saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 28/12/2009

Akibat pandu ikut perasaan, cakap ikut sedap mulut

Dulu bas 2 tingkat AB kini Sani

HARI ini adalah Isnin terakhir bagi tahun 2009. Banyak kisah menarik yang mewarnai tahun ini yang akan melabuhkan tirainya Khamis ini. Semoga 1 Januari 2010 yang bermula Jumaat ini akan lebih baik. Menariknya 1 Muharam atau Tahun Baru Hijrah juga jatuh pada hari Jumaat, 18 Disember. Dan menjelang hari-hari terakhir 2009, banyak cerita duka dicatatkan. Kisah sedih tentunya nahas bas dua tingkat Sani Express pada 1 pagi Ahad lalu di Kilometer (KM) 272.8 Lebuh Raya Utara Selatan yang mengorbankan 10 nyawa. Beberapa lagi nahas berlaku sebelum dan selepas itu. Nampaknya, di luar waktu Ops Sikap, banyak kemalangan berlaku. Apakah Ops Sikap perlu diadakan sepanjang masa? Tetapi sikap pemandu adalah lebih penting ketika memandu. Apa pun, berikutan nahas itu, seperti biasa, macam-macam tindakan dilakukan tetapi apakah hasilnya? Menyelak kembali diari 2009, ini bukan kali pertama nahas melibatkan bas dua tingkat. 'Jalan cerita' nahas hampir serupa. Mangsanya juga sama - yang berada di tingkat bawah (kalau bas biasa tempat isi barang). Kematian mereka juga sama akibat besi pembahagi jalan merodok bahagian bawah bas. Bezanya AB terbalik tetapi Sani tidak.

Rasanya masih baru lagi nahas pada awal pagi 13 April 2009 yang melibatkan AB Express. Dalam nahas pada pukul 5 pagi itu, enam terkorban di KM443, Lebuh Raya Utara - Selatan berdekatan Rawang. Setahun yang lalu iaitu pada 7 Disember 2008, nahas bas ekspres Super Nice Grassland meragut 10 nyawa di KM146.5 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pagoh, Johor. Menyelak lebih jauh, nahas bas ekspres paling buruk ialah pada 13 Ogos 2007 dengan jumlah kematian 20 orang dan lapan parah apabila bas ekspres terhumban ke parit sedalam lima meter di KM229, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang. Begitulah nahas yang melibatkan bas ekspres. Sudah banyak peraturan dan ketetapan dibuat oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk melarang perjalanan selepas 12 tengah malam. Ada yang meminta dikaji kesesuaian bas dua tingkat bergerak di lebuh raya. Entah apa pula yang akan dicadangkan selepas ini. Tetapi apakah kesudahannya? Adakah apa yang sudah diputuskan dikuatkuasakan? Atau sekadar ketetapan, peraturan dan undang-undang di atas kertas? Memang ajal maut bukan kita yang menentukannya tetapi manusia disuruh berusaha dan berikhtiar. Dan apa yang pasti, di lebuh raya, sudah menjadi satu pemandangan biasa bas ekspres dipandu laju malah berlumba sesama sendiri atau dengan kenderaan lain.

Teksi: LPKP perlu lebih aktif

LAIN pula kisah pemandu teksi. Mulai Jumaat ini, 31,000 pemandu perlu mengeluarkan resit tambang kepada penumpang. Jika tidak, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan menarik balik permit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz menegaskan arahan itu kekal. Langkah itu memang dialu-alukan. Lebih-lebih lagi apabila Nazri mendakwa banyak aduan yang diterima mengenai pemandu tidak amanah, menipu dan tidak ikut meter. Bagaimanapun teguran Nazri disambut dengan desakan oleh Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (Pupteksm) supaya menteri itu meletak jawatan portfolio LPKP. Puncanya apabila Nazri menyebut 'khidmat teksi lebih teruk daripada tandas'. Disebabkan ada pihak membuat aduan, maka teguran Nazri ada asasnya. Resit yang mempunyai pelbagai maklumat boleh membantu penumpang memastikan ketepatan tambang dan memudahkan aduan. Namun ramai yang tidak kisah dengan resit. Justeru di samping penguatkuasaan resit, perkara yang lebih penting adalah penguatkuasaan terhadap segelintir pemandu yang tidak menggunakan meter, memilih penumpang dan mengubah suai meter untuk mencari tambang lebih. Masih banyak yang berbuat demikian walaupun kerajaan telah menaikkan tambang teksi.

