saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 18/11/2009

Tiga konsert Siti tahun depan


MENGENAKAN busana rekaan Hatta Dolmat menepati konsep lagu Ku Mahu yang menjadi lagu pembukaan.


TAHUN 2009 menyaksikan kehebatan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza mengadakan dua buah konsert besar yang mencatatkan kejayaan membanggakan.

Pertamanya adalah pada bulan Jun lalu menerusi Konsert Eksklusif Satu yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Terbaru, Konsert Seribu Warna Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung dengan penuh jayanya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor malam Sabtu lalu apabila dihadiri 10,000 orang penonton.

Dan, belum pun tahun 2009 melabuhkan tirainya, penyanyi popular ini mengesahkan akan terlibat dengan tiga buah konsert besar yang dirancang untuk tahun 2010.

Sesungguhnya perkhabaran tersebut pastinya menggembirakan peminat setia dan fanatik penyanyi ini yang terus diberi peluang untuk menyaksikannya beraksi di pentas konsert.

Tiga konsert yang dimaksudkan Siti adalah Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir dan Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung di Esplanade Theater, Singapura pada 1 Januari depan.

Seterusnya, sebuah konsert bersama penyanyi seberang, Krisdayanti yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Jakarta bersempena kelahiran album duet mereka yang akan dipasarkan penghujung tahun ini.

Dan, kemungkinan besar pada 1 April nanti, Siti akan mengadakan sebuah lagi konsert bagi meraikan pembabitannya selama 15 tahun dalam dunia seni.

Melihatkan perancangan yang sudah disusun oleh Siti menerusi syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP), membuktikan Siti tidak betah untuk duduk diam.

Alasan Siti cukup mudah. Apabila beraksi dalam sebuah konsert, ia cukup memberikan kepuasan yang maksimum kepada penyanyi itu seandainya dia melihat penonton serta peminat berasa puas dan terhibur.

Menafikan dirinya tidak menjaga hak eksklusifnya sebagai seorang penghibur, ujar Siti, apa yang dilakukannya adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai anak seni.

"Apabila kita berada di atas pentas, menyanyi dan menghiburkan penonton, ia buat saya rasa terhibur dan senang sekali.

"Kerana bukan mudah untuk membuat penonton dan peminat kita terhibur dengan persembahan kita.

"Maka itu, saya harus melakukan perancangan rapi agar persembahan saya akan nampak berbeza dengan apa yang telah saya lakukan sebelum ini," ujar penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Jerat Percintaan ini tersenyum manis.

Mengulas tentang konsertnya bersama M. Nasir pula, Siti sememangnya teruja dengan tawaran oleh Beyond DDB yang mahu menggandingkannya dengan penyanyi dan komposer ternama itu.

Menurutnya, persembahan itu kelak akan diseimbangi dengan persembahan solo masing-masing selain daripada menyampaikan beberapa buah lagu duet.

"Saya masih belum berbincang dengan M. Nasir tentang konsep persembahan kerana kita tahu dia pun ada cara dia sendiri.

"Walaupun konsert tersebut hanya satu malam sahaja, kami akan memastikan ia akan meninggalkan satu kesan abadi kepada penonton kelak," ujarnya yang akan menyampaikan lagu duetnya bersama M. Nasir iaitu Bagaikan Sakti pada malam itu nanti.

Mengenai konsert solo sempena ulang tahunnya yang ke-15 pula, Siti menjelaskan buat masa ini, pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja untuk mencari penajaan selain memikirkan konsep persembahan serta lokasi.

Dalam masa yang sama, penyanyi yang diberi jolokan biduanita muda negara ini juga melahirkan rasa puasnya apabila dapat beraksi dalam Konsert Seribu Warna.

Apatah lagi dapat membuat persembahan bersama dua beradiknya, Saida dan Sairah di atas pentas yang sama, Siti menyifatkan mereka telah lulus ujian besar pada malam itu.

"Namun begitu, masih lagi banyak kelemahan yang boleh mereka perbaiki untuk memantapkan diri sebagai seorang penyanyi yang baik.

"Disebabkan itu, menerusi konsert ini, saya mahu memberi ruang dan peluang buat mereka serta kumpulan Coda untuk memperkenalkan bakat mereka kepada khalayak," katanya yang mengenakan dua persalinan busana rekaan Hatta Dolmat.

Konsert Seribu Warna dimulakan dengan persembahan kumpulan Coda menyampaikan lagu Hanya Aku yang dipetik dari album pertama mereka, Retorik Audio.

Meneruskan persembahan, kumpulan yang merangkumi lima orang anak muda itu menyanyikan medley lagu-lagu seperti Buai, Sinaran dan Farewell sebelum Saida dan Sairah mengambil tempat.

