saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 24/11/2009

AJL 24 lebih mantap tanpa kategori muzik?


PARA finalis Anugerah Juara Lagu 24 ceria apabila mereka layak bertanding selepas berakhirnya peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
- Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN.


ANUGERAH Juara Lagu edisi ke-24 (AJL 24) bakal memperlihatkan persaingan sengit di kalangan 14 lagu yang bakal bertanding pada malam kemuncaknya yang akan diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 10 Januari depan.

Menurut Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria senario itu dapat dilihat apabila pertandingan edisi kali ini tidak menetapkan kategori muzik seperti Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock seperti pada tahun-tahun sebelumnya.

Dalam erti kata lain katanya, setiap lagu yang bertanding tidak berdiri di atas kategori muzik tertentu, sebaliknya ia memerlukan kekuatan melodi dan lirik berdasarkan pemilihan 100 peratus daripada panel juri pada peringkat akhir pertandingan itu kelak.

"Apa yang saya nampak pertandingan AJL 24 kali ini yang tidak menetapkan kategori muzik-muzik tertentu mampu membawa perubahan serta meningkatkan kualiti lagu-lagu yang bertanding pada tahun ini dan pada masa akan datang.

"Ini kerana, setiap komposer dan penulis lirik yang bertanding harus memantapkan lagi karya-karya mereka dan bersaing secara terbuka. Cara ini diharap dapat memberi peluang kepada karyawan muzik terbabit untuk berkarya dengan lebih baik.

"Contohnya, kalau dulu setiap kategori ada wakil untuk bertanding pada final AJL tetapi kali ini mana-mana lagu tanpa mengira genre muzik yang terpilih dan layak boleh bertanding pada pertandingan ini," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Jelasnya, tanpa adanya kategori muzik tertentu, pemenang AJL 24 akan dipilih secara keseluruhannya di mana pemenangnya akan menerima hadia berupa wang tunai dan trofi yang akan ditentukan pada sidang akhbar pada 15 Disember ini.

Walau bagaimanapun, kata Fadzliniza, kategori anugerah seperti Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik masih dikekalkan pada pertandingan yang mempertandingkan lagu-lagu dan lirik-lirik ciptaan para karyawan muzik tanah air itu.

"Kemungkinan besar hadiah wang tunai yang akan diberikan kelak lebih besar jumlahnya memandangkan terdapatnya lebihan pada anugerah-anugerah sebelum ini seperti Anugerah Lagu Pop Terbaik dan sebagainya yang ditiadakan pada tahun ini.

"Apa pun semuanya itu bergantung kepada keputusan pihak pengurusan (Media Prima Berhad). Malah, segala yang berkaitan jumlah hadiah, konsep persembahan dan panel juri yang akan mengadili final AJL 24 juga akan diumumkan pada 15 Disember nanti," ujarnya.

Difahamkan seramai sembilan juri baru akan dilantik pada final AJL 24 nanti di mana ia akan diketuai seorang Ketua Juri serta mengadili lirik, lagu, persembahan serta vokal para peserta yang akan bersaing kelak.

Pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 yang diacarakan oleh Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ezlynn itu, panel jurinya diketuai oleh Azhar Borhan, Azlan Abu Hassan, Moharis Yaakub, Ahadiat Akashah dan Helen Yap.

Dengan berakhirnya Muzik-Muzik 24, 14 lagu daripada 30 lagu yang bertanding pada peringkat akhir layak bersaing di peringkat akhir AJL 24 yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV3.

14 lagu itu antaranya berjudul Situasi yang dinyanyikan oleh Bunkface, Rindu Terhenti (Tomok), Masih Jelas (Hafiz AF7), Bencinta (Faizal Tahir), Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar), Pakai Buang (Stacy AF6), Aurora (Estranged), Dan Sebenarnya (Yuna), Aku Scandal (Hujan), Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah), Aku Rindu Sayang Kamu (Black Mentor) dan Bengang (Akim AF7).

