saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/12/2009

Dari Kota Melaka ke Kota Cornwallis, Padang Kota

AGAKNYA sudah menjadi suratan takdir apabila menjadi pemimpin pembangkang sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (DR), mereka sering kali terpaksa 'ditendang' keluar persidangan atau perlu 'angkat kaki'. Di Selangor, Ketua Pembangkang, Dr. Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) digantung malahan pemangkunya juga kemungkinan menghadapi tindakan yang sama. Di DUN Pulau Pinang baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Azhar Ibrahim (BN-Penaga) juga digantung. Punca Azhar digantung ialah kerana perkataan 'dua tiga kerat' dan kali kedua dikatakan menunjukkan punggung sedangkan menurut kata Azhar, beliau tunduk untuk mengambil beg sebelum meninggalkan Dewan. Membaca dan melihat laporan berkaitan di DUN Pulau Pinang, teringat penulis mengenai sidang DUN di negeri itu ketika di bawah pemerintahan BN iaitu semasa Dr. Lim Chong Eu dan Dr. Koh Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Penulis pernah bertugas di negeri itu mulai Januari 1983 sehingga Januari 1987 dan kemudiannya kembali ke Pulau Mutiara itu pada Januari 1991 sebelum ke Johor Bahru (JB) mulai September 1993. Maknanya penulis pernah membuat liputan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi projek Tanjong I pada 1986 dan kemudian ditugaskan pada PRU 1990 di Pulau Pinang bagi Projek Tanjong II. Cuma pada PRU 1995, tidak berpeluang berada di Pulau Pinang kerana ketika itu bertugas di JB. Memang menarik membuat liputan sidang DUN Pulau Pinang kerana di situ ada beberapa tokoh DAP. Pada peringkat awal sebelum kehadiran Lim Kit Siang, dua wakil DAP ketika itu ialah Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan Teoh Teik Huat (Pengkalan Kota). Walaupun cuma dua orang tetapi suasananya memang hebat.

Tahun 1986 lebih meriah dengan kehadiran 10 wakil DAP termasuklah Kit Siang, Karpal, Teik Huat, Gooi Hock Seng, Chian Heng Kai, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh. Lebih meriah pada 1990 apabila jumlah wakil DAP meningkat kepada 14 orang. Bertambah panas DUN ketika itu. Tetapi DAP merudum dalam siri Tanjong III (1995) apabila hanya dua wakilnya iaitu Chow Kon Yeow (Pengkalan Kota) dan Chong Eng (Batu Lanchang) menang. Sementara 'jaguh-jaguh' DAP yang lain kecundang. Tahun 2004 juga mengecewakan DAP.

Tetapi sekarang segalanya sudah berubah. DAP bangkit kembali pada PRU 2008 apabila berjaya menawan negeri idaman mereka, Pulau Pinang.

Banyak perkara yang tidak dijangka sudah berlaku. Kata orang seperti cempedak menjadi nangka. Di kerusi yang pernah diduduki Kit Siang dan Karpal sudah menjadi tempat duduk pemimpin BN khususnya UMNO setelah wakil komponen lain MCA, Gerakan dan MIC kalah kesemua kerusi yang ditandingi. Siapa sangka Dr. Hilmi Yahaya yang pernah menjadi Exco kemudian sebagai timbalan ketua menteri terpaksa duduk di kerusi Karpal. Begitu juga Azhar, bekas Exco yang kini berada di bahagian pembangkang. Siapa sangka Boon Poh yang mempunyai penampilan tersendiri sebelum ini sudah menjadi Exco. Begitu juga dengan Hock Seng dan Kon Yeow yang turut dilantik sebagai Exco kerajaan negeri. Mungkin tidak kesampaian hasrat mereka untuk menjadi pemimpin kerajaan negeri ialah Kit Siang dan Karpal Singh. Namun Kit Siang boleh berbangga kerana anaknya, Lim Guan Eng yang berhijrah dari Kota Melaka kini sudah ada di Kota Cornwallis (Bangunan DUN terletak berhampiran kawasan Padang Kota) sebagai Ketua Menteri. Karpal pula masih ada warisnya di situ melalui Jagdeep Singh Deo (Datuk Keramat).

