saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 21/12/2009

Belajar memahami, jangan melatah

Tajuk: The Argumentative Indian: Writings on Indian Culture, History and Identity
Penulis: Amartya Sen
Penerbit: Farrar, Straus & Giroux
ISBN: 0-713-99687-0
Pengulas: A. MURAD MERICAN

MAKALAH ini dapat dilihat daripada dua segi. Sama ada ia tidak ada kaitan dengan Utusan Malaysia, Zaini Hassan, Zainuddin Maidin atau A. Murad Merican sendiri atau ia terus berkait secara langsung dengan nama-nama tersebut.

Ia mengenai identiti apa yang disebut dalam hikayat-hikayat Melayu lama sebagai orang-orang dari benua Keling – dari nama “Kalinga” – sebuah wilayah di pantai Koromandel antara Tamil Nadu dan Orissa sekarang.

Penulis merujuk kepada buku bertajuk The Argumentative Indian: Writings on Indian History, Culture and Identity (2005) oleh Amartya Sen. Beliau ialah pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pada 1998. Sen ialah Profesor Ekonomi dan Falsafah di Universiti Harvard.

Buku beliau membincangkan asal-usul dan arah aliran identiti India dalam konteks idea-idea terkini dan terdahulu.

Buku ini merangkumi sejumlah 16 esei di bawah tajuk-tajuk dalam empat bahagian. Bahagian Satu, Voice and Heterodoxy; Bahagian 2, Culture and Communication; Bahagian 3, Politics and Protest dan Bahagian 4, Reason and Identity.

Tajuk buku itu diambil dari tajuk esei pertama The Argumentative Indian di mana pengarangnya meneliti kekayaan dan warisan tradisi wacana awam dalam masyarakat India.

Buku Sen juga boleh disifatkan sebagai satu “perbalahan” tersendiri.

Bab pertamanya bermula dengan keupayaan orang-orang India bercakap berjam-jam lamanya. Beliau memberi contoh diplomat India Krishna Menon yang memegang rekod memberi ucapan terpanjang di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menon bercakap selama sembilan jam tanpa henti.

Itu berlaku hampir setengah abad lalu di mana Menon mengetuai delegasi India ke PBB. Rekod Menon masih belum dipecah. Sen menulis, “We do like to speak” (Kita memang gemar bercakap).

Tabiat itu bukanlah sesuatu yang baru. Epik-epik Sanskrit seperti Ramayana dan Mahabhrata katanya, seringkali dibandingkan dengan epik Yunani seperti Iliad dan Odyssey. Mahabharata tujuh kali lebih panjang dari kedua-dua naskhah Iliad dan Odyssey.

Penulis mengenali Mahabhrata dan Ramayana melalui mata pelajaran sejarah di Penang Free School awal 1970-an.

Kira-kira 15 tahun kemudian, berkesempatan membaca Bhagavad Gita, sebahagian daripada Mahabhrata (terjemahan dalam bahasa Inggeris) lalu mendapatinya kaya dengan cerita, dialog, dilema dan pelbagai hujah dan perbalahan. Malah, sifat debat dalam epik itu – Krishna dan Arjuna – umumnya mencerminkan penentangan antara dua pihak, pendapat, kepercayaan dan kedudukan.

Sen juga menyentuh tentang demokrasi dan ketaakulan awam (public reasoning).

Beliau bertanya sama ada kekayaan budaya perbalahan ini mempengaruhi kehidupan benua kecil itu masa kini. Dalam hujahnya itu, pengaruh etos dalam perjalanan sejarah India itu memang ada dan dapat dilihat dalam pelbagai cara dan gaya. Ia telah membentuk dunia sosial kita dan ciri budaya kita, katanya.

Menurut Sen, perbalahan adalah bahagian penting dalam hidup orang India.

Ia banyak mempengaruhi politik India dan lebih relevan lagi tambah Sen, ia turut mempengaruhi perkembangan demokrasi di India sendiri serta kemunculan beberapa pergerakan sekular di India.

Apabila merdeka, India menjadi negara pertama di dunia bukan Barat yang memilih dan menggubal perlembagaan berpaksikan demokrasi bukan hanya daripada apa yang dipelajari dari pengalaman Eropah tetapi juga dari tradisi India sendiri berasaskan kepada ketaakulan awam.

Saya melihat The Argumentative Indian sebagai percubaan Sen – yang berasal dari Bengal – menganalisis, memahami, mencabar dan mengakui ciri-ciri India tersebut. Akan tetapi, kita perlu ingat bahawa India adalah satu dunia yang besar dengan pelbagai kontradiksi.

