saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/01/2010

Tok Mat bangkitkan 'Semarak' rakyat

Dunia politik Tan Sri Mohamed Rahmat yang lebih dikenali panggilan Tok Mat cukup menarik dan penuh warna-warni.

Jatuh bangun Tok Mat dalam karier politik menjadikan beliau antara politikus yang cukup tahan lasak.

Beliau pernah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri dan Presiden UMNO sepanjang empat dekad penglibatannya dalam kerajaan serta parti.

Pernah dilantik sebanyak dua kali sebagai Menteri Penerangan iaitu dari 1978 hingga 1982 semasa kepimpinan Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 ketika kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau pernah terkeluar daripada Kabinet Dr. Mahathir tetapi dilantik tidak lama kemudian sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf Menteri dari 1982 hingga 1984.

Karier politik Tok Mat cukup hebat walaupun tidak berada dalam hierarki tertinggi dalam UMNO. Tetapi jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO sejak 1988 hingga 1996 dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dari 1988 sehingga 1999 patut dihormati dan disanjung tinggi.

Semua rakyat Malaysia terutama pada awal tahun 1990-an pasti teringat Program "Setia Bersama Rakyat" (Semarak) yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara hasil ilham Tok Mat.

Beliau dilihat sebagai Menteri Penerangan yang popular ketika itu kerana pembawaannya yang mesra selain memperkenalkan beberapa program bagi memupuk kesetiaan kepada pemimpin.

Allahyarham juga adalah pemimpin yang tegas. Hakikat ini ditampilkan antaranya dalam menyelesaikan isu disiplin artis tempatan apabila mengarahkan penyanyi rock memotong rambut panjang mereka jika mahu menyertai program di Radio Televisyen Malaysia.

Antara yang mematuhi arahan beliau ialah kumpulan rock Wings dengan penyanyi utamanya Awie dan kumpulan Search dengan penyanyi utamanya Amy.

Peranan dan penglibatan Tok Mat turut mencorakkan politik UMNO dan BN dalam tempoh 1988 hingga 1996 yang ketika itu beliau merupakan Setiausaha Agung UMNO. Sesungguhnya Tok Mat merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan semula UMNO selepas diharamkan pada 2 April 1988.

Bagi Mohamed, dalam politik, kita harus menerima hakikat bahawa tiba masanya kita harus berundur. "Kita masih boleh menyumbangkan bakti biarpun tanpa jawatan politik," kata beliau beberapa hari setelah melepaskan jawatan Setiausaha Agung BN secara sukarela pada 1996.

Kisah percaturan politik tanah air yang Mohamed sendiri terbabit termasuk peristiwa tertentu dan pengakuannya tentu menarik sebagai bahan bacaan. Sebab itu, jika berkesempatan, elok dibaca buku berjudul UMNO: Akhir Sebuah Impian hasil tulisan Allahyarham sendiri yang dilancarkan Oktober 2009.

Allahyarham banyak memberi sumbangan kepada negara selain UMNO dan BN. Beliau juga begitu bijak memainkan peranan dalam menyatukan kepimpinan parti,

Sebab itu kepada bekas setiausaha akhbarnya, Zukri Valenteno Mohd Ali, bosnya ialah "Mr Propaganda" yang terbaik.

"Sebagai "Mr Propaganda", Allahyarham bekerja seorang. Beliau ialah one-man team dan selesa begitu", kata Zukri kepada Bernama semalam.

Bagi beliau, dalam banyak gelaran yang diberikan kenalan dan orang ramai kepada Allahyarham seperti Tok Mat, Mat Bulat dan sebagainya, paling istimewa dan yang turut menyentuh Allahyarham ialah "Mat UMNO", panggilan yang diberikan oleh Dr. Mahathir.

Berdasarkan cerita Zukri, pejabat Mohamed di tingkat 38, ibu pejabat UMNO dan BN adalah rumah kedua Allahyarham.

Mohamed amat menyayangi UMNO. Baginya, UMNO ialah orang Melayu dan orang Melayu ialah UMNO.

"Sebagai Menteri Kabinet, Tok Mat tidak pernah mementingkan protokol, orang ramai dan sesiapa jua boleh bertemu beliau tanpa temu janji dan beliau akan layan, baik di pejabatnya, di kawasan Parlimen ataupun ketika berehat minum kopi di Hotel Equatorial (kegemarannya) di Kuala Lumpur," kata Zukri.

Allahyarham seorang yang peramah dan ringkas, dengan lazimnya di pejabat, beliau mengambil sarapan teh O dengan nasi lemak bungkus kerana nasi lemak mengingatkannya kepada zaman persekolahannya di mana beliau menjaja kuih dan nasi lemak.

Itulah kisah bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung UMNO yang meninggal dunia dalam tidur pada awal tahun baru 2010, di kediamannya di Bukit Damansara, kira-kira 8 pagi semalam.

Allahyarham menyahut panggilan Ilahi menjelang genap usianya ke-72 pada Isnin depan.

Sebenarnya Allahyarham sudah lama menderita penyakit serius. Mohamed yang mengalami penyakit buah pinggang telah menjalani rawatan dialisis di rumahnya sejak 2006. Pemeriksaan turut dijalankan di HKL pada setiap tiga bulan sekali.

Pada 19 Jun 2008, Mohamed dimasukkan ke unit nefrologi Hospital Kuala Lumpur selepas diserang angin ahmar.

Pemergian Mohamed wajar diberi penghormatan besar berdasarkan jasa-jasa dan sumbangan baktinya kepada negara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.