saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/12/2009

Membina 'jambatan' nusa bangsa

KUNJUNGAN saya ke Bandung bersama delegasi Malaysia baru-baru ini mengimbau sejenak kenangan saya di Indonesia sewaktu ditugaskan oleh Tan Sri Rashid Hussain, Pengasas Perkumpulan RHB Berhad untuk menguruskan pengambilalihan PT Bank Niaga dan mengendalikan operasi perbankan pelaburan serantau berpusat di Jakarta sekitar 1997-1998.

Dek kerana hujan lebat yang kerap di Bandung, kali ini saya tidak berkesempatan bersenang-senang menunggang 'ojek' apatah lagi minum petang sambil-sambil menjamah tempe dan tauhu goreng!

Saya terfikir bahawa kehadiran musim tengkujuh sebegini seolah-olah memperlihatkan bandar Bandung atau 'Paris de Java' yang terkenal dengan udara nyaman pergunungan di kalangan parawisata tidak lagi diselenggara dengan baik. Kebanyakan dinding di tengah kota berlumut dan sampah sarap pula lembap tidak terpungut dan berbau busuk.

Cintai Negara Sendiri

Serentak itu juga rasa syukur singgah dalam diri. Terasa bertuah sekali kerana dilahirkan di Malaysia yang mempunyai asas pengurusan kerajaan tempatan yang begitu efisien. Sememangnya asas ekonomi yang utuh adalah dasar kepada kemampuan sesebuah kerajaan untuk menyelenggara permintaan jutaan rakyat jelata.

Akuilah bahawa kerajaan yang bertanggungjawab memacu Malaysia ke puncak kejayaan hari ini ternyata berjaya memenuhi kewajipannya kepada rakyat dengan berkesan selama lebih 50 tahun!

Seingat saya, ketika di penghujung tugas, Indonesia seperti juga Malaysia diserang oleh si penyangak mata wang, George Soros.

Pertukaran wang Indonesia ketika itu melonjak ke tahap tertinggi IDR16,000 bagi setiap AS$1 (purata sebelum krisis moneter, AS$1 > IDR2,500). Sebagai pengurus muda pada ketika itu, saya menjadi 'saksi jarak dekat' kepada istilah ekonomi dan perbankan pelaburan yang digelar sebagai "Doom's Day" (Hari Kiamat).

Pada tahun 2007 pula, krisis ekonomi global nampaknya memberi kesan lebih besar ke atas Indonesia berbanding Malaysia sehingga memaksa pertukaran mata wang di tahap tertinggi iaitu IDR11,000 bagi setiap AS$1.

Sekalipun Indonesia kaya dengan khazanah bumi, sehingga hari ini pun ia belum lagi pulih sepenuhnya daripada krisis ekonomi yang dihadapinya. Malahan, terdapat perkhabaran yang mengatakan, begitu banyak syarikat besar di Indonesia yang kini masih dipegang kuasa asing.

Di Malaysia dengar-dengarnya, ada pihak yang cuba menguar-uarkan bahawa ekonomi Indonesia telah pulih dan begitu berjaya. Kemungkinan besar pihak berkenaan cuba mencari jalan untuk menegaskan bahawa Malaysia akan lebih berjaya jika memilih dana IMF ketika krisis ekonomi 1997 dahulu! Sedangkan hakikat sebenarnya, kenyataan tersebut adalah tidak tepat sama sekali.

Penjajah Inggeris vs NBelanda

Dari satu sudut yang lain pula, saya sedikit sebanyak berasa kita lebih 'bernasib baik' kerana dijajah oleh Inggeris dan bukannya Belanda. Sistem birokrasi Inggeris sebenarnya mempunyai teras strategi pengurusan yang lebih mantap daripada Belanda dan ini membantu menyediakan asas ekonomi dan politik yang lebih utuh lagi kukuh.

Dalam konteks sosio politik Indonesia pula, jurang perbezaan golongan kaya dan miskin terlalu lebar. Ini di antara alasan mengapa golongan profesional dan golongan pertengahan di Malaysia perlu diperbanyakkan kerana mereka adalah 'komuniti pengimbang' dalam struktur sosio-ekonomi dan politik negara yang sepatutnya terus diberi perhatian penuh oleh kerajaan.

Mereka adalah kumpulan pembayar cukai pendapatan terbesar yang pada masa sama mempunyai kriteria kepimpinan masa hadapan dan pengalaman perit jerih untuk hidup dari 'bawah'.

Formula Perpaduan Yang Lebih Berkesan

Terbukti bahawa formula nasionalisme di Indonesia yang kuat belum boleh menjanjikan ketenteraman dan keharmonian negara.

Nama dan penggunaan bahasa Indonesia secara total yang 'diwartakan' ke atas rakyat Indonesia berbilang kaum sejak zaman Sukarno sebenarnya adalah begitu rapuh dan telah beberapa kali dicabar melalui 'demonstrasi ganas' ke atas kaum Cina dan Kristian yang saya sendiri saksikan sewaktu usaha untuk menjatuhkan Suharto pada tahun 1997-1998.

Usaha untuk mengukuhkan tali kerakyatan adalah usaha berterusan. Jika formula 'toleransi perkauman' Malaysia selama ini telah terbukti begitu berjaya meletakkan Malaysia lebih baik berbanding negara jirannya, ayuh kita pastikan formula 'penerimaan' dalam '1Malaysia' membawa kita ke satu tahap kejayaan baru yang lebih tinggi pula.

Untuk berjaya, orang Melayu mesti mencari persamaan dan elakkan perbezaan dengan kaum-kaum lain biarpun berbilang bahasa, agama serta budaya.

Kaum-kaum lain di Malaysia pula mestilah menerima hakikatnya bahawa orang Melayu di Malaysia perlu dihormati bukan hanya atas status 'bumiputera' tetapi kedudukan Melayu di Nusantara yang asalnya menjadi penghuni kesekian lamanya sebuah empayar hebat yang bersempadankan China dan India sehingga nun jauh ke selatan di Australia!

Dalam pada itu juga, 'jambatan hubungan' Malaysia-Indonesia perlu diperutuhkan kerana kita semua adalah Melayu Nusantara, penduduk pribumi seluruh pelosok rantau Asia Tenggara. Selalulah beringat, propaganda untuk menghancurkan hubungan adalah permainan Barat atau wakil-wakil mereka di rantau Nusantara ini.

Memetik kata-kata pujangga Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang secara simboliknya menyuruh kita "mari kita bina kekuatan melalui kepulauan-kepulauan Melayu serantau bagi menangkis serangan-serangan ke atas tanah-tanah besar Melayu Nusantara dari anasir-anasir 'dalam' mahupun 'luar.'"

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.