Sementara Aizat pula merupakan satu-satunya peserta yang akan mempertandingkan dua lagu berjudul Kau Aku dan Pergi pada pertandingan tersebut.

Pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 itu, Faizal Tahir tidak dapat hadir kerana menghadapi masalah kesihatan dan tempatnya digantikan oleh finalis One In A Million iaitu Sheila bagi menyanyikan lagu Bencinta yang sepatutnya beliau nyanyikan.

Hits difahamkan juga, pihak TV3 memberi kebebasan kepada mana-mana penyanyi termasuklah Shiela bagi menyampaikan lagu itu andai Faizal masih belum sembuh sewaktu pertandingan akhir itu berlangsung kelak.

"Kita akan serahkan kepada label (syarikat rakaman) yang menaungi Faizal iaitu Monkey Bone Records untuk memutuskan siapakah yang akan menyanyikan lagu itu kelak," jelasnya.

Meskipun dikritik ramai kerana dikatakan gagal mendendangkan lagu itu dengan sempurna, namun Sheila yang juga anak kepada pelakon N.D. Lala berkata, dia sudah melakukan yang terbaik selain bersedia menggalas tanggungjawab itu seandainya Faizal masih belum sembuh.

Selain tiada kategori muzik khusus yang dipertandingkan menerusi AJL 24, pertandingan itu turut memperlihatkan penyertaan kalangan penyanyi muda yang mewakili pelbagai genre muzik seperti indie dan juga daripada program realiti TV.

Sebagai contohnya, Stacy, Aizat, Rich (Estranged), Akim dan Hafiz daripada program TV realiti Akademi Fantasia, Black (Mentor) serta Faizal Tahir (One In A Million) yang secara tidak langsung memperlihatkan dominasi para peserta terbabit.

Dalam senario itu, Fadzliniza berkata, TV3 dan Primeworks Studio selaku penganjur AJL 24 juga mengenepikan provokasi yang mengatakan pertandingan itu secara tidak langsung mengiktiraf penyanyi-penyanyi yang dilahirkan daripada stesen penyiaran lain.

"Bukan bermaksud mengiktiraf atau tidak tetapi AJL 24 sebenarnya tentang lagu dan lirik. Malah, kita juga mempertandingkan lagu dan lirik dan bukannya penyanyi. Walaupun ada penyanyi pada final AJL 24 nanti datangnya daripada program realiti TV stesen lain, tetapi kita biarkan mereka bersaing secara sihat.

"Kami bukan sahaja tidak menidakkan daripada program realiti TV mana mereka datang, sebaliknya tetap memberi peluang untuk sama-sama bertanding dan memeriahkan lagi industri muzik kita," jelasnya.

Sementara itu, Misha Omar pula merupakan satu-satunya penyanyi yang paling senior mempertaruhkan lagu nyanyiannya berbanding penyanyi lain yang boleh dikatakan masih baru dalam pentas pertandingan lagu yang dimulakan sejak tahun 1986 itu.

Penyanyi kelahiran Kelantan itu berkata, dia tidak berasa tertekan, sebaliknya berasakan lagu ciptaan Azmeer dan lirik nukilan Loloq itu mampu melayakkan diri ke final AJL 24 berdasarkan kekuatan melodi serta mesej di sebalik liriknya.

"Saya memang berasa gabra (gementar) juga semasa menyanyikan lagu itu tadi. Walau bagaimanapun saya cuba supaya tidak rasa tertekan. Sebab itu, saya juga cuba menyanyikan lagu itu dengan persembahan yang menyamankan sesuai dengan suara dan personaliti saya.

"Sebagai penyanyi yang mempopularkan lagu-lagu berkonsepkan pop balada, saya tidak nafikan persaingan saya dengan penyanyi lain termasuklah yang menyanyikan lagu-lagu indie. Ini adalah tanggungjawab saya bagi meneruskan saingan genre muzik ini dalam AJL 24," tuturnya.

Sebagai rekod, selain bertanding dalam AJL 24, Cinta Adam Dan Hawa merupakan lagu yang berjaya mengungguli kategori Lagu Pop Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) baru-baru ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.