saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 31/12/2009

Selamat Tahun Baru 1Malaysia 2010

ESOK Jumaat kita akan menyambut Tahun Baru 2010. Meninggalkan tahun 2009 yang penuh dengan pelbagai warna-warni kehidupan. Warna-warni yang menandakan Malaysia semakin matang hari demi hari. Proses penambahbaikan berlaku setiap saat. Proses percubaan dan kesilapan berlaku saban masa.

Proses keresahan dan keceriaan bersilih ganti.

Mulai esok juga Malaysia akan memasuki usia 53 tahun. Baru 53 tahun dan belum masuk usia pencen lagi. Satu proses demokrasi yang meningkat matang, walaupun belum cukup untuk dikatakan matang.

Senario Malaysia cukup hebat baik dari segi politik, hubungan kaum, ekonomi, sosial, budaya dan agama. Ia berlaku dan berlalu tanpa kita sedari. Sama ada kita sendiri, pentadbir kita, orang politik kita, kerajaan kita belajar daripada peristiwa-peristiwa itu atau tidak, sama-samalah kita tanya diri sendiri.

Apakah kita mudah lupa? Apakah kita belajar daripada krisis dan konflik yang berlaku? Itu semua adalah proses bangun, jalan dan jatuh yang akan berlaku berulang-ulang kali sebelum kita boleh berlari. Proses demokrasi yang sama turut dilalui oleh negara-negara besar dan maju lain seperti Amerika Syarikat dan lain-lain sebelum mereka benar-benar matang.

Begitulah juga proses pendemokrasian kita. Malaysia sedang berada dalam proses jatuh bangun itu. Kita tidak boleh lagi berlari. Hubungan kaum masih lagi menjadi topik perbincangan sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan proses-proses lain. Masyarakat kita masih lagi hidup dalam faktor kebimbangan dan keresahan. Isu territorial dan supremacy (hak kawasan dan ketuanan) masih lagi menjadi isu. Ia bukan sahaja berlaku dalam konteks Melayu, tapi juga Cina, India, Orang Asli, Penan, Siam dan peribumi lain.

Jangan kata isu ketuanan hanya melibatkan ketuanan Melayu sahaja, tapi ia juga melibatkan kaum-kaum lain. Jika tidak, tidak timbullah tentangan apabila istilah ketuanan Melayu dibangkitkan. Bangsa lain juga mahu ketuanan mereka diiktiraf.

Rakyat kita masih lagi berasa tidak selamat walaupun kita telah memiliki kad pengenalan warganegara tanah air ini. Mengapa jadi begini? Apakah kerana politik kita disempitkan? Atau sengaja kita mewujudkan senario ini bagi memberi peluang untuk kita bermain politik?

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya telah nampak kepada perkembangan itu. Proses pemulihan (percubaan dan kesilapan?) sedang dilakukan apabila beliau memperkenalkan gagasan 1Malaysia yang mulai berhasil.

1Malaysia amat ditakuti oleh pihak lawan apabila rakyat pelbagai kaum sudah menyedari (semula) bahawa mereka perlu bersatu.

Orang Cina yang memiliki kekayaan ekonomi dan bergantung kepada kestabilan negara untuk terus maju bersetuju dengan konsep itu; kaum India yang menganggap mereka masih ketinggalan juga akur dengannya; dan kaum bumiputera (yang terdiri daripada kaum Melayu dan kaum-kaum peribumi lain) perlu menerima konsep itu demi survival mereka.

Ia adalah satu gagasan yang pernah dilakukan sekitar 70-an dulu apabila laungan muhibah dan perpaduan serta slogan Bahasa Jiwa Bangsa telah berjaya membentuk satu generasi Malaysia yang bersatu-padu.

Jika pentadbiran Najib berjaya menggembleng dan memperkukuh lagi konsep ini, kita pasti kerajaan ini akan terus kukuh dan pembangkang akan hilang punca. Mereka sebenarnya amat bimbang dengan kejayaan konsep itu.

Ramai pandangan mengatakan konsep itu terlalu dinamik, walaupun pada mulanya ramai yang agak menentang dengannya tapi kini mereka secara terang-terangan mengatakan ia adalah satu konsep bijak. Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dalam satu jamuan teh dengan para editor akhbar di Kuala Lumpur tidak lama dulu pun pernah membangkitkan soal 1Malaysia. Mengapa beliau membangkitkannya, jika bukan kerana gagasan itu akan menjadikan kerajaan ini semakin kuat?

Pakatan pembangkang yang turut berasa tergugat dengan gagasan 1Malaysia itu terpaksa mengadakan satu konvensyen baru-baru ini bagi membentuk satu pakatan ala Perikatan, yang belum diberi nama lagi, bagi mengembalikan keyakinan penyokongnya. Namun, seperti yang saya katakan proses kematangan amat penting bagi menentukan proses pendemokrasian itu terlaksana.

Bukan mudah untuk Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hadi Awang mahu membentuk perikatan seumpama itu dalam erti kata sebenar. Perikatan Barisan Nasional mengambil masa separuh abad untuk membentuk acuan Malaysia seperti hari ini, walaupun adunannya masih belum cukup masak lagi.

Akhir sekali, marilah kita rakyat Malaysia menyokong gagasan 1Malaysia itu. Tiada masa lagi bagi kita berpecah-belah. Kita harus membentuk 1Malaysia yang mantap bagi meneroka tahun-tahun mendatang dengan lebih mencabar.

Sebagai insan yang membesar, bersekolah, bermain dan tinggal dalam satu suasana muhibah pakcik, nyonya dan aci, marilah kita kembalikan semula kegemilangan itu.

Selamat Tahun Baru 1Malaysia 2010!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.