saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 04/01/2010

MUSLEH memperkasa pendidikan Islam


Program Nadwah Pelajar 2009 yang diadakan di Masjid Kuaters KLIA, Sepang telah menerima penyertaan di luar jangkaan.


KEJAYAAN menghimpunkan seramai 1,200 peserta dan pegawai dari sekolah-sekolah jaringannya, Sekolah Islam Adni, Jaringan Sekolah Islam Terpadu, Indonesia dan Yala Islamic College, Thailand pada program Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah MUSLEH,

yang berlangsung Disember lalu merupakan acara paling bersejarah kepada Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad atau lebih dikenali sebagai MUSLEH bagi menutup tirai tahun 2009.

Bahkan diari 2009 yang baru empat hari ditinggalkan ini turut mencatatkan kenangan bermakna apabila pelajar tingkatan lima SMI Hidayah, Johor Bharu, Ishraf Hakim Mohd. Nadzri, telah dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Syarahan bagi program Pertandingan Aktiviti Kokurikulum Sekolah-Sekolah Swasta 2009 peringkat Kebangsaan, Ogos lalu.

Selain itu, MUSLEH juga berbangga dengan sambutan yang diterima menerusi Program Nadwah Pelajar 2009 pada Oktober lalu, di mana menerima penyertaan di luar jangkaan apabila semua 14 buah sekolah menengah Islam (SMI) dari seluruh negara iaitu seramai 180 orang.

Sesungguhnya, apabila melihat ikatan silaturahim dan ukhuwah Islamiah sesama Muslim dari dalam dan luar negara tersimpul erat serta penonjolan aktif generasi pelapis, sudah pastinya, usaha memperkasakan sistem pendidikan Islam perlu diarus perdanakan demi melahirkan anak-anak yang berakhlak tinggi dan profesional ke arah membangunkan modal insan.

Pengerusi MUSLEH, Megat Mohamed Amin dalam pertemuan di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur, Rabu lepas menjelaskan, MUSLEH adalah sebuah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak mensasarkan keuntungan dalam usaha-usaha yang dipelopori olehnya. Bersesuaian dengan maksud MUSLEH iaitu orang yang baik dan yang mengajak orang lain kepada kebaikan

"Peranan sebagai sebuah institusi pendidikan sebenarnya telah bermula semenjak tahun 1985. Bermula dengan Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira' di Shah Alam dan kini telah berkembang sehingga 19 buah SRI dan 14 buah SMI di seluruh negara kecuali Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak.

"Pada tahun 1988, pengetua-pengetua ini telah berkumpul dan berbincang dan kata sepakat diperoleh untuk menubuhkan Majlis Guru Besar Sekolah Islam Malaysia (MGBSIM) dan bergerak secara tidak formal. Sehinggalah pada 1996 barulah ia berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Pada masa sama, di pihak pengetua-pengetua, mereka merasakan perlunya ada satu cara yang lebih efektif. Nak dijadikan cerita, pada seminar pendidikan Islam anjuran Jamaah Islah Malaysia (JIM), salah satu daripada resolusinya ialah menubuhkan satu rangkaian institusi pendidikan Islam. Bertitik-tolak dari situlah, akhirnya tertubuhnya MUSLEH iaitu pada 4 Mei 2000," terang Megat Mohamed yang juga merupakan Pengarah Eksekutif MUSLEH.

Tambah beliau, jika dilihat kepada falsafah dan konsep yang terdapat di MUSLEH, sebenarnya ujar Megat Mohamed ia lebih kurang sama dengan institusi pendidikan Islam yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dewasa ini iaitu; menuju kepada arah yang satu; mencari keredaan Allah dan menghayati Islam.

"Tinggal lagi, kita merasakan perlu mewujudkan satu suasana, persekitaran atau kami panggil biah yang sesuai serta membolehkan konsep dan falsafah serta sistem-sistem ini dilaksanakan dengan efektif dan efisien. Selain itu, perkara yang sangat penting dalam falsafah pendidikan Islam ini, ia berteraskan konsep akidah at tauhid, sekali gus melahirkan insan rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia, sebagaimana yang dituntut oleh al-Quran dan as-sunnah.

"Selain dibezakan menerusi konsep dan falsafah di atas, perkara kedua ialah dari segi kemampuan untuk mengoperasikan konsep dan falsafah tersebut. Yang menjadi isu, ramai yang boleh bercakap tetapi untuk menggerakkannya bukanlah sesuatu yang senang. Oleh itu, perkara inilah menjadi tumpuan MUSLEH. Sebagi contoh, dari segi para pendidik.

"Sistem ini perlukan kepada guru-guru atau di sini disebut murobbi yang mampu menyampaikan mesej. Mereka ini bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengajar semata-mata tetapi mampu melaksanakan tanggungjawab permentoran/intervensi, rangsangan, tunjuk ajar dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan, orang yang mempunyai kriteria sebegini memang susah, terutamanya yang memiliki ciri qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik)," tegas Megat Mohamed petang itu.

Lantaran itu, untuk memastikan bahawa para pendidik merupakan murobbi yang dihormati, disayangi serta berkesan dalam menjalankan tanggungjawab, MUSLEH telah menjalankan kursus dan latihan berterusan kepada para pendidik SRI dan SMI. Setelah tamat, mereka diberi Syahadah Perguruan SRI-SMI (SP SRI-SMI).

Begitu juga, penyediaan Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM) yang menggabungkan penilaian holistik dan berterusan. Syahadah SPPM dianugerahkan kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam pendidikan mereka di SRI dan SMI.

MUSLEH mengharapkan, melalui semua proses pengajaran dan pembelajaran dalam sistem ini, akan lahir pelajar-pelajar yang berkelayakan dan berkemampuan untuk menjadi penggerak dan pemimpin dakwah dalam masyarakat.

Mengakui akan cabaran daripada anasir atau pengaruh luar yang lebih merbahaya, maka harapan Megat Mohamed agar diwujudkan kerjasama terutamanya dengan kementerian, agensi-agensi swasta malah semua pihak untuk sama-sama berganding bahu untuk menyelamatkan para pelapis negara ini.

"Hakikatnya, perlu dijelaskan kepada semua pihak akan kepentingan diterapkan falsafah dan pendidikan Islam kepada semua golongan masyarakat tidak mengira, warna kulit, bangsa dan agama dalam melahirkan modal insan.

"Sayangnya apa yang berlaku, ramai yang telah meletak atau melabel terlebih dahulu sebelum terlebih dahulu fahami di sebalik sistem pendidikan Islam itu. Itulah yang menjadi kekangan kepada usaha pemulihan sistem pendidikan negara.

"Untuk itu, MUSLEH amat berhajat untuk berkerjasama dengan kementerian, institusi pendidikan Islam dan bukan Islam di mana pada akhirnya, akan lahir seorang insan yang berguna dan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara," kata beliau mengakhiri perbualannya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.