saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/01/2010

‘Dari jauh tuan puan datang, orang Melaka sentiasa menanti’

MASIH belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010. Semoga tahun ini akan ‘lebih baik’ buat kita semua terutama rakyat Malaysia. Semalam dan hari ini bermulalah penggal persekolahan 2010.

Ini bermakna berakhir juga cuti hujung tahun yang panjang. Tempat-tempat tumpuan pelancong mula kesunyian berbanding sebulan yang lalu.

Hingga saat-saat terakhir ramai yang terus bercuti bagi menghabiskan cuti tahun mereka sebelum cuti persekolahan anak-anak berakhir pada Sabtu dan Ahad lalu. Penulis sempat ‘Cuti-cuti Malaysia’ dengan mengunjungi Melaka Bandaraya Bersejarah yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia tahun ini.

Mulanya risau juga untuk ke Melaka apabila membaca laporan berita daripada anak-anak buah penulis di negeri itu yang menyatakan ramai yang tidak mendapat bilik hotel kerana habis ditempah. Khabarnya ada sekumpulan 300 pelancong dari Singapura yang terpaksa bermalam di Port Dickson kerana ketiadaan bilik.

Hotel mungkin ada tetapi masalahnya tentu berkait rapat dengan kos atau kadar sewa bilik terutama bagi yang mempunyai keluarga ramai.

Bagaimanapun penulis awal-awal lagi meminta bantuan seorang sahabat, Daud Awang menempah bilik yang difikirkan murah dan sesuai. Mujurlah tempahan dibuat dan tidak timbul masalah untuk menginap di Hotel Lisbon yang terletak berhampiran Perkampungan Portugis dekat Ujong Pasir. Kedudukan hotel di tepi laut yang jauh daripada kesibukan bandar raya itu amat mententeramkan.

Lebih menarik lagi laluan ke hotel itu melalui perkampungan masyarakat Portugis. Dan kebetulan, mereka baru saja menyambut Krismas. Maka suasana malam sungguh indah dengan kediaman yang ‘dibaluti’ lampu-lampu berwarna-warni serta hiasan yang pelbagai.

Perihal Melaka ini pernah ditulis oleh Zaini Hassan dalam ruangan Cuit pada Julai lalu. Beliau memberikan ‘A+ kepada Melaka Kota Warisan Dunia’. Nak tahu kenapa beliau memberikan A+ kepada Melaka, bolehlah selak semula tulisannya. Jika Zaini tidak ke Melaka sejak empat tahun lalu, penulis lebih kurang sama. Kalau pergi pada 2008 pun hanya beberapa jam kerana tugas. Suatu masa dulu tidak ada apa yang menarik kecuali warisan sejarah tinggalan penjajah. Kini segalanya sudah berubah. Industri pelancongan nampaknya diberi suntikan baru dengan beberapa tindakan berani kerajaan negeri. Maka tidak hairanlah Melaka sentiasa mengalu-alukan kedatangan para pelancong ke negeri itu.

Sama seperti pantun empat kerat yang sudah menjadi pantun wajib bagi kerajaan negeri Melaka. Menurut seorang sahabat, pantun itu sudah menjadi kemestian kepada Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dalam mengalu-alukan kedatangan pelancong.

Pantun empat kerat itu berbunyi:

Kapal dagang dari seberang; Sarat muatan kayu meranti; Dari jauh tuan puan datang; Orang Melaka sentiasa menanti.

Di Melaka, macam-macam ada. Warisan sejarahnya yang menjadi satu daya tarikan pelancong kekal sehingga ke hari ini. Tidak perlu diceritakan lagi mengenai ‘bahan-bahan sejarah’ itu.

Tidak cukup dengan itu, beberapa tarikan baru pelancong turut diwujudkan dari semasa ke semasa.

Jika dulu hanya ada Eye On Melaka, kini sudah ada Eye On Malaysia. Jika Kuala Lumpur ada Menara Kuala Lumpur dan di Kedah ada Menara Alor Setar, kini Melaka memiliki Menara Taming Sari. Sungai Melaka yang dulunya mengalir lesu turut menjadi produk pelancongan. Pendek kata Melaka bagaikan taman tema terbuka.

Mengenai pusat membeli-belah tidak perlu cerita. Kalaulah pusat membeli-belah menjadi ukuran kemajuan atau pembangunan sesebuah negeri, maka entah gred apa yang harus diberi kepada negeri itu.

Mungkin A+++. Sebut saja ‘jenama’ pasar raya yang ada di negara kita, semuanya ada di Melaka. Sesetengah gedung membeli-belah itu bukan sekadar membuka satu cawangan tetapi dua atau lebih.

Apa yang tidak ada di Melaka? Sebut saja Giant, Tesco, Carrefour, The Store, Parkson, Mydin, AEON Jusco, Bilion, Bintang, semuanya ada.

Melaka juga terkenal dengan ikan bakar. Mungkin disebabkan kesegaran ikan, sotong, udang, ketam dan pelbagai jenis siput menjadikan gerai ikan bakar tidak menang tangan. Malam pertama, penulis mengunjungi medan ikan bakar di Muara Sungai Duyong.

