saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 27/11/2009

Takdir rukun hidup Aishah


BIARPUN tinggal tiga beranak sahaja, kehidupan Aishah tidak pernah sunyi kerana telatah anak-anak menyerikan kehidupan hariannya.


SELAMA sedekad melayari kehidupan bergelar ibu tunggal, memang banyak benar perit dan jerih yang dilalui oleh penghibur ternama bernama Aishah ini.

Malah dia akui, di awal kehidupannya sebaik sahaja memegang gelaran itu, dia seperti burung yang kepatahan sayap.

Tiada tempat untuk mengadu dan semua dilakukannya sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak termasuk ahli keluarganya sendiri.

Rasional Aishah cukup mudah. Selagi dia terdaya dan mampu untuk melakukannya sendirian, selagi itu kudratnya akan dicurahkan demi kebahagiaan serta masa depan anak-anaknya.

Mungkin akan ada yang mempertikaikan mahupun mempersoalkan kedudukan Aishah dengan ibu-ibu tunggal yang lain tetapi, kisah penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Janji Manismu ini juga tidak kurang menariknya.

Apatah lagi dengan menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada hari ini memang bertepatan sekali untuk membicarakan tentang erti pengorbanan.

Jelas Aishah, selama menjadi seorang ibu tunggal dia tidak pernah melihat statusnya itu sebagai satu halangan untuk meneruskan kehidupan.

Baginya, wanita senasib dengannya tidak harus meratapi dan bersedih memikirkan nasib yang menimpa diri masing-masing.

bijak merencana

Sebaliknya, kata Aishah, mereka harus bangkit dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan serta bijak merencana kehidupan masing-masing.

Prinsip hidup Aishah itu juga ada kaitannya dengan kehidupannya sewaktu menuntut di New Zealand untuk beberapa tahun sekitar tahun 80-an dan 90-an.

"Pada saya, sebagai seorang ibu memang menuntut pengorbanan yang cukup tinggi dan apa yang dilakukan bukanlah untuk diri kita lagi.

"Sebaliknya, ia adalah untuk anak-anak kerana mereka yang harus diutamakan dan semuanya perlu disediakan agar mereka mampu menikmati kehidupan yang bahagia di masa depan.

"Bukan untuk mendabik dada mahupun meninggi diri tetapi saya tidak akan sesekali membiarkan masyarakat terus memandang rendah dan membuli saya hanya kerana saya seorang ibu tunggal," tuturnya lembut namun tegas sewaktu ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor lewat petang Isnin lalu.

Apatah lagi dengan pekerjaannya sebagai seorang artis, jelas Aishah, memang mudah terdedah dengan pelbagai tohmahan serta pandangan sinis daripada masyarakat.

Dengan penuh jujur Aishah mengakui, dia pernah berdepan dengan situasi sedemikian lebih-lebih lagi sewaktu awal proses perceraiannya.

Menjalani kehidupan sendirian dalam membesarkan dua orang anak terunanya, Armand Azahari, 15, dan Azhad Ahlami, 9, baginya pengalaman cukup mematangkan dirinya sebagai seorang wanita.

Sedari kecil, dia sudah mendedahkan anak-anaknya berdikari dan belajar untuk mencari duit poket sendiri dengan membantunya.

Malah, ke mana sahaja dia pergi untuk membuat persembahan ataupun jelajah negara menerusi kelas kraftangannya, dia akan membawa dua orang anak kesayangannya itu.

"Alasan saya cukup mudah. Saya mahu anak-anak saya melihat dan memerhatikan bagaimana saya bekerja keras untuk mencari rezeki demi menampung kehidupan.

"Daripada situ, mereka cukup sedar dan mereka sendiri pernah mengatakan bahawa mereka tidak pernah menyangka ibu mereka bekerja dengan penuh gigih demi menyara keluarga.

"Setidak-tidaknya, ia membuka mata mereka dan memberikan kesedaran bahawa dalam dunia yang penuh mencabar ini, bukan mudah untuk mencari rezeki dan semuanya memerlukan pengorbanan," ujar Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin ini panjang lebar.

Sewaktu sesi fotografi ini berlangsung, memang terpancar jelas kebahagiaan dan keceriaan dalam keluarga ini.

Gurau senda, bercanda dan melihat Aishah melayan anak-anaknya terutama sekali si bongsu yang comel serta petah berkata-kata itu cukup mencuit hati.

"Beginilah kehidupan saya. Biarpun hanya kami bertiga sahaja tetapi kami cukup bahagia dan gembira," katanya ringkas sambil memandang kedua-dua anaknya itu.

