saya nak baca ..

SABAH & SARAWAK


ARKIB : 01/12/2009

Menghidupkan budaya Kenyah


SEBAHAGIAN anak muda Kenyah menunjukkan kebolehan bermain lutang pada Festival Kebudayaan Kenyah sambil disaksikan Alfred Jabu dan Jacob Dungau Sagan.


MIRI 30 Nov. - Kebudayaan sesuatu etnik jika tidak didokumentasi dan dipraktikkan akan luput ditelan zaman.

Banyak bukti menunjukkan bahawa kebudayaan beberapa etnik kaum terutamanya kaum minoriti di dunia ini pupus ditelan zaman akibat kebanjiran budaya asing.

Misalnya di Sarawak, wujudnya kebimbangan daripada ahli-ahli politik dan akademik tentang kebudayaan kaum minoriti terutamanya di pedalaman yang kini semakin tidak dikenali.

Di atas kesedaran itu, Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) mengadakan Festival Kebudayaan Kenyah Sarawak yang berlangsung pada 24 hingga 28 November lalu.

Bandar raya Miri sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah untuk orang ramai mengenali dan menyaksikan festival kebudayaan kaum Kenyah yang merupakan kaum minoriti di Bumi Kenyalang ini.

Festival kali kedua ini telah dihadiri kira-kira 3,000 masyarakat Kenyah dari seluruh pelosok Sarawak meliputi tujuh cawangan PKKS iaitu Kuching, Bintulu, Asap Belaga, Long San, Marudi, Lutong dan Lambir.

Dengan tema 'Cha Peng, Cha Tawai, Cha Kenyah' (Satu Komuniti, Satu Wawasan, Satu Kenyah), ia merupakan acara terbesar yang menzahirkan semangat perjuangan Kenyah untuk mempertahankan kebudayaan dan perpaduan.

Majlis pelancarannya disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang sekali gus merasmikan laman web PKKS yang pertama.

Selain itu, dianjurkan juga pertandingan mewarna dan melukis motif Kenyah, pelancaran Kamus Kenyah-Bahasa Malaysia, Kenyah-Bahasa Inggeris oleh mantan Ahli Dewan Negara, Datuk Stephen Timothy Wan Ulok.

Presiden PKKS, Marcus Gau Lian berkata, festival kebudayaan Kenyah ini merupakan suatu pengiktirafan kepada kaum Kenyah tanpa mengira di mana mereka berada untuk memelihara dan menghargai amalan dan kebudayaan dalam kegiatan seharian.

Katanya, sehingga hari ini, mereka (kaum Kenyah) masih memelihara kebudayaan melalui Kanjet Lasan (tarian), payo (permainan) dan sambe, katong dan tawak (muzik tradisional), belian (lagu rakyat Kenyah) dan pemakaian barangan warisan seperti saong (topi) yang ditunjukkan sepanjang festival.

''Objektif utama festival ini adalah untuk memperkukuh dan meningkatkan nilai perpaduan dan patriotisme di kalangan masyarakat Kenyah di seluruh tanah air sesuai dengan gagasan 1Malaysia.

''Pada masa sama melestari, mempromosi dan memajukan kebudayaan, adat dan tradisi kaum Kenyah. Justeru pelbagai tarian, nyanyian dan persembahan menggunakan alat muzik Kenyah dipertandingkan bagi menunjukkan identiti warisan festival," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Marcus, perkampungan festival selama empat hari tiga malam itu diselitkan dengan pelbagai program antaranya tabung pendidikan, sukan rakyat, kesenian warisan artifak, jualan makanan tradisional di samping pertandingan tarian Datun Julud, nyanyian dan muzik Kenyah serta pertandingan ratu cantik atau Bungan Lisu untuk gadis-gadis Kenyah dan Balan Nyanding untuk lelaki.

Sebagai mengiktiraf kejayaan anak-anak ahli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan sarjana muda, PPKS turut memberikan hadiah insentif berbentuk wang tunai dan sijil.

Marcus menambah, atur cara ini diatur sedemikian sejajar dengan objektif penubuhan PKKS iaitu memperjuangkan pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan rekreasi ahli-ahli.

Kata beliau, dalam usaha masyarakat Kenyah terus cemerlang dalam zaman sains dan teknologi maklumat, adalah penting satu landasan seperti PKKS yang mempunyai kredibiliti dan integriti dibangunkan secara bersama.

''Sebarang usaha yang mengetepikan institusi dalam membantu kaum Kenyah dilihat mempunyai kepentingan peribadi semata-mata," tegasnya.

Pengerusi penganjur, Kennedy Chuk berkata, penganjuran festival ini memberi peluang kepada kaum lain untuk mengenali budaya, adat dan seni kaum Kenyah.

''Melihat kepada sambutan luar biasa di kalangan orang Kenyah dan kaum lain terhadap festival ini, maka ia perlu diiktiraf dan disenaraikan sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan di peringkat negeri mahupun nasional," katanya.

Ahli Parlimen Baram merangkap Penaung PKKS, Datuk Jacob Dungau Sagan menyifatkan, festival ini menampilkan imej Kenyah yang harmonis, bertoleransi, penyayang dan beretika tinggi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kebudayaan unik ini merupakan satu lagi daya tarikan pelancong asing ke negara ini yang secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

''Dalam era globalisasi dan zaman digital ini, ilmu dan budaya merupakan dua elemen yang sama penting. Festival kebudayaan ini dapat melonjakkan kecemerlangan generasi muda kita agar menguasai kemahiran dan pengetahuan warisan nenek moyang," katanya.

Apa yang penting tegasnya, festival ini bukan semata-mata untuk mempromosikan kebudayaan Kenyah bahkan sebagai wadah penyatu Orang Ulu dengan kaum lain di negara ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.