saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 16/11/2009

Penumpang bertanya: Perubahan atau penambahbaikan

MINGGU lepas, apabila Selak menyelak perkhidmatan pengangkutan awam komuter, reaksi daripada pembaca amat menggalakkan. Tidak ada yang tidak bersetuju dengan keluhan yang dilontarkan.

Itu adalah fakta. Malahan mereka meminta supaya isu pengangkutan awam ini diberi perhatian lebih serius dan menyeluruh yang melibatkan kedua-dua sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan teksi. Maka sekali lagi isu ini akan dibangkitkan. Tetapi sebelum itu, kita singgah di Hentian Puduraya yang sudah banyak jasanya. Tetapi ada yang kata kompleks hentian itu seperti ‘perangkap’ maut. Penulis tercari-cari di mana silapnya. Sebelum ini sistem pengudaraan yang berpunca daripada asap bas yang boleh menjejaskan kesihatan sudah pun diperbetulkan walaupun masih boleh diperbaiki.

Setelah bertanya kepada orang yang merungut, barulah penulis ternampak silapnya. Semuanya berpunca daripada mahu mengelakkan kesesakan kenderaan dan menghalang penumpang atau pengguna Hentian Puduraya menyeberangi jalan tanpa menggunakan jejantas. Bahagian hadapan tiga pintu masuk utama hentian telah dipagar. Tidak ada ruang bagi pejalan kaki menyeberang jalan. Ramai yang bertanya apa akan jadi sekiranya berlaku sesuatu di dalam kompleks itu? Apakah semuanya akan bergegas ke jejantas? Sejauh mana tahap keselamatan jejantas itu? Pengguna juga merungut kerana terpaksa berjalan jauh sambil mengheret beg ke kompleks itu kemudian turun mendapatkan bas. Mereka merungut kerana tidak berpeluang turun di hadapan pintu masuk hentian sebaliknya berjalan jauh. Niat murni pihak berkuasa amat dihargai tetapi apakah kesan kepada orang ramai? Begitulah keluhan pengguna di hentian tersebut.

Berbalik kepada Selak minggu lepas, Sabtu lalu, penulis sekali lagi menggunakan komuter sekitar 1.30 petang dari Kajang ke KL Sentral. Tidak pasti sama ada ketika itu dianggap waktu puncak. Bagaimanapun tren yang tiba dari Seremban itu sudah pun dipenuhi penumpang. Jangan harap nak dapat tempat duduk tetapi masih ada ruang untuk berdiri! Di stesen Serdang, makin ramai yang naik, keadaan semakin menyeksakan. Polis bantuan berteriak kepada penumpang ‘‘masuk dalam...masuk dalam.’’ Maka penumpang pandailah menyusun kedudukan agar lebih ramai boleh masuk ke dalam ‘perut’ komuter. Di Bandar Tasek Selatan, ada lagi yang turun tetapi yang naiknya lebih ramai. Di stesen yang dianggap paling popular iaitu Mid Valley, yang turun juga ramai tetapi yang naik lebih kurang sama.

Di KL Sentral, penulis kemudian mengambil LRT bagi melihat perbezaan perkhidmatannya. Secara kebetulan, penulis mahu ke Kompleks Haji Kelana Jaya untuk mengucapkan selamat jalan kepada sepupu yang mahu berangkat ke tanah suci Mekah. Mengikut jadual, rombongan dari Guar Perahu, Bukit Mertajam itu akan tiba pada pukul 3.30 petang. Dan bagi mengelak kemungkinan kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan, pilihan terbaik ialah menaiki LRT.

Lega rasanya apabila berpeluang duduk di dalam LRT. Walaupun baru terlepas satu tren tetapi masa menunggu tren berikutnya amat singkat. Perjalanannya pantas, pendingin hawa juga memuaskan. Di stesen Taman Bahagia, teksi berbaris panjang dan penulis mengambil kenderaan awam itu dengan kadar tambang RM5. Tiada kesesakan. Lega kerana tiba di kompleks itu lebih awal. Begitulah nikmatnya jika pengangkutan awam kita cekap, cepat, selesa dan selamat. Namun tidak semuanya baik. Banyak rungutan di sana sini.

