saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/01/2010

Residency Years Tak faham itu indah




TAHUN 2010 sudah pun diisytihar sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti. Mansor Puteh telah terlebih awal memberi 'tendangan yang pertama' dengan mengemukakan sebuah karya berbentuk dokumentari dengan judul The Residency Years. Mansor membawa satu pendekatan yang jarang dilihat di stesen televisyen tempatan.

Baru-baru ini, dokumentari tersebut ditayangkan kepada wakil media di Finas. Yang menjadi menarik di sesi ini bukanlah polemik tentang filem itu, sebaliknya berkaitan dengan komen Mansor terhadap para penilai filemnya sebagaimana yang disiar dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Pada kebiasaannya polemik penting dalam penilaian sesuatu karya seni. Polemik adalah sesuatu yang sihat yang berupaya membuka banyak ruang untuk menilai sesuatu karya seni yang mampu membawa khalayak melihatnya dari pelbagai sudut. Ini kerana karya seni ada kalanya bersifat ikonik, iaitu, maksudnya jelas; adakalanya ia bersifat indeksikal, ia itu, membawa petunjuk tentang sesuatu, dan adakalanya ia bersifat simbolik, yang tentunya boleh membawa pelbagai pendapat dan tafsiran. Malangnya, sesi tersebut tersasar dan membuatkan ramai menjadi terlalu emosional.

Apa saja kritikan sepatutnya dijadikan peluang untuk memperbaiki mana yang patut agar menjadi panduan untuk lebih berjaya di masa hadapan. Kesefahaman antara kedua-dua pihak tentunya akan membawa kepada kebaikan.

Kebelakangan ini, salah faham tentang medium filem kerap berlaku bukan sahaja di kalangan karyawan kita tetapi juga di kalangan media, birokrat, ahli akademik dan juga ahli panel juri di pelbagai festival tempatan. Produksi filem dikelirukan dengan ilmu filem. Seorang yang pandai menyelesaikan sesuatu produksi dengan baik tidak semestinya memahami ilmu filem.

Dia mungkin hanya mahir disegi aspek teknikalnya sahaja. Besar kemungkinan dia langsung tidak mempunyai ilmu atau kefahaman untuk menyelami pemikiran, estetika dan falsafah yang terdapat di sebalik sesuatu karya filem.

Dalam hal ini, Mansor sudah menerima nasib malang sebanyak tiga kali di tangan mereka yang tidak memahami karya yang berbentuk alternatif (yang berbeza daripada filem arus perdana). Pada tahun 1987, Mansor mendapat pinjaman Finas untuk menerbitkan filem cereka sulungnya, Seman. Semasa filem ini masih dalam pembikinan, pinjaman dihenti disebabkan penilaian negatif yang dibuat berdasarkan tera sulungnya (atau rushes) oleh seorang 'pakar' (dalam produksi filem). Namun begitu, Mansor dapat selesaikan filemnya dan berjaya membayar balik wang yang sudah diterimanya.

Skrip filem cerekanya berjudul Malaysian Snow pula tidak dapat diterbit disebabkan pelbagai karenah yang datang daripada pihak bank (walaupun skripnya telah pun dilulus oleh Finas).

Kini sejarah berulang lagi. Para penilai Residency Years merupakan mereka yang hanya terpelajar dalam bidang penerbitan dokumentari, tidak dalam bidang filem. Ada yang kepakarannya dalam bidang produksi filem, bukan ilmu filem. Filem alternatif dinilai dari seperti filem arus perdana. Yang tersurat tidak diselami dan tanda tidak dilihat sebagai petunjuk tentang sesuatu.

Memang benarlah kata U-Wei Haji Saari: "Tak faham itu indah tapi salah faham itu bahaya". Bukankah lebih baik penilai-penilai dipilih dari kalangan karyawan berkelulusan dalam bidang filem seperti Dr. Anuar Nor Arai, Dr. Mahadi J. Murat, Hafsham atau pun U-Wei Haji Saari? Atau pun dipilih dari pembikin dokumentari yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Amir Muhammad (The Big Durian, filem tunggal Malaysia yang ditayang di Festival Filem Sundance) atau pun Naguib Razak (The Boatbuilders of Mermaid Island yang ditayang di Discovery Channel)?

Khalayak sebenarnya dikelirukan selama ini tentang bentuk dan rupa dokumentari kerana sudah terlalu lama dibiasakan dengan 'dokumentari' terbitan stesen televisyen tempatan atau pun Discovery Channel dan National Geographic. Pada hakikatnya, kebanyakan dokumentari arus perdana adalah filem hiburan di mana struktur dan teknik penerbitannya dirangka agar dapat menarik perhatian penonton dan bertujuan mendapat rating yang tinggi.

Filem-filem seperti ini tidak sejujur filem alternatif seperti Residency Years yang mengajak penonton untuk turut terlibat dalam penceritaan dan penghayatannya. Namun begitu, polemik yang tercetus ini sudah membuatkan nama al-Marhum Tunku Abd. Rahman Putra al-Haj sebagai Bapa Kemerdekaan, menjadi buah mulut khalayak dan terpapar didada akhbar dan Internet.

Mansor mengajak khalayak untuk melihat Tunku bukan sebagai seorang Perdana Menteri (yang sudah pun dipaparkan dengan baik sekali oleh Shuhaimi Baba melalui filemnya, 1957: Hati Malaya namun tidak mendapat sambutan). Mansor mahu kita melihat Tunku sebagai seorang insan biasa yang berketurunan Raja tetapi selesa berpakaian kain sarung biasa dikhalayak.

DilayanKini baru kita tahu bahawa Tunku tidak mahu dilayan di London sebagai seorang putera raja tetapi sebagai seorang pelajar biasa semasa dihantar untuk belajar di sana pada usia muda. Baru sekarang kita tahu bahawa Tunku juga pernah menerima nasib yang sama seperti karyawan filem tempatan apabila tidak menerima royalti hasil daripada skrip Mahsuri tulisannya dengan pelbagai alasan daripada pihak penerbit.

Ternyata Residency Years adalah satu pengembaraan, catatan dan rakaman peribadi Mansor, sekaligus memperlihatkan beliau sudah lebih tahu tentang beberapa aspek kehidupan Tunku yang tidak diketahui Syed Abdullah, anak angkat Tunku sendiri. Dalam satu adegan, Syed Abdullah diperlihatkan kembali ke Residensi tetapi hanya sebagai seorang pelawat biasa walaupun pernah menghuni di sana. Dari segi pendekatan penerbitan, Mansor menggunakan apa yang digelar formalist atau pun expressionist. Pendekatan ini jelas melanggar segala konvensi dan peraturan dalam berkarya dalam filem. Maka tidak berasas beberapa komen seperti 'kamera goyang', 'gambar yang melompat-lompat', 'framing tak betul' dan 'gambar gelap'.

Perlu diingat, bahawa buku dan pengajian seharusnya tidak dijadikan sandaran. Cukuplah sekadar menjadikannya sebagai rujukan. Jika dijadikan sandaran semata-mata, akan sesatlah jalan. Ilmu itu berlapis, maka perlu dipadankan dengan petunjuk dari Tuhan. Maka dengan itu, akan adillah sesuatu penilaian.

