saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 24/12/2009

Pondok Lambor terpinggir


ebahagian daripada 20 buah pondok Darul Hanan Lambor di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.


TUMPAT 23 Dis. – Sistem pondok dalam tradisi pengajian Islam pada masa silam mempunyai kaitan yang rapat dengan institusi masjid dan surau di sesuatu kawasan serta kemunculan guru atau ulama yang terkenal.

Dengan perkembangan pengajaran mereka, ia semakin menarik kehadiran anak-anak muda yang datang dari jauh untuk berguru untuk mengikuti pengajian sepenuh masa.

Keadaan ini memerlukan tempat tinggal bagi menampung kehidupan yang ringkas dan mudah maka dengan itu didirikan rumah-rumah kecil ala kadar yang dikenali sebagai pondok di tapak yang biasanya diwakafkan oleh penduduk di sekitar institusi ibadat dan rumah guru.

Di era puncaknya, dikatakan terdapat beratus institusi pendidikan pondok di negeri ini, sebahagiannya turut menampung pelajar bukan sahaja dari seluruh negara, malah ada juga dari negara jiran.

Tetapi berikutan perkembangan pendidikan moden secara meluas yang lebih kemas dan tersusun di samping ketiadaan guru-guru pelapis yang mempunyai aura tersendiri, institusi pondok semakin susut dan terpinggir dengan kehilangan terajunya.

Bilangan penuntut juga semakin mengecil dan fungsi sebilangan pondok juga semakin berubah di mana keadaan ini turut dialami oleh pondok Lambor dekat sini.

Pondok Lambor diasaskan oleh seorang ulama yang dikenali sebagai Tuan Guru Haji Awang Lambor pada tahun 1930-an di Kampung Lambor, Wakaf Bharu bagi menyebarkan pengajian Islam.

Sehingga meninggal dunia pada tahun 1963, terdapat kira-kira 900 pelajar tampat perguruan dengan Allahyarham yang sebahagian daripada mereka mengajar agama di merata-rata tempat di seluruh Semenanjung.

Dengan kematiannya, bilangan pelajar semakin mengecil dan pengajaran diambil alih oleh seorang menantu Allahyarham yang dikenali sebagai Haji Alias dan kemudiannya oleh seorang lagi menantu, Mohd. Zain Abu Bakar.


Warga emas Pondok Darul Hanan Lambor mengikuti kuliah agama di Madrasah Tok Ayah Tuan Guru Haji Awang di Wakaf Bharu, Tumpat.


Sehingga 1970-an, hanya terdapat lima dan enam orang pelajar dalam satu masa dan pondok itu hampir mati dan tiada lagi penghuni.

Pondok itu cuba dihidupkan semula pada tahun 1975 melalui usaha keluarga Allahyarham termasuk cucunya, bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamad, Datuk Dusuki Ahmad di samping seorang ahli politik, Datuk Ibrahim Ali.

Dengan sumbangan Kerajaan Persekutuan, sebanyak 20 buah pondok dibina dengan peruntukan RM60,000 iaitu RM3,000 setiap buah yang berukuran 14 kaki x 20 kaki dan dinamakan sebagai Rumah Orang Tua Darul Hanan, Pondok Lambor.

Penyelaras rumah itu, Mohd. Azhari Mat berkata, setakat ini sebanyak 18 buah rumah didiami oleh 28 orang termasuk satu keluarga miskin dan sebuah lagi melibatkan anak yatim dua beradik.

‘‘Mereka tinggal secara percuma dan berpeluang mengikuti kuliah agama, di Madrasah Tok Ayah yang dikendalikan oleh Mohd. Zain.

Di madrasah berkenaan katanya, mereka menyertai kelas agama selepas sembahyang subuh, mengulang bacaan al-Quran selepas zohor dan mendengar ceramah antara maghrib dan isyak.

Semua penghuni pondok itu katanya, mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan sejak kira-kira setahun lalu, meningkat dari RM70 yang diterima sejak dahulu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya menghadapi masalah kewangan untuk membaiki keadaan pondok itu yang kini kembali uzur.

‘‘Rata-rata pondok itu sudah reput dengan keadaan dengan dinding dan lantai yang daif manakala bumbung pula bocor dan perlu dibaik pulih.

‘‘Keadaan pondok itu dapat bertahan sehingga kini kerana mendapat sumbangan daripada orang ramai dari masa ke semasa,” katanya.


Limah Che Soh, Limah Jusoh


Kalangan warga emas yang menetap di Rumah orang Tua Darul Hanan, Pondok Lambor itu menyatakan mereka memilih untuk tinggal di situ kerana ingin memberi tumpuan amal ibadat dengan selesa.

Ia bukan disebabkan mereka tidak selesa bersama keluarga tetapi ingin menghabiskan usia tua dengan tenang dengan berpeluang menambah ilmu agama dan beramal tanpa sebarang masalah.

Limah Che Soh, 80, berkata, dia memilih untuk tinggal di pondok itu selepas kematian suaminya manakala tiga orang anaknya mempunyai keluarga sendiri dan berpindah ke kampung lain.

Setelah memikir keadaan itu, katanya dia memohon untuk tinggal di pondok kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa di samping dapat menjalankan amal ibadat.

‘‘Anak-anak sering datang untuk melihat keadaan seharian dan saya bersyukur kerana tidak dilupakan,” katanya yang berasal dari Kampung Jal Kechil di sini.

Limah Jusoh, 79, berkata, ketiadaan rumah sendiri membuatnya memilih pondok untuk menghabis sisa usia.

Sebelum ini kata warga emas dari Kampung Changgal, Pasir Puteh itu, dia dipelawa oleh lapan orang anak untuk tinggal bersama mereka.

Fatimah Jaafar, 70, berkata, selepas berhenti kerja di kilang membuat mancis di Kota Bharu, dia tinggal bersendirian di rumahnya.

Tetapi pada setiap kali waktu sembahyang, dia terpaksa meminta bantuan cucunya untuk menghantarnya setiap kali bila ingin ke masjid berhampiran.

‘‘Sebaiknya saya tinggal di pondok dan langkah itu memberi keselesaan untuk menjalankan amal ibadat yang dituntut,” jelasnya.

Esah Lembik,77, berkata, dia selesa tinggal di pondok itu kerana mempunyai rakan sebaya dan memahami keadaan seharian yang dihadapi.

Katanya, kalau tinggal bersama anak-anak pula, sering ditinggal bersendirian kerana masing-masing keluar berkerja dan sekembalinya perlu menguruskan keperluan keluarga.

Di pondok itu katanya, dia mengurus sendiri keperluan termasuk memasak jika tidak berkesempatan mendapatkan makanan daripada rumah penjaga pondok sahaja.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.