Rentetan Selak minggu lalu, seorang pengguna yang juga pegawai di sebuah agensi kerajaan menulis: ‘‘Terima kasih kerana membangkitkan semula isu ini yang mungkin telah ribuan kali keluar di merata media tetapi tidak ada satu pun usaha positif kerajaan menangani masalah yang ‘sangat besar’ ini (kepada orang politik mungkin tersangat kecil kerana mereka tidak menggunakan langsung kerana ada kenderaan mewah, ada pemandu). Akhbar perlulah mengutarakan banyak perkara mengenai ‘rakyat’ kerana 1Malaysia ‘Rakyat didahulukan.’

“Saya sebagai pengguna KTM Komuter dari Nilai ke stesen Bank Negara selama lima tahun amat lega dengan artikel ini. Untuk apa peruntukan RM100 juta membangunkan anak-anak supaya cerdik dan bijaksana sedangkan apabila mereka besar nanti mereka berhadapan dengan 1001 masalah yang tak pernah diselesaikan. Eloklah peruntukan 2010 sebanyak RM100 juta digunakan untuk membeli komuter baru bagi membantu kami yang menggunakan satu-satunya alternatif yang ada.’’

Beliau juga bertanya, adakah dalam KRA Nasional " Membaiki sistem pengangkutan awam” akan tercapai kalau sebelah mata pun (pemimpin) tak tengok komuter?’’

Seorang CEO syarikat swasta pula membangkitkan masalah copet.

Beliau memberitahu: ‘‘Baru-baru ini rakan saya dari China hilang kira-kira RM8,000 di dalam komuter ketika beliau dalam perjalanan dari KL Sentral ke pejabat saya di Batu 3. Apabila beliau membuat laporan, saya dimaklumkan copet di dalam KTM Komuter menjadi perkara biasa dan banyak laporan diterima.’’

CEO itu dukacita kerana rakannya sudah mendapat gambaran buruk apabila kali pertama tiba di negara ini bagi meninjau peluang pelaburan.

‘‘Saya juga melawat China dan menggunakan LRT tetapi ia begitu sistematik, tidak seperti khidmat komuter,’’ katanya yang bersedia membawa rakannya menemui KTMB untuk menceritakan apa yang berlaku.

Seorang lagi eksekutif yang menggunakan komuter sejak lima tahun lalu menyifatkan perkhidmatan itu masih tidak berubah tetapi semakin bermasalah. Daripada masa menunggu 15 minit kepada 20 minit dan kini 30 minit.

‘‘Pada hari ini, 5 November, selepas lima hari KTM Komuter mengubah jadual yang dikatakan dapat mengatasi masalah penumpang tetapi masih membatalkan tren. Adakah ingin mengubah masa (waktu menunggu) kepada 1 jam pula? Saya sebelum ini menaiki tren 6.33 pagi dari stesen Kuang ke stesen Bank Negara tetapi selepas perubahan, jadual dipercepatkan kepada 6.23 pagi. Saya terlepas tren itu. Bagaimanapun saya berpendapat dapat menaiki tren Kajang pada pukul 6.38 pagi tetapi tren itu dibatalkan. Jadi saya terpaksa menaiki tren 6.53 pagi yang sememangnya amat sesak. Adakah ini perubahan atau penambahbaikan?,”

Lain pula ceritanya pada sebelah petang.

‘‘Kakitangan kerajaan misalnya pulang pukul 4.30 petang, 5 petang dan 5.30 petang. Kakitangan yang pulang 4.30 petang belum tentu dapat naik tren 4.53 petang dari stesen Bank Negara. Pasti sebahagiannya akan menaiki tren 5.24 petang bersama kakitangan yang pulang pukul 5 petang. Amatlah sesak. Itu baru kakitangan kerajaan, tidak ditambah kakitangan swasta atau penumpang lain. Jika tren dibatalkan, lagilah teruk. Bersesak-sesak di stesen sehingga waktu maghrib. Tolonglah perbaiki sistem perkhidmatan. Jangan asyik sibuk baiki, cantikkan dan tambah stesen tetapi sistem teruk. PM Pak Lah pun dah naik tapi tak berubah juga.’’

Begitulah keluhan mereka yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.