Sekurang-kurangnya misi Tanjong I, II dan III sudah berhasil. Mungkin yang agak kecewa ialah Teik Huat yang memang hebat berbahas di DUN Pulau Pinang pada masa lalu. Rakan-rakan juniornya dalam DAP sudah ada jawatan dalam kerajaan negeri. Jika dulu mereka yang bertanya soalan, kini giliran mereka pula menjawab. Jika dulu mereka yang sering angkat kaki keluar DUN, kini anggota BN pula yang angkat kaki. Begitu juga dengan Abdul Malek Kassim. Siapa sangka bekas pemimpin Pemuda UMNO Tanjong itu sudah menjadi Exco (PKR-Batu Maung). Dulu jangan haraplah nama pemimpin UMNO di bahagian Tanjong dan Jelutong boleh bertanding kerusi DUN kerana di situ Parlimen mereka majoritinya adalah pengundi Cina. Maknanya calon pula pasti datang dari MCA atau Gerakan. Tidak ada peluang untuk pemimpin UMNO dalam bandar bertanding di luar kawasan bahagian masing-masing. Begitu juga dengan Zahrain Hashim yang kini sudah menjadi Ahli Parlimen (PKR-Bayan Baru). Mungkinkah mereka adalah orang yang paling bertuah kerana meninggalkan UMNO? Mereka mengucapkan selamat tinggal kepada UMNO dan rakan-rakan yang pernah dalam Pemuda dulu seperti Hassan Ariffin, Fadzil Shuib, Ahmad Ismail, Abu Bakar Abdullah dan ramai lagi. Begitulah politik di Pulau Pinang.

Menyelak kembali ke DUN Pulau Pinang, baru-baru ini juga berlaku demonstrasi di luar DUN. Kelam-kabut juga kerajaan pimpinan Guan Eng. Nasib baik DUN sudah berpagar dan berpintu. Dulu semasa penulis bertugas di sana, tidak ada pagar dan pintu di keliling bangunan itu. Kalau ada pun, hanyalah tembok biasa yang boleh dilangkah. Sesiapa sahaja bebas masuk ke lobi DUN. Disebabkan keadaan sebegitu rupa, maka hal ini pernah dibangkitkan oleh Cikgu Daud Taha (BN-Penanti) pada 1995. Beliau menegur kerajaan negeri kerana kawasan persekitaran DUN yang tidak menggambarkan suasana sebenar kawasan DUN malahan menurut beliau bangunan itu menjadi tempat orang berasmara (kedudukannya berhampiran Kota Cornwallis Padang Kota Lama) pada waktu malam. Memang mengejutkan kawasan DUN di tepi jalan utama itu yang tidak berpagar. Manusia bebas lalu-lalang di situ. Kecuali nak masuk dalam ruang Dewan persidangan, adalah pegawai yang menjaga dan memberi pas keselamatan. Tetapi di lobi, orang ramai boleh keluar masuk jumpa wakil rakyat mereka. Dan di hujung bangunan DUN (bersebelahan pejabat Imigresen) ada gerai mamak nasi kandar. Sebelum sidang bermula, penulis dan kadang-kadang wakil rakyat sama-sama pekena nasi kandar di situ. Itulah suasana pada masa lalu ketika penulis bertugas di sana. Sekarang segalanya sudah berubah.

Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Guan Eng bernasib baik kerana bangunan DUN sudah berpagar. Bukanlah sesuatu yang mustahil perkara lebih buruk akan berlaku jika bangunan bersejarah itu tidak berpagar.

Mungkin mereka yang mengadakan demonstrasi akan meluru ke dalam Dewan sekurang-kurangnya ke kawasan lobi. Dengan adanya pagar, mana-mana wakil rakyat yang digantung sudah tentu tidak dibenarkan masuk dari luar lagi. Mereka hanya mampu melalak di luar pagar di jalan raya yang melalui laluan pelancong sama ada menggunakan beca, bas, teksi untuk singgah di Kota Cornwallis. Mungkin pelancong akan mengambil gambar aksi mereka di luar Dewan!

Nak tahu apa berlaku dalam Dewan sebelum ini, mungkin penulis akan menulis mengenainya minggu depan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.