Ada pula yang berkata, pendapatan mereka terjejas kerana jumlah penumpang berkurangan berbanding jumlah teksi. Penumpang kurang kerana ramai yang 'takut' dengan kadar tambang yang dianggap tinggi. Paling merisaukan penumpang apabila terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Jumlah teksi pula bertambah ketika ini apabila ramai yang dulunya memandu teksi syarikat sudah memiliki permit sendiri. Macam-macam teksi ada di Kuala Lumpur termasuk Proton, Wira, Waja, Perdana dan Citra. Maka saingan dalam 'industri' teksi ini semakin meningkat. Pemandu teksi tidak boleh bertumpu di Kuala Lumpur sahaja sebaliknya mencari peluang di kawasan baru di pinggir ibu negara. Masih banyak kawasan perumahan baru yang tidak mempunyai perkhidmatan teksi atau pengangkutan awam.

Kita tidak mahu dalam mengejar saingan ini, ada pemandu tidak ikut undang-undang. Ada yang meminta tambang lebih dengan alasan kesesakan padahal kadar semasa kesesakan sudah 'dikira' melalui meter. LPKP perlu kerap 'turun padang' bukan sekadar di Kuala Lumpur tetapi di sekitar Lembah Klang bagi memastikan pemandu teksi benar-benar ikut peraturan. Jangan hanya menunggu aduan melalui telefon atau SMS kerana ramai pengguna yang sudah 'bosan' untuk membuat aduan.

Apabila polis buat aduan polis

TAHUN ini juga menyaksikan ada pihak tertentu yang 'menyerang' polis berhubung tindakan mereka menembak mati penjenayah. Ada yang mempertikaikan kenapa perlu tembak? Dalam erti kata lain, polis sepatutnya berbincang dengan penjenayah. Kalau dalam filem Melayu, Tamil, Hindi, Cina dan Inggeris, tidak ada penjenayah yang tiba-tiba tampil untuk menyerah diri melainkan akan menembak anggota polis. Penjenayah yang merompak orang juga tidak akan berbincang supaya mereka tidak dicederakan atau mengambil barang-barang tertentu sahaja. Perompak atau penjenayah yang terdesak akan kebas apa sahaja dan lebih kejam merogol, mencedera dan membunuh mangsa. Maka wajarkah polis membiarkan diri mereka diserang? Namun yang menarik mengenai polis dua tiga hari lalu apabila polis membuat aduan polis berhubung kenyataan pemimpin pembangkang. Kenyataan mereka dianggap berbau hasutan dan menakut-nakutkan polis. Jangan ingat polis akan berdiam diri dan takut bertindak.

Memang ada yang cepat membuat andaian apabila orang tertentu menulis dan bercakap mengenai sesuatu isu. Cepatnya mereka mengandaikan tulisan dan percakapan itu sensitif, menghasut dan bersifat perkauman. Tetapi apabila mereka berbuat demikian, itu namanya demokrasi, suara rakyat dan kebebasan bersuara.

Kadang-kadang atas nama demokrasi, ada yang mengeluarkan kenyataan provokasi sehingga mencetuskan kemarahan. Ada juga yang menggunakan 'kekebalan' untuk bercakap apa sahaja. Mereka kemudiannya memang boleh meminta maaf tetapi bak kata orang terlajak perahu boleh berpatah balik tetapi terlajak kata buruk padahnya. Ketika ini, orang membaca apa yang tersurat dan tersirat. Jadi jagalah mulut. Kerana mulut badan binasa!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.