Satu yang pasti jelasnya, sepanjang menjadi seorang ibu, tidak ada langsung jurang pemisah antara dia dengan anak-anaknya.

komunikasi secara matang

Sebaliknya, aspek komunikasi secara matang cukup ditekankan oleh Aishah agar anak-anak menjadi rapat dan mudah untuk berdiskusi dengannya waima apa jua perkara sekalipun.

"Semasa mereka kecil pun, saya langsung tidak mengajar anak-anak saya bercakap pelat tetapi saya bercakap seperti mereka adalah orang dewasa," kata Aishah yang juga popular dengan lagu-lagu seperti Kemaafan Dendam Yang Terindah, Cinta Beralih Arah dan Camar Yang Pulang itu lagi.

Pengorbanan Aishah terhadap anak- anaknya memang cukup besar sehingga dia merasakan kehidupannya sudah cukup lengkap dan bahagia biarpun tiada insan bernama suami di sisi.

Bukan serik atau sudah tidak mahu lagi memikirkan tentang perkara itu tetapi jelasnya, apa yang dikecapinya hari ini sudah cukup menggembirakan dirinya.

Apatah lagi akan menginjak usia 45 tahun pada 3 Januari depan, Aishah berpendapat, agak mustahil untuk mencari lelaki yang benar-benar dapat menerima keluarganya.

"Kalau ada yang mahu menjadikan saya sebagai seorang isteri, lelaki itu harus memiliki kualiti kehidupan seperti kami yang sentiasa berada di rumah kalau tiada hal yang memerlukan kami berbuat demikian.

"Lelaki itu juga haruslah menerima anak-anak saya sebaiknya dan begitu juga dengan anak-anak saya," jelas Aishah sambil ketawa sewaktu menceritakan gelagat Azhad yang mahu melihatnya berkahwin sebelum dia dan abangnya melangkah ke zaman universiti dan alam pekerjaan.

Menyentuh tentang karier seninya pula, penyanyi yang mula menempa nama menerusi kumpulan The Fan Club sewaktu di New Zealand dulu menjelaskan, dia kini sudah bersiap-sedia untuk menjenamakan semula dirinya.

Tidak hanya berdiet dengan mengikuti program yang sudah diaturkan oleh doktornya tetapi dia juga mahu mengubah imejnya.

Bukan bermakna dia akan menanggalkan tudungnya tetapi sebaliknya tampil dengan imej yang lebih menarik.

Lebih-lebih lagi bakal muncul dengan Konsert Irama Warisan Kita yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur bermula 11 Disember ini, ia juga sebahagian daripada pengorbanan Aishah untuk menyedarkan masyarakat bahawa dia sebenarnya masih lagi aktif.

"Tidak tahulah mengapa orang sering kali memikirkan saya sudah tidak aktif menyanyi sedangkan saya masih lagi memenuhi undangan makan makan serta persembahan korporat.

"Kerana itulah, saya sedang perlahan-lahan untuk membina semula imej saya agar masyarakat sedar bahawa saya masih lagi di dalam industri," ujarnya yang kali terakhir muncul dengan album Kurnia pada tahun 2006.

Di sebalik itu, Aishah turut meluahkan kekesalannya terhadap beberapa stesen radio di negara ini yang enggan memutarkan single terbarunya, Yang Ada Hanya Kenangan.

Aishah sendiri tertanya-tanya di manakah silapnya lagu yang dicipta oleh Azlan Abu Hassan manakala liriknya pula nukilan Habsah Hassan.

"Mereka kata lagu itu terlalu urban untuk dimainkan dan tanpa memutarkan lagu itu terlebih dahulu, mereka sudah membuat kesimpulan bahawa pendengar tidak suka dengan lagu tersebut.

"Jadi, bagaimana artis tempatan mahu melahirkan album kalau radio sendiri tidak menyokong karya anak tempatan.

"Senario ini cukup berbeza satu ketika dulu di mana radio merupakan medium yang paling utama dan penting dalam mempromosikan lagu-lagu tempatan," kata penyandang gelaran Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1994 ini dalam nada kesal.

Tidak cukup dengan itu, dia juga terasa dirinya bagai dipinggirkan oleh segelintir pihak yang seolah-olah tidak menghargai usahanya sebagai anak seni selama ini.

"Saya sempat berpesan kepada anak-anak, kalau ada pihak yang mahu menghargai saya selepas saya meninggal dunia kelak, jangan ambil kerana tiada gunanya lagi," ujarnya penuh makna.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.