saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 20/11/2009

Keputusan UPSR 2009


(dari kiri) Iman Nur Alisa Md. Rosli, Siti Nur Solihah Ariffin, Chong Tzh Yee dan T. Thurgadevee berkongsi kegembiraan selepas masing-masing mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Puteri, Seremban, semalam.


2,343 peroleh 5A dan 7A di N. Sembilan - SEREMBAN 19 Nov. – Seramai 2,343 daripada 19,404 pelajar semua jenis sekolah di negeri ini mendapat keputusan cemerlang 5A dan 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Jamali Salam berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan positif iaitu sebanyak 12.1 peratus berbanding pada tahun 2008 iaitu seramai 2,225 pelajar yang memperoleh keputusan sama.

Katanya, pelajar yang mencapai tahap penguasaan minimum iaitu sekurang-kurangnya mendapat gred C dalam keseluruhan mata pelajaran adalah seramai 13,031 orang iaitu 67.2 peratus.

‘‘Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding pencapaian pada tahun 2008 iaitu 66.9 peratus dengan jumlah 13,064 pelajar,” katanya pada sidang media di jabatan itu di sini hari ini.

Tambahnya, berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) pula, dicatatkan bagi sekolah rendah di negeri ini ialah 2.20 di mana nilai berkurangan berbanding 2.24 pada tahun 2008, sekali gus menunjukkan peningkatan dalam kualiti pencapaian UPSR di negeri ini.

‘‘Bagi prestasi cemerlang gred A 12 mata pelajaran iaitu jumlah keseluruhan mata pelajaran, sebanyak lapan mata pelajaran prestasinya meningkat manakala empat mata pelajaran prestasinya merosot.

‘‘Mata pelajaran yang meningkat gred A pada tahun ini ialah subjek Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Penulisan, Matematik, Sains, Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Pemahaman, Bahasa Melayu SJK Penulisan, Bahasa Cina Penulisan, Bahasa Tamil Pemahaman dan Bahasa Tamil Penulisan,” katanya.

Mata pelajaran yang merosot prestasi gred A pada tahun ini pula ialah Bahasa Melayu SK Pemahaman, Bahasa Inggeris, Bahasa Inggeris SJK, dan Bahasa Cina Pemahaman.

Kata Jamali, pihaknya masih membuat analisis lengkap berhubung kemerosotan itu.

‘‘Bagi empat mata pelajaran termasuk subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Inggeris SJK yang merosot prestasi gred A itu kita akan mengetahuinya sebaik menerima data dan analisis subjek berkenaan,” ujarnya.

Peperiksaan UPSR 2009 yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September lepas di 337 buah pusat peperiksaan di negeri ini membabitkan sebanyak 339 buah sekolah kerajaan dan swasta.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Puteri, di sini dan Sekolah Modal Khas Batu Kikir, Kuala Pilah diumum sebagai sekolah terbaik pencapaian UPSR, masing-masing mencatat 52.2 peratus dan 53.8 peratus mendapat keseluruhan gred A.


Seramai 55 murid dari Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang bangga menunjukkan keputusan 5A yang mereka terima dalam peperiksaan UPSR di Melaka, semalam.


1,411 dapat semua A di Melaka - MELAKA 19 Nov. – Seramai 1,411 daripada 15,187 murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Isa Abu berkata, pencapaian murid dalam menguasai tahap minimum gred A, B dan C bagi semua mata pelajaran pula seramai 10,087 orang atau 66.41 peratus.

Menurutnya, pada tahun ini, bilangan murid yang menduduki peperiksaan UPSR berkurangan berbanding seramai 15,422 atau perbezaan 235 orang murid pada tahun lalu.

‘‘Prestasi mata pelajaran UPSR menunjukkan pencapaian tahap penguasaan minimum semua mata pelajaran melebihi 70 peratus kecuali Bahasa Melayu (Kefahaman) untuk aliran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Bahasa Melayu (Penulisan) SJKT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman keputusan UPSR negeri yang turut dihadiri dua pelajar cemerlang sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKT), Muhammad Daniel Idrus dan S. Karthika Dewi di sini hari ini.

Isa memberitahu, Sekolah Kebangsaan Palembang diumumkan sebagai sekolah terbaik UPSR pada tahun ini bagi kategori sekolah bandar apabila 55 orang murid sekolah itu berjaya memperolehi 5A daripada keseluruhan 203 orang murid yang mengambil peperiksaan tersebut.

Bagi sekolah kebangsaan luar bandar, katanya, Sekolah Kebangsaan Bukit Senggeh dinobatkan sekolah terbaik dengan lima murid daripada 22 murid sekolah itu memperolehi 5A.

“Tahun ini juga, kita dapati beberapa sekolah aliran Tamil seperti SJKT Jalan Kubu mendapat keputusan UPSR agak membanggakan apabila seramai 14 murid sekolah itu mendapat 7A berbanding seorang murid sahaja tahun lalu.

‘‘Pencapaian cemerlang turut dicatat oleh SJKT Rembia, Alor Gajah apabila empat muridnya mendapat 7A berbanding tiada seorang murid yang berjaya mendapat keputusan sama tahun lalu,” katanya.

Mengulas mengenai penurunan pencapaian murid mendapat keputusan 7A dari sekolah aliran Cina seperti SJKC Yok Bin dan SJKC Pay Fong, kata Isa, ia mungkin disebabkan penularan wabak H1N1 bermula Ogos lalu.

Katanya, pada tahun ini, hanya 15 orang murid dari SJKC Yok Bin berjaya mendapat 7A berbanding 36 orang murid tahun lalu.

“Kita dapati bilangan murid yang mendapat keputusan cemerlang dari SJKC Pay Fong juga menurun agak banyak iaitu hanya 17 murid mendapat 7A berbanding 31 orang murid tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan kajian menyeluruh bagi meneliti punca pengurangan bilangan murid dari sekolah aliran Cina mendapat keputusan 7A dalam UPSR tahun ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:01
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.