saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 23/11/2009

Menghukum wakil rakyat tidak ‘turun padang’

ADAKAH keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah kosong akan ditangguhkan?

Sama-samalah kita nantikan keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini berhubung permohonan penangguhan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sejak kebelakangan ini, dalam dunia politik, isu ini menarik perhatian ramai terutama di Kedah. Jika berlaku pilihan raya kecil (PRK), maka ia yang ke-10 di seluruh negara sejak pilihan raya umum (PRU) pada Mac 2008. Di Kedah, jika PRK diteruskan, maka ia menjadi PRK kedua selepas DUN Bukit Selambau atau yang keenam di utara selepas Parlimen Permatang Pauh, DUN Penanti dan Permatang Pasir (Pulau Pinang), DUN Bukit Selambau (Kedah) dan Parlimen Bukit Gantang (Perak).

Pada masa yang sama isu UMNO Kedah juga tiba-tiba mencuri tumpuan apabila rakan-rakan lain di Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menulis mengenai perkara ini.

Nampaknya kalaulah berlangsung PRK di Kota Siputeh, adakah UMNO Kedah benar-benar bersiap sedia atau akan bertambah ‘kalut’ seperti gambaran yang diberikan oleh media mengenai parti politik?

Memanglah masalah parti politik ada di mana-mana. Dalam politik penyakit hasad dengki, khianat mengkhianati, cantas mencantas dan golongan haprak tetap ada. Sukar nak dihapuskan. Maka bukan sekadar UMNO Kedah tetapi di negeri-negeri lain juga masalah hampir sama berlaku lebih-lebih lagi apabila negeri itu kalah kepada pakatan pembangkang pada PRU lalu.

Apabila pemimpin luar dilantik mengetuai perhubungan UMNO negeri, maka tidak dinafikan ada pandangan pro dan kontra. Begitulah yang berlaku apabila pemimpin UMNO Pusat diturunkan untuk memimpin UMNO di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Tidak ketinggalan juga Terengganu walaupun negeri itu dimenangi BN.

Walaupun ada orang lebih senior di negeri-negeri itu - di kalangan ketua-ketua bahagian - tetapi mesti ada yang tidak kena apabila mereka tidak diberi tanggungjawab berkenaan. Sebaliknya mereka hanya sekadar memikul tanggungjawab sebagai orang nombor dua.

Mungkin orang senior ini boleh diberi tanggungjawab yang lebih untuk membina keyakinan ahli-ahli UMNO di negeri masing-masing di samping dapat membantu pemimpin dari Pusat.

Berikan mereka peluang untuk membuktikan keupayaan pada PRU akan datang. Ini kerana sebagai pemimpin Pusat, disebabkan tugas sebagai menteri penuh, mungkin masa untuk membantu UMNO di peringkat negeri itu kurang. Maka tidak mustahil banyak aktiviti bersama rakyat atau golongan akar umbi tidak dapat dijalankan.

Terserahlah kepada UMNO Kedah dan UMNO di negeri lain yang diterajui pemimpin Pusat untuk memperbetulkan keadaan supaya masalah dalaman seperti ini tidak terus menghantui perjalanan parti sama ada di peringkat bahagian atau negeri.

Berbalik kepada kerusi DUN Kota Siputeh yang diisytiharkan kosong pada 17 November lalu, Abu Hassan Sarif dikenakan ‘hukuman’ tersebut selepas wakil rakyat itu gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

Sebelum isu ini dibawa ke mahkamah, SPR mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN masih merupakan ADUN kawasan berkenaan.

Sama ada rayuan SPR diterima atau ditolak pada hari ini, semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat.

Tetapi pada masa yang sama isu ini membawa pengajaran yang amat bermakna kepada wakil rakyat yang diberi tanggungjawab oleh pengundi-pengundi pada PRU lalu untuk mewakili mereka.

Wakil rakyat sama ada di peringkat DUN atau Dewan Rakyat (DR) tidak boleh lagi sesuka hati nak datang ke Dewan atau tidak. Mereka harus sedar bahawa ada undang-undang atau peraturan yang boleh ‘mengajar’ mereka sekiranya tidak hadir tanpa sebarang sebab atau atas alasan yang munasabah.

Lainlah jika mereka ingin ke Dewan sama ada DUN atau DR tetapi terhalang disebabkan mereka sudah dihukum gantung daripada menghadiri sidang itu. Maka mereka bolehlah ‘berehat’ daripada menghadiri sidang DUN walaupun hati meronta-ronta ingin hadir ke Dewan untuk membawa masalah rakyat atau sekurang-kurangnya mencari silap pihak pemerintah.

Tetapi apabila digantung menghadiri DUN atau DR, jangan pula mereka ‘menggantung’ aktiviti di kawasan masing-masing. Sebaliknya gandakanlah aktiviti untuk mendekati rakyat.

Begitu juga kepada ADUN atau Ahli Parlimen yang tidak dikenakan tindakan gantung. Mereka juga jangan lupa tanggungjawab di kawasan masing-masing.

Walaupun tidak ada peraturan yang berkehendakkan mereka turun ke kawasan bagi satu jangka waktu tertentu sama ada seminggu, sebulan, dua bulan atau tiga bulan sekali tetapi ingatlah mereka boleh ‘dihukum’ dalam tempoh empat atau lima tahun sekali melalui PRU.

Walaupun tempoh itu agak lama tetapi jika mereka tidak merasai hukuman itu sekiranya tidak dicalonkan semula oleh parti tetapi orang yang bakal menggantikan mereka juga berkemungkinan akan terasa tempiasnya. Bak kata orang, seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit.

Justeru, janganlah main-main dengan kuasa rakyat ini. Jangan sekadar takut kepada kuasa DUN atau DR yang boleh melucutkan jawatan mereka disebabkan tidak hadir mesyuarat tanpa sebab. Bayangkan jika terdapat peruntukan sekiranya seseorang wakil rakyat itu tidak tunjuk muka di kawasan pilihan raya seminggu sekali, maka mereka boleh dilucutkan jawatan serta merta. Apa akan jadi?

Tetapi tunjuk muka bukan sekadar datang bersalam-salaman, beri ceramah dan selepas itu pulang. ‘Turun padang’ untuk tunjuk muka bagi mengenali masalah rakyat dan cuba menyelesaikannya.

Kalaulah wakil rakyat yang gagal ‘turun padang’ ini boleh diadili sebegini rupa, maka mungkin setiap bulan akan dapat disaksikan PRK di merata tempat di negara kita. Akhirnya, SPR tidak ada kerja lain asyik mengadakan PRK sahaja disebabkan wakil rakyat tidak ‘turun padang’ menjenguk kawasan.

Maka banyak masa, tenaga dan wang ringgit akan dihabiskan gara-gara wakil rakyat yang tidak menunjukkan prestasi yang baik setelah dipilih.

Tetapi ada sesetengah orang politik tidak peduli itu semua - lagi banyak PRK mungkin lebih baik bagi menguji sokongan sepanjang masa. Bagi mereka inilah demokrasi sedangkan hakikatnya nawaitu sebenar adalah semata-mata mahu menguji kekuatan serta inginkan kuasa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.