Saida dan Sairah memulakan persembahan mereka dengan lagu Dokter Cinta sebelum masing-masing menyampaikan lagu solo mereka.

Saida yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu menyampaikan lagu Dicuri Malam dan Sedalamnya Cinta manakala Sairah pula menerusi lagu Hero Wayang serta Akhir Cinta.

Mereka juga sempat membuat persembahan bersama Siti menerusi lagu-lagu seperti Hey Ladies, Lelaki Buaya Darat dan Pudar.

Ternyata persembahan Saidah dan Sairah berjaya membuka mata penonton di stadium apabila masing-masing menunjukkan peningkatan serta perubahan dalam persembahan.

Saida seperti mana yang diketahui sebelum ini memiliki darah gemuruh di atas pentas telah menunjukkan keyakinan tinggi serta bersemangat di dalam persembahannya.

Begitu juga dengan Sairah yang telah memberikan persembahan yang menyakinkan terutama sekali sewaktu menyampaikan lagu Akhir Cinta.

Baik Saida dan Sairah menjelaskan, peluang besar yang sudah disediakan itu amat dihargai dan sudah pasti tidak mahu memberikan persembahan sambil lewa sahaja.

Tepat pukul 9 malam, sebaik sahaja kelibat Siti kelihatan di atas pentas, penonton sudah tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka dengan bersorak serta memberikan tepukan gemuruh.

Menyampaikan lagu Ku Mahu yang digubah muziknya menjadi lebih segar, Siti memberikan persembahan berbeza dan menarik apabila lagu tersebut telah diiringi penari yang telah menukar pentas menjadi sebuah pesta.

Keadaan penonton bagaikan tidak terkawal apabila Siti menyampaikan lagu Ku Milikmu yang disuntik dengan elemen lagu Beyonce iaitu Crazy In Love yang mendapat sorakan daripada penonton.

"Saya tahu ramai yang kecewa apabila konsert Beyonce dibatalkan dan kehadiran saya ini adalah untuk mengubati kekecewaan itu.

"Tidak dapat tengok Beyonce, dapat tengok Siti Nurhaliza pun jadilah ya," gurau Siti dengan disambut gelak tawa dan tepukan penonton.

Sesuatu yang menarik tentang Konsert Seribu Warna ini apabila persembahan Siti turut diselitkan dengan visual yang menjadi perantara antara lagu yang disampaikan.

Sebelum lagu Nirmala misalnya, Siti mempertontonkan persembahannya menerusi lagu-lagu Irama Malaysia yang pernah dilakukannya sewaktu menyertai Anugerah Juara Lagu dulu.

Seperti mana yang dijanjikan Siti sebelum ini, persembahan ini turut menyaksikan anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu menyampaikan dua buah lagu daripada penyanyi lelaki tempatan yang amat dikaguminya iaitu Anuar Zain dan Faizal Tahir.

Kata Siti, dia begitu menggemari lagu Lelaki Ini dan Mahakarya Cinta yang disifatkannya sebagai lagu yang cukup indah dan bukan mudah untuk dinyanyikan.

"Kerana itu, saya meminta Aubrey Suwito selaku pengarah muzik untuk menggubah muziknya mengikut nada kunci yang sesuai dengan vokal saya.

"Maklumlah, lagu penyanyi lelaki memang berbeza dengan penyanyi wanita dan bukan mudah untuk menyanyikan mengikut nada kunci yang asal," ujarnya penuh jujur.

Bagi menampilkan kelainan, Siti turut mengundang peniup seruling terkenal, Mohar yang mengiringinya sewaktu menyampaikan lagu Bukan Cinta Biasa di mana susunan muziknya begitu indah dan syahdu sekali.

Tidak lupa menyampaikan lagu Seindah Biasa, Siti sempat menceritakan bahawa lagu ciptaan Pongky itu rupanya merupakan lagu kegemaran bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail.

"Arwah abah boleh menangis dengar lagu ini kerana liriknya yang begitu indah dan puitis sekali," kata penyandang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 10 kali itu penuh makna.

Antara lagu-lagu lain yang dipersembahkan Siti dalam persembahan hampir dua jam itu adalah Di Taman Teman, Biarlah Rahsia, Pendirianku, Ku Percaya Ada Cinta sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Destinasi Cinta.

Secara keseluruhan, Konsert Seribu Warna cukup menghiburkan penonton dan peminatnya dalam suasana yang santai seperti mana yang dimahukan Siti.

Sudah pasti, Siti telah melunaskan tanggungjawabnya dengan cemerlang sekali berbekalkan penyampaian vokal yang jitu dan ampuh waima dalam apa jua rentak lagu sekalipun.

Konsert Seribu Warna merupakan kerjasama di antara syarikat Siti iaitu Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) dan Hai-O Marketing Sdn. Bhd.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.