saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 02/12/2009

Ukhuwah dua diva tersohor


PEMINAT setia Krisdayanti dan Siti Nurhaliza pastinya akan berpuas hati dengan penghasilan album duet mereka yang bakal dipasarkan sebelum hujung tahun ini.


SAAT penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan sahabat karibnya, Krisdayanti mencanangkan akan muncul dengan sebuah album duet kira-kira setahun yang lalu, ramai yang menyambutnya dengan penuh rasa gembira.

Sudah pasti, projek album duet itu cukup dinanti-nantikan oleh peminat kedua-dua diva tersohor ini kerana ia merupakan julung kalinya mereka disatukan di dalam sebuah album.

Namun, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah bagaimana konsep album berkenaan yang ada dalam fikiran mereka.

Kalau sudah Krisdayanti dan Siti bergabung tenaga, tiada siapa yang mampu menidakkan kehebatan dua figura unggul ini. Cuma diharapkan ia tidak akan menjadi sebuah projek album duet biasa.

Kris dan Siti berusaha keras memastikan n projek ini memberi manfaat yang besar buat industri hiburan kedua-dua negara.

Menerusi album duet perdana ini,

komposer ternama tanah air, Audi Mok diberi tanggungjawab mencipta tiga buah lagu khusus untuk Siti dan Kris.

Mendengarkan ketiga-tiga lagu itu sudah bisa meremangkan bulu roma lebih-lebih lagi apabila mendengarkan paduan suara Siti dan Kris menerusi lagu Dalam Diamku.

Bukan mahu puji melambung tetapi lagu tersebut memberikan sisi baru dalam istilah lagu duet. Tidak ada lagi nyanyian secara rangkap demi rangkap.

Sebaliknya, improvisasi yang dilakukan menerusi gaya nyanyian mereka secara bersilang dan saling sahut-menyahut.

Dalam erti kata lain, mereka menyanyikan lagu tersebut sebaris demi sebaris secara bergilir dan umpama sedang berbicara.

Bukan menerusi lagu Dalam Diamku sahaja, tetapi juga dalam lagu Amarahku dan Jika Kau Tak Datang yang juga ciptaan Audi.

Maka benarlah pandangan banyak pihak album duet mereka yang akan dipasarkan sebelum hujung tahun ini akan menjadi sebuah produksi yang mampu dibanggakan.

Bagaimanapun, baik Siti mahupun Kris, tugas mereka bukan mudah dan masing-masing mengakui proses rakaman album duet pertama mereka ini benar-benar mencabar kredibiliti mereka.

Apa tidaknya, mereka perlu bijak dalam mengawal nada vokal mereka agar ia tidak kelihatan untuk cuba bersaing sesama sendiri selain mahu mengimbangi antara satu sama lain.

Apatah lagi bagi Kris, dia perlu menyanyikan kesemua lagu dalam lenggok Melayu yang memberikan satu pengalaman baru dalam dirinya sebagai seorang penyanyi.

Yang penting bagi Kris, apa yang dihajatkan selama setahun akhirnya menjadi kenyataan biarpun berdepan dengan masalah rumah tangga bersama bekas suaminya, Anang.

Pada masa sama, dia tidak melihat itu sebagai satu halangan untuknya meneruskan projek album ini yang dianggap sebagai sesuatu yang cukup istimewa.

Lebih-lebih lagi, buat pertama kalinya dia merakamkan lagu ciptaan Audi yang disifatkannya sebagai seorang yang cukup kreatif.

"Jujurnya, ini kali pertama saya bekerja dengan Siti untuk sebuah album dan saya kagum serta kaget melihat cara dia bekerja dengan begitu pantas untuk menyelesaikan proses rakaman.

"Album ini adalah lambang manifestasi kepada persahabatan kami selama ini. Siti merupakan seorang sahabat yang baik dan setia bersama saya walau dalam senang mahupun susah.

