saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/12/2009

Filem terbaru Estrada: Pilihan raya Filipina

DENGAN penuh bergaya, Joseph Estrada mengalihkan cermin mata, memandang ke arah para penyokongnya dan bertanya ‘‘O ano, pogi pa ba?’’. Ia adalah ayat Tagalog yang bermaksud ‘‘Apakah saya ini masih tampan atau tidak?’’. Ia bukan acara berjumpa dengan peminat tetapi adalah sebuah perhimpunan politik bagi mengumumkan keputusannya untuk bertanding sebagai calon Presiden Filipina pada Oktober lalu.

“Ini adalah persembahan terakhir dalam hidup saya dan saya tidak akan mengecewakan anda,” kata Estrada kepada kira-kira 9,000 penyokongnya di daerah termiskin Manila, iaitu tempat dia membesar.

Inilah gaya superstar, inilah karisma Estrada. Sekali pun dilucutkan jawatan, ia tidak mengendurkan semangatnya untuk melakukan ‘kemunculan kali kedua’ dalam arena politik. Filipina bakal mengadakan pilihan raya tersebut pada Mei tahun depan.

Isnin lalu, Estrada secara rasmi mengemukakan kertas pencalonannya, di sebalik beberapa bantahan yang mempersoalkan sama ada dia layak atau tidak bertanding. Joseph Ejercito Estrada atau nama sebenarnya Jose Marcelo Ejercito, memenangi pilihan raya presiden pada 1998 dan mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina ke-13 pada 1 Julai 1998 dengan ikrar untuk menambah baik taraf kehidupan rakyat miskin. Namun dua setengah tahun kemudiannya, Estrada telah digulingkan daripada Istana Malacanang atas tuduhan rasuah.

Jika anda masih ingat, kemunculan Estrada di pentas politik antarabangsa pun tidak kurang hebatnya pada 1998. Selain diingati kerana tindakan kerasnya terhadap kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Mindanao ketika itu, kedatangan Estrada ke Malaysia semasa sidang APEC di Kuala Lumpur tidak kurang menariknya. Ini kerana 1998 juga mencatatkan sejarah politik tempatan yang besar (dan dirasai hingga sekarang) dan Estrada ditegur kerana dilihat mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Estrada terkenal sebagai seorang bekas pelakon terkenal di Filipina dan semasa mula menjadi presiden, dia sering disamakan dengan Presiden Ronald Reagan, yang juga bermula sebagai seorang pelakon Hollywood. Estrada juga dikenali dengan nama timangan ‘Erap’ yang bermaksud ‘kawan’. Dengan populariti yang dikecap sebagai hero filem-filem rakyat, Estrada memenangi dengan mudah persada politik republik itu bermula sebagai datuk bandar San Juan pada 1969, kerusi senator (1987), naib presiden (1992) dan kemuncaknya sebagai presiden (1998).

Pada pilihan raya 1998, dengan slogan kempen Erap Para sa Mahirap (Erap untuk rakyat miskin), membolot undi tertinggi di 12 daripada 15 wilayah dan seterusnya menewaskan pencabarnya, bekas Speaker Parlimen, Jose de Venecia dengan kelebihan undi sebanyak 6 juta.

Namun tatkala Reagan dikenang dengan legasi kepimpinan yang menyaksikan berakhirnya era Tirai Besi Soviet Union, pada 2001 Estrada menjadi presiden pertama Filipina yang dilucutkan jawatan dan kemudian didakwa di mahkamah atas tuduhan merompak harta negara, yang kemudiannya mendapati dia bersalah.

Kekesalan

Pada Oktober 2007, Presiden Arroyo bersetuju memberi pengampunan kepada Estrada, satu tindakan yang mungkin menjadi kekesalan besar kepada pentadbiran beliau berikutan keputusan Estrada untuk kembali ke kancah politik.

Selepas pengampunan tersebut, dia menjelajah ke serata pelosok negara itu untuk menyampaikan ‘ceramah’ dipanggil Lakbay Pasasalamat (jelajah penghargaan) dengan mesej terima kasih kepada rakyat atas sokongan mereka terhadapnya, di samping menyampaikan barang makanan, ubat-ubatan dan pakaian.

Di sebalik itu, Estrada giat mengadakan pakatan dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang dan menyeru mereka agar bersatu, atau jika tidak, dia sendiri akan bertanding jawatan presiden parti.

Selain itu, timbul persoalan mengenai kelayakan Estrada untuk bertanding. Menurut suruhanjaya perlembagaan yang menggubal draf Perlembagaan 1987 Filipina, tertera dengan jelas larangan terhadap mana-mana presiden yang telah dipilih daripada bertanding bagi penggal kedua pada bila-bila masa. Isu ini masih didebatkan dan dipercayai akan dikemukakan ke Mahkamah Agung. Penyokong Estrada bagaimanapun, mendakwa peruntukkan itu hanya terlaksana bagi presiden sedia ada atau yang sudah bersara. Memandangkan Estrada dilucutkan jawatan, maka dia tidak tertakluk kepadanya.

Seorang rakan wartawan di Manila Bulletin, Shianee Mamanglu dalam e-melnya kepada penulis memberikan serba-sedikit senario yang berlaku berkaitan kemunculan semula Estrada ini.

‘‘Tidak dinafikan Estrada masih menikmati sokongan sebilangan rakyat terutama golongan miskin. Namun masa sudah berubah. Kes perlucutan jawatannya sebagai presiden menyebabkan imejnya sebagai hero orang miskin tercalar. Kes rasuahnya terlalu sukar diketepikan. Saya tidak fikir dia akan menerima sokongan pada magnitud yang sama seperti yang diterimanya dari golongan miskin pada 1998.

‘‘Baru-baru ini semasa di sebuah pusat beli-belah di Manila, saya terdengar sekumpulan buruh berbincang mengenai pilihan raya. Seorang daripadanya berkata, saya tidak mahukan Estrada walaupun dia menjadi simbol bagi golongan miskin. Ini kerana dia (Estrada) tidak pernah mengotakan janjinya untuk mempertahankan golongan miskin semasa berkuasa dulu,’’ kata Shianee.

Seorang lagi rakan wartawan Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Rhea memberitahu penulis, beliau tidak fikir Estrada mempunyai peluang untuk memenangi jawatan presiden kerana dia bersaing dengan ramai ahli politik yang popular seperti Benigno Aquino III iaitu anak kepada bekas presiden Corazon Aquino.

‘‘Pada saya, keputusannya untuk bertanding hanya akan memberi manfaat kepada calon yang dipilih oleh Arroyo iaitu bekas Menteri Pertahanan, Giloberto Gilbo, kerana kewujudannya pasti akan memecahkan undi bagi parti pembangkang,’’ kata Rhea.

Penganalisis politik juga hampir sekata bahawa Estrada bukan lagi suatu kuasa yang perlu dibimbangkan. Mungkin ada sesuatu yang boleh dihayati dan dipelajari daripada episod Arroyo ini terutama dalam menangani musuh politik yang nyata, dan memberi pengampunan kepada individu yang sudah didapati bersalah di mahkamah, bukan opsyen yang wajar apatah lagi bila ia kini menjadi bagaikan virus selesema babi yang sukar dibendung.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.