemboja yang memberi ruang kepada konglomerat milik Thaksin beroperasi di negara itu. Malangnya, Hun Sen bukan sahaja menolak untuk menggunakan pendekatan secara berdiplomasi, bahkan menawarkan pula perlindungan dan melantik Thaksin ke jawatan penting negara itu.

Tindakan itu memaksa Bangkok memanggil pulang dutanya dan menutup pintu sempadan antara kedua-dua negara. Agak sukar untuk menentukan apakah sebenarnya niat Kemboja untuk tidak memilih pendekatan yang lebih harmoni dalam hubungan dengan negara jirannya itu.

Hun Sen tentunya menyedari situasi politik yang dihadapi Thaksin yang kini menjadi orang buruan Thailand atas dakwaan salah guna kuasa. Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa tiga tahun lalu berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya dua tahun, memaksa beliau kini mencari perlindungan di luar negara.

Malangnya, Hun Sen bukan sahaja enggan mengekstradisi Thaksin kepada Bangkok, malah menawarkan pula kedudukan penting atau lebih tepat memberi perlindungan kepada beliau.

Hun Sen dalam mewajarkan tindakannya itu mendakwa tuduhan ke atas Thaksin tidak benar dan lebih bermotifkan politik. Malah tegas Hun Sen, jika benar Thaksin bersalah sekali pun, beliau tidak akan sesekali menyerahkan Thaksin kepada Bangkok kerana Thaksin merupakan tahanan politik.

Sedangkan persetujuan ekstradisi kedua-dua negara hanya melibatkan penjenayah dan bukannya tahanan politik. Dalam pelantikan Thaksin itu juga, Hun Sen menjelaskan ia mengambil mengambil kira kecekapan beliau menguruskan ekonomi Thailand sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Justeru, Thaksin yang kini sudah pun berada di Phnom Penh iaitu dua hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya, hanya akan bertanggungjawab dalam soal hal ehwal ekonomi negara tersebut.

Tetapi bagi pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan, apa yang dilakukan oleh Hun Sen itu lebih kepada tindakan secara peribadi. Hun Sen katanya, seolah-olah menghantar satu isyarat mudah dan jelas kepada Abhisit bahawa Phnom Penh tidak semudah yang disangka akan mengikut segala kemahuan Bangkok.

Dalam erti kata yang lain, Hun Sen seboleh-bolehnya ingin menunjukkan bahawa Kemboja akan mengutamakan kepentingan mereka dalam apa jua aspek yang mempunyai pertentangan dengan Bangkok.

Sikap dan keputusan Kemboja itu juga bertujuan memberi tekanan kepada Thailand untuk membuka ruang tawar-menawar dalam perkara-perkara sensitif antara kedua negara terutamanya perebutan perbatasan.

Atas dasar itu, dapat diperhatikan Hun Sen sentiasa mengambil pendekatan yang berlawanan dengan keputusan Abhisit. Sebagai contoh, apabila Bangkok memberi reaksi untuk menutup sempadannya dengan Kemboja.

Hun Sen sebaliknya hanya bersikap bersahaja tanpa menunjukkan minat untuk mengambil pendekatan yang sama. Penilaian terhadap tindakan ini pastinya akan memberi kesan buruk kepada Abhisit kerana 'memulakan' tindakan yang lebih drastik apabila ingin menutup pintu sempadan antara kedua-dua buah negara.

Abhisit juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung semua rundingan dengan Kemboja termasuk pembahagian sumber tenaga di sepanjang sempadan laut Teluk Thailand ditangguhkan.

Ternyata, walaupun dunia melihat pertikaian baru Thailand-Kemboja ini disebabkan oleh tindakan Hun Sen yang tidak menghormati Thailand, tetapi kesan pertembungan yang lebih besar adalah disebabkan oleh reaksi Abhisit yang kelihatan sedikit gelojoh.

''Dengan kata lain, Abhisit seakan gagal memberi pertimbangan yang lebih baik terhadap provokasi halus Hun Sen serta Thaksin sendiri," ujar pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Sesuatu yang pasti, pertelingkahan terbuka seperti yang berlaku ketika ini tidak wajar dibiarkan berterusan. Sebaliknya, kedua-dua belah pihak perlu memilih pendekatan yang lebih berdiplomasi serta mengutamakan semangat dan kerjasama Asean yang masih segar.

Jika diabaikan tambah Ahmad Zaki, tidak mustahil akan mengheret kepada pertentangan yang lebih buruk, sekali gus menutup peluang mewujudkan hubungan yang lebih positif antara kedua negara.

"Ini kerana dalam soal hubungan Thailand-Kemboja masih terdapat banyak ruang untuk sama-sama mendapat manfaat dan bukan semua yang berlaku adalah bersifat negatif," tambah beliau.

Justeru dalam hal ini, Kemboja sepatutnya lebih sensitif dalam sebarang tindakannya lebih-lebih lagi yang secara jelas membabitkan negara jirannya itu.

Ini kerana sebarang tindakan mereka akan mendapat reaksi segera daripada Thailand yang serta-merta menghentikan semua projek kerjasama dengan Kemboja serta bantuan ke negara itu. Keadaan ini tentunya merugikan rakyat Kemboja sendiri dan menjejaskan semangat bersahabat dan mesra yang dipegang oleh negara-negara ASEAN.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.