"Saya benar-benar teruja dengan album ini dan saya juga optimis bahawa ia akan diterima dengan baik oleh peminat-peminat kami yang sekian lama menantikan album duet daripada kami," kata Kris sambil tersenyum memandang Siti yang setia di sisinya ketika ditemui di Studio Fuse, milik Audi yang terletak di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ibarat sambil menyelam minum air, Kris berada di negara ini sepanjang minggu lalu kerana terlibat dalam satu persembahan makan malam di samping menyelesaikan rakaman album duet ini.

Projek album yang memuatkan enam buah lagu ini merupakan kerjasama di antara KD Records dan juga Siti Nurhaliza Productions.

Selain tiga lagu ciptaan Audi, album duet ini turut memuatkan dua buah lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Sharon Paul yang menggunakan judul sementara Hanya dan Teman.

Pada 30 November lalu, Siti telah terbang ke Jakarta untuk merakamkan lagu terakhir yang berjudul Sayang ciptaan Muhammad Charly van Houten atau Charly iaitu vokalis kumpulan ST 12.

Pada kesempatan itu juga, Siti dan Kris akan menjalani proses penggambaran kulit album dan juga muzik video agar album ini dapat dipasarkan sebelum hujung tahun ini.

Sementara itu, Siti tidak melihat kolaborasinya dengan Kris adalah untuk beradu kekuatan vokal masing-masing serta menunjukkan siapa memiliki vokal paling hebat.

Tetapi, sebaliknya ujar Siti album ini adalah untuk gandingan mereka berdua untuk menterjemahkan emosi masing-masing dalam setiap karya yang didendangkan.

"Kami menyanyi berdasarkan kemampuan masing-masing. Sebelum rakaman berlangsung pun, kami sudah berbincang dan menetapkan bahagian masing-masing sebelum menyanyi.

"Kalau saya rasa ada bahagian yang saya tidak boleh bawa, saya serahkan kepada Kris dan begitulah sebaliknya.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kami berdua amat berpuas hati dengan penghasilan album duet ini," katanya sambil tersenyum manis.

Tambahnya, komposer juga memainkan peranan penting dalam mencorakkan persembahan masing-masing.

Kebangkitan wanita

Dalam hal ini jelas Siti, Audi memberikan sepenuh kebebasan kepada mereka berdua untuk mencorakkan cara penyampaian masing-masing.

Namun, ia berbeza dengan Aubrey yang dari awal lagi sudah menetapkan bahagian masing-masing yang perlu dinyanyikan.

Tidak hanya bertindak sebagai penyanyi tetapi Siti dan Kris juga bergabung tenaga menghasilkan lirik untuk lagu Amarahku manakala Kris pula untuk lagu Jika Kau Tak Datang.

"Untuk lagu Amarahku, kami melihat pada situasi masing-masing di mana saya hasilkan lirik bagi menggambarkan perjalanan kisah hidup Kris manakala saya pula tentang perasaan cinta dan kasih terhadap suami.

"Kiranya, lagu Amarahku ini adalah lambang kepada kebangkitan wanita serta mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa wanita tidak akan sesekali mudah mengalah pada situasi," kata Siti yang juga penyandang gelaran Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 10 kali ini lagi.

Kris pula berpendapat Siti seorang yang bijak membaca apa yang terbuku di hatinya selain menafsir perjalanan hidupnya.

Malah ujar pelantun lagu Menghitung Hari dan Mencintaimu itu lagi, sepanjang persahabatannya dengan Siti, penyanyi itu tidak pernah bertanyakan tentang hal yang sulit serta peribadi kepadanya.

"Dia amat menghormati saya dan itu yang buat saya kagum dan hormat pada Siti," katanya sambil berbaring di pangkuan Siti.

Sempat Siti mencelah dengan mengatakan: "Saya bukan orang jenis itu. Kalau Kris mahu cerita, saya sedia mendengar. Kalau tidak, saya tidak akan bertanya lanjut."

Sempena dengan kelahiran album duet ini juga, Siti dan Kris akan terlibat dalam sebuah konsert besar yang bakal diadakan di Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia.

Pada hari rakaman itu juga, Siti dan Kris turut membuat kejutan dengan menyanyikan lagu serta membeli kek buat Audi sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-38 pada 23 November lalu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:15
Asar 4:38
Maghrib 7:11
Isyak 8:26



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.