Kedai pertama, sesak dengan orang ramai, terpaksa berbaris panjang. Akhirnya penulis ke kedai lain yang jumlah pengunjungnya kurang. Mungkin ada sebabnya kenapa kedai itu kurang orang tetapi tidak kurang hebatnya. Harganya juga sudah tentulah jauh lebih rendah daripada harga di Kuala Lumpur.

Malam kedua, Daud membawa penulis sekeluarga ke Kristal Bay yang lebih jauh daripada Muara Sungai Duyong.

Terkejut melihat peminat ikan bakar. Ada yang macam nak buat kenduri memilih ikan, udang, sotong, ketam dan sebagainya untuk dimasak. Lebih mengejutkan apabila bakul-bakul yang berisi ikan dan lain-lain itu terpaksa beratur panjang untuk disiang sebelum dimasak. Disebabkan sudah ‘terlanjur’ nak makan, maka terpaksalah menunggu dengan penuh sabar.

Satu jam menunggu akhirnya, siap juga masakan. Begitulah sentuhan medan ikan bakar di Melaka yang berada di sekitar Banda Hilir. Ini termasuk medan ikan bakar yang sering menjadi tumpuan ramai di Umbai.

Cuma, satu…kawasan menuju ke medan ikan bakar yang disebut tadi agak gelap, jalannya juga kurang memuaskan. Kalau boleh perbaiki lagi bagi kemudahan pengunjung terutama yang datang dari luar.

Cerita pasal makan, banyak lagi yang menjadi tarikan pelawat dari luar seperti asam pedas…cukup sepinggan nasi, sebelah telur masin dan semangkuk asam pedas dengan ikan pari, kembung atau tenggiri.

Kuih muih tradisional juga menjadi perhatian. Dengan harga tiga biji RM1, berbaloi untuk merasai semua jenis kuih tradisional Melayu itu.

Namun di sebalik kekayaan warisan sejarahnya, ‘taman tema terbuka’, medan ikan bakar dan macam-macam lagi, sesuatu yang tidak boleh dinafikan ialah kesesakan di jalan-jalan utamanya.

Selain itu, disebabkan kebanyakannya jalan sehala, maka tersilap arah, jenuh untuk berpusing atau berpatah balik mencari destinasi yang hendak dituju.

Maka selain memperbaiki kemudahan ini dengan membina laluan baru, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah papan tanda. Lebih banyak papan tanda yang menunjukkan arah yang lebih jelas dipasang.

Misalnya, apabila ditulis Jalan Parameswara, Dataran Pahlawan, atau apa sahaja, sekurang-kurangnya senaraikan tempat yang boleh dilawati di situ.

Kadang-kadang kita sudah berada di kawasan berkenaan tetapi terputus maklumat di mana kedudukan tempat berkenaan. Kata seorang pelawat, kereta kita sudah berada di lokasi yang dituju tetapi tidak tahu tempat yang hendak dilawati.

Mungkin bagi orang luar yang tidak pernah ke Melaka atau tanpa pemandu pelancong, lebih elok letak kereta di Melaka Sentral, sewa teksi. Atau lebih mudah juga letak kereta di pusat bandar (tetapi pada hujung minggu sukar mendapat ruang letak kereta), naik beca atau jalan kaki.

Sebut mengenai Melaka Sentral, pujian harus diberi kepada Pak Ali yang telah berjaya menjadikan Melaka Sentral sebagai hab pengangkutan awam.

Tidak pasti gred apa yang harus diberi kepada Melaka Sentral ini tetapi ia lebih selesa jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain hatta di Puduraya Kuala Lumpur.

Di sesetengah negeri ada hentian bas bertingkat tetapi bau asap, jalan berlubang dan kotor cukup menyesakkan pengunjung ke sana.

Tidak perlu disebut di negeri mana tetapi tidak keterlaluan jika dibandingkan dengan Melaka, ia adalah yang terbaik. Hab pengangkutan awam berhawa dingin ini juga menyediakan peluang perniagaan kepada ramai orang, lebih ramai daripada peniaga di Hentian Puduraya Kuala Lumpur.

Malahan yang penting lebih selesa jika dibandingkan dengan Puduraya. Walaupun hanya setingkat tetapi susun atur Melaka Sentral amat menarik bagaikan berada di lapangan terbang. Pembahagian kawasan untuk teksi, bas domestik dan bas antara negeri menyebabkan keadaannya lebih tersusun.

Pelbagai kemudahan lain seperti surau dan tandas juga baik. Terdapat juga pusat maklumat mengenai hotel penginapan bagi mereka yang baru tiba di Melaka melalui pengangkutan awam. Mudah untuk mendapatkan maklumat mengenai hotel-hotel berkenaan.

Begitulah dengan kemudahan di Melaka Sentral. Cuma bas dalam bandar belum berubah wajah!

Dan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur petang semalam, penulis memilih untuk melalui laluan ke Alor Gajah. Laluannya juga baik, lancar dan mendamaikan. Dan sebelum memasuki Plaza Tol Alor Gajah, singgah seketika untuk membeli di gerai-gerai yang menjual kuih-muih tradisional, tempoyak dan belacan.

Tetapi apabila memasuki lebuh raya, kesesakan mulai menghantui perjalanan! Sampai bila keadaan ini akan berlaku?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:14
Asar 4:38
Maghrib 7:22
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.