saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 18/12/2009

Kurangkan gas rumah hijau 2020

COPENHAGEN 17 Dis. – Malaysia bersetuju untuk melaksanakan satu petunjuk secara sukarela bagi memotong sehingga 40 peratus pelepasan gas rumah hijau daripada intensiti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 bagi membantu menangani isu pemanasan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia komited untuk melaksanakan langkah itu dengan syarat negara-negara maju bersedia memindahkan teknologi dan memberi bantuan kewangan yang mencukupi.

‘‘Malaysia juga akan terus komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan hutan seperti yang diputuskan pada Sidang Kemuncak Rio,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Menurutnya, pada masa ini gabungan keluasan kawasan hutan dan perladangan di Malaysia masih luas iaitu meliputi 75 peratus daripada seluruh kawasan negara.

Beliau juga menggesa negara-negara maju secara kolektif komited di Copenhagen untuk mengurangkan pelepasan agregat gas rumah hijau sebanyak 49 peratus menjelang 2017 berbanding paras 1990.

‘‘Malaysia berpendapat bahawa kesan perubahan iklim, kini sangat membimbangkan dan negara ini turut mengalami kesan perubahan itu, dari segi bencana alam dan kerosakan yang berlaku,’’ katanya.

Bagaimanapun, katanya, wujud skeptikal dan proses yang perlahan dalam usaha menangani isu tersebut.

Menurut Najib, seperti negara-negara membangun yang lain, Malaysia turut menghadapi masalah, bagaimana mahu menterjemahkan keperluan untuk mengawal pelepasan gas rumah hijau dalam pelaksanaan sistem pembangunan ekonomi, perancangan dan dasar-dasar negara.

Perdana Menteri berkata, sebarang tindakan yang diambil ke arah itu, pasti akan melibatkan berlaku perubahan yang besar dalam banyak sektor, sekali gus akan membawa kesan kepada ekonomi negara.

‘‘Oleh kerana itu, Malaysia menyokong saranan negara-negara membangun supaya kami (negara-negara membangun) diberi bantuan kewangan yang besar serta bantuan pemindahan teknologi, jika tidak kami (negara-negara membangun) tidak dapat melaksanakan transformasi ekonomi,” tambah beliau.

Menurut Najib, berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan termasuk oleh agensi-agensi PBB menunjukkan bahawa negara-negara membangun memerlukan bantuan kewangan dalam jangka panjang berjumlah sekurang-kurangnya AS$$800 bilion (RM2.8 trilion) setahun bagi memastikan suhu tidak meningkat melebihi 2 darjah Celsius.

Beliau berkata, jika diambil kira pendekatan saintifik pula untuk mengekalkan peningkatan suhu sebanyak 1.5 darjah Celsius, maka negara-negara membangun terpaksa membelanjakan sebanyak AS$1 trilion (RM3.5 trilion) setahun.

‘‘Bagaimanapun, jika dihalusi, jumlah itu tidaklah terlalu tinggi berbanding perbelanjaan yang lebih besar daripada itu yang dikeluarkan oleh negara-negara maju baru-baru ini untuk menyelamatkan bank-bank dan syarikat-syarikat mereka yang mengalami kerugian.

‘‘Dalam konteks ini, sumbangan segera sebanyak AS$10 bilion (RM35 bilion) yang dicadangkan oleh negara-negara maju kepada negara-negara membangun, sebenarnya tidaklah mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, negara-negara membangun menggesa negara-negara maju memberi komitmen untuk menyumbangkan sebanyak AS$200 bilion (RM700 bilion) setahun menjelang 2012 dan seterusnya sebanyak AS$800 bilion (RM2.8 trilion) setahun selepas tempoh itu.

Menurut Perdana Menteri, terdapat cadangan-cadangan di Copenhagen supaya negara-negara membangun menerima sasaran global pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 50 peratus menjelang 2050 berbanding 1990, manakala negara-negara maju pula mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 80 peratus.

‘‘Senario ini, jika diterima akan membawa maksud negara-negara membangun terpaksa memotong sebanyak 20 peratus, ditambah dengan pemotongan sebanyak 60 peratus per kapita berikutan pertumbuhan penduduk.

‘‘Tugas ini hampir mustahil dilaksanakan berikutan pertumbuhan ekonomi negara-negara membangun yang terus berkembang,” katanya.

Sehubungan itu, kata Najib, negara-negara maju perlu komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau melebihi 100 peratus atau dalam erti kata lain, negara-negara maju perlu melaksanakan sasaran pemotongan pelepasan gas rumah hijau sebanyak hampir negatif supaya negara-negara membangun mempunyai ruang untuk karbon.

Pada masa sama, negara-negara maju tetap perlu memberi jaminan akan menyediakan bantuan kewangan dan pemindahan teknologi kepada negara-negara membangun, katanya.

– UTUSAN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:11
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.