saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/01/2010

Bicara harga kembar ‘si manis dan si racun’ pembawa diabetes

HARGA minimum setiap batang rokok ditetapkan 32 sen menjadikan harga sekotak rokok 20 batang ialah RM6.40. Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harga sekilogram gula RM1.65 sen. Itulah ‘hadiah istimewa’ tahun baru bagi bahan yang memudaratkan itu.

Mungkin ramai yang sebenarnya menyedari - kalau tidak sedar...sedarlah bahawa rokok dan gula adalah kembar yang menyumbang kepada pelbagai penyakit termasuk diabetes. Gula dan rokok membantu kita menempah pelbagai penyakit kronik yang paling popular. Semoga mereka yang selama ini tidak sedar dengan bahaya rokok dan gula akan bersyukur di sebalik harga minimum rokok dan kenaikan harga gula itu.

Sudah sewajarnya kita membayar harga yang mahal untuk bahan yang boleh memudaratkan. Jika kita sudah tahu bahawa sesuatu itu boleh memudaratkan, berhati-hatilah ketika menggunakannya. Bukannya tidak boleh guna sama sekali (rujuk kepada gula sahaja) tetapi kurangkanlah. Rokok? Buanglah tabiat merokok kerana dalam rokok itu ada lebih 6,000 jenis bahan kimia dan toksik. Perokok terpaksa membayar harga yang mahal bagi bahan kimia beracun. Berbaloikah membeli sesuatu untuk merosakkan kesihatan diri dan orang sekeliling yang menyedut asap rokok?

Dengan harga minimum itu, mungkin ada di antara perokok yang akan menghabiskan RM6.40 sehari jika dia menyedut 20 batang rokok dari awal pagi hingga ke malam.

Diharapkan dengan menetapkan harga minimum itu, ia dapat mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutamanya oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah.

Pada masa yang sama diharapkan langkah menaikkan cukai dan harga rokok dapat mengurangkan kadar merokok dalam masyarakat.

Malahan kajian yang dibuat pada 2004 di Malaysia menunjukkan bahawa dengan peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus, ia dapat mengurangkan penggunaan terhadap rokok 3.8 peratus. Kata orang, kalau dah tak merokok, duit itu bolehlah menabung. Kalau sehari jimat RM5, satu bulan RM150. Banyak tabungan kita ada termasuk unit-unit amanah seperti Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Gemilang, Amanah Saham Bumiputera, Amanah Saham Didik dan macam-macam lagi. Tetapi yang tidak merokok pula tidak juga menabung. Semua ini bergantung kepada sikap seseorang.

Begitu juga dengan perokok. Naiklah harga setinggi mana pun, dia tetap merokok. Rokok seludup pun jadilah. Kalau takut dengan imej ngeri pada kotak rokok, dia buang kotak rokok ganti dengan kotak kosong gambar yang lebih menarik. Isu rokok ini pernah diselak dalam tulisan sulung Selak di bawah tajuk Hijrah demi undang-undang dan nyawa manusia pada 29 Disember 2008. Tulisan itu sempena pengenalan imej ngeri penyakit pada kotak rokok yang dijadualkan mulai Januari tetapi ditunda kepada bulan Jun. Turut disentuh sikap tidak ambil berat terhadap peraturan dan undang-undang serta penguatkuasaan berkaitan larangan merokok. Pada 22 Jun 2009, penulis sekali lagi menulis mengenai rokok di bawah tajuk Apabila perokok ketegar, undang-undang jadi hiasan. Antara lain ia menyentuh mengenai undang-undang ada tetapi tidak ada penguatkuasaan. Penulis juga mengimbau kembali kuliah Jumaat Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang dilaporkan Bernama. Beliau antara lain menyebut umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

‘‘Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu,’’.

Setakat ini, banyak undang-undang berkaitan larangan merokok hanya sekadar hiasan. Tidak ada tindakan tegas diambil. Mungkin pegawai penguat kuasa kurang. Pada masa yang sama banyak pula cadangan yang muncul bagi mengurangkan tabiat merokok, tetapi sejauh mana pelaksanaan dan keberkesanannya?

Kembali pula kepada gula. Kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama seperti merokok, gula juga membawa penyakit. Ada yang kata lebih 60 dan ada yang kata lebih 136 jenis penyakit disebabkan gula. Adakah selepas ini untuk mendidik pengguna, setiap bungkusan gula perlu disenaraikan penyakit seperti imej ngeri pada kotak rokok? Mungkin baik tetapi langkah ini sekadar menyedarkan pengguna semasa membeli.

Tetapi ketika menggunakannya atau semasa minum teh tarik atau menjamah kuih-muih di gerai, kita lupa semua penyakit ngeri itu.

Berbanding dengan rokok, sudah tentulah penggunaan gula lebih meluas. Maka lebih ramai yang bising apabila harga gula naik. Mereka bimbang apabila gula naik 20 sen, makanan dan minuman juga naik 20 sen. Ini memang tidak patut. Kalau secawan teh tarik dah naik 20 sen, penjual sudah tentu mendapat untung berganda. Tetapi peniaga bijak memberi alasan. Kononnya campur kos air, elektrik, gas, buruh dan macam-macam lagi. Bagaimana jika pengguna meminta minuman tanpa gula? Adakah harganya juga sama?

Masalah ini kita serahkan kepada pihak kerajaan untuk memantaunya.

Tetapi bagi pengguna di rumah, elok kurangkan gula. Gula bukanlah bahan mutlak yang diperlukan. Belajarlah minum tanpa gula. Kurangkan gula dalam juadah seharian.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri Yaakob, kajian menunjukkan rakyat Malaysia adalah yang terbanyak mengambil gula dibandingkan rakyat negara lain iaitu lebih 20 sudu gula sehari bagi setiap orang. Sepatutnya tujuh sudu sehari.

Bagi peniaga, sama ada sebagai pengeluar atau penjual makanan dan minuman, beranilah bertindak mengurangkan penggunaan gula. Dalam kek misalnya, mungkin ia terlalu manis, takut nak makan. Sajikan kepada rakyat Malaysia makanan dan minuman yang sihat. Langkah ini dapat membantu melahirkan rakyat yang sihat. Akhirnya, seperti kata Ismail Sabri, kerajaan masih memberikan subsidi RM1.2 bilion walaupun berlaku kenaikan harga gula. Jumlah itu masih besar. Subsidi itu seharusnya dibelanjakan untuk meningkatkan kemudahan rakyat termasuk kesihatan seperti mewujudkan lebih banyak Klinik 1Malaysia!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.