saya nak baca ..

FORUM


ARKIB : 19/11/2009

Surat terbuka kepada ahli politik Malaysia

SEBAGAI seorang rakyat Malaysia yang sayangkan perpaduan dan ketenteraman negara maka tergerak hati saya untuk menulis kembali dalam ruangan ini untuk meluahkan perasaan sedih dan hampanya hati saya apabila melihat perkembangan politik semasa tanah air. Senario sekarang bukan sahaja telah menyemarakkan api ke arah merosakkan perpaduan di kalangan rakyat jelata tetapi ia juga amat berpotensi untuk membuka ruang dan peluang untuk negara kita dijajah semula.

Surat terbuka ini ditujukan khas kepada semua ahli politik di Malaysia.

Nenek moyang dan ibu bapa kita telah berjuang bermati-matian untuk menuntut kemerdekaan dan mereka telah berjaya menghadiahkan kita sebuah tanah air berstatus merdeka. Demi menghargai perjuangan mereka, kita seharusnya pula berjuang bermati-matian untuk memberikan hadiah kepada anak cucu kita sebuah negara berstatus maju dan dihormati di seluruh dunia dan bukannya merosakkan keamanan dan kesejahteraan negara yang kita cintai.

Sebagai rakyat biasa, dengan rasa rendah hati ingin saya berikan amaran dan peringatan kepada semua ahli politik dan rakyat Malaysia yang menyimpan cita-cita untuk menjadi ahli politik pada masa hadapan supaya jangan berpolitik sehingga pegangan ideologi politiknya bertentangan atau melawan arus prinsip Rukun Negara. Berpolitik bertentangan dengan prinsip itu akan menjadikan kita sebuah negara yang porak-peranda dan seterusnya tidak aman dan sejahtera.

Janganlah kita berpolitik sehingga kita menumpukan seluruh tenaga dan usaha kita semata-mata untuk memenangi hati rakyat sehingga kita melunturkan kesetiaan rakyat kita kepada Raja. Janganlah kita sewenang-wenangnya memalukan negara kita di kaca mata dunia. Di manakah kesetiaan kita kepada negara jika kita sebagai ahli politik terus bermegah apabila berjaya merosakkan nama baik negara kita di persada dunia? Janganlah kita jadi seumpama Pak Kaduk, Menang Sorak Kampung Tergadai.

Janganlah kita berpolitik sehingga terarah secara sengaja atau tidak sengaja menolak Perlembagaan Negara yang telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini berdasarkan satu kontrak sosial.

Janganlah kita berpolitik sehingga kata-kata kita atau tingkah laku kita mewujudkan kekacauan dan melanggar undang-undang serta tidak menghormati keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara.

Janganlah kita berpakat menyemarakkan api di kalangan rakyat untuk menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

Akhir kata, tingkah laku sopan juga mengandungi satu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Oleh yang demikian, sebagai seorang ahli politik, seharusnya anda berpegang pada nilai yang positif dan murni ini dan tidak mengamalkan budaya kurang ajar dan biadap.

Pesanan kepada ahli politik, berpeganglah kepada peribahasa ini: 'Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.'

Kita semua sebagai rakyat biasa pula, marilah kita mulakan satu gerakan menolak pemimpin atau ahli politik yang menentang prinsip Rukun Negara kerana ia akan pasti merosakkan perpaduan di kalangan kita dan merugikan anak bangsa kita pada masa hadapan. Bak kata pepatah, 'Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.'

WIRAKARNAIN SANI

Universiti Malaya

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.