Apabila kita membuat generalisasi tentang India, keadaan yang bertentang juga benar.

India adalah dunia yang kompleks. Jumlah penduduknya kira-kira 1.2 bilion. Ini merupakan 1/6 jumlah penduduk dunia. India mempunyai lebih 2,000 kumpulan etnik. India mewakili hampir setiap agama utama di dunia, termasuk Yahudi.

Kompleksiti India ini bertambah apabila kita mengambil kira variasi dalam pendapatan dan pendidikan.

Hanya benua Afrika sahaja yang melampaui negara India dalam kepelbagaian genetik dan budaya. Apabila kita berhujah tentang India, kita membuat andaian dan pemerhatian tentang lebih 1,000 juta umat manusia.

Dalam bab Class in India, Sen menawarkan hujah-hujah yang begitu mantap: “Ada orang India yang kaya; ramai yang tidak. Beberapa yang berpendidikan tinggi; ramai yang buta huruf. Ini adalah jenis-jenis ketidaksamaan yang berbeza.”

Dalam menganalisis kontradiksi dalam masyarakatnya sendiri, Sen menerokai ahli falsafah India yang tersohor, Rabindranath Tagore.

Dalam Tagore and His India, Sen amat mendekati kehidupan, pemikiran dan kerelevanan Tagore kepada pemikiran dan pandangan alamnya. Sen menerima pendidikan awal di sekolah yang diasaskan oleh Tagore di Santiniketan, Bengal. Di situlah Sen didedahkan dengan wawasan dan ideal Tagore.

Inovasi, kreativiti dan tradisi kritis India adalah sesuatu yang dapat kita pelajari. Misalnya ini dapat dilihat dalam nasionalisme dan falsafah Tagore, serta pengarah dan pembuat filem, Satyajit Ray. Secara kebetulan, kedua-dua mereka juga adalah dari etnik Bengali – sama dengan Sen.

Walau apa pun, keupayaan India untuk mempelajari dari luar, merubah apa yang dipelajari itu lalu menggunakannya dalam konteks masyarakat sendiri adalah suatu tradisi yang dapat kita pelajari.

Dalam bukunya, Sen menggunakan bahasa keadilan sosial dan hak asasi manusia.

Beliau melontarkan teori bahawa perbalahan kini dilahirkan dari perbalahan masa lalu. Warisan perbalahan ini adalah satu aset yang penting, tetapi keberkesanannya bergantung kepada kegunaannya. Sejarah adalah penting untuk memahami keadaan ini. Ini tidak bermaksud kita perlu hidup dalam sejarah.

Saya dapati reaksi terhadap tulisan Zaini itu, sama ada dari orang-orang India atau Melayu, adalah mereka yang tidak faham tentang permasalahan identiti, terutama sekali jalinan antara orang Melayu dan India dari segi sejarah.

Hujah dan pemerhatian Zaini tidak semestinya betul dan membawa kebenaran mutlak. Dan ini perlu difahami oleh orang-orang India sendiri. Tidak semestinya jika kita Melayu atau India kita faham akan identiti pemikiran dan masyarakat kita sendiri.

Begitu juga Sen. Dan beliau pun membentang satu perspektif tentang identitinya dan orang-orang di benua India mengikut pengalaman dan perspektifnya.

Saya telah lama tertarik dengan jalinan kaitan India dan Melayu dari segi sejarah dan sosiologi. Kesedaran Keling itu sentiasa wujud dalam pemikiran Melayu, sejak sebelum zaman Melaka lagi. Dan pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an, istilah Darah Keturunan Keling (DKK) mula muncul sebagai ekspresi sosial dalam wacana-wacana kewartawanan Melayu.

Dan beberapa tahun lalu penggunaan istilah “Keling” dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka dicabar. Namun istilah itu masih kekal dalam Kamus Dewan. Jika kita terjemahkan tajuk buku Sen ke dalam bahasa Melayu, ia akan berbunyi “Orang Keling yang Berbalah: Penulisan tentang Budaya, Sejarah dan Identiti Keling”.

Secara tidak sedar, orang Melayu sendiri sekian lama mengalami kewujudan Keling dalam semua kontradiksinya. Lihat sahaja ekspresi penulisan suratkhabar Melayu 1930-an tentang Keling dan DKK. Ada yang benar, ada yang fiksyen. Begitu juga dengan hujah-hujah dari Amartya Sen. Kita tidak perlu melatah. Saya pun Keling juga.

Universiti Teknologi PETRONAS, Perak.
Beliau berasal dari Pulau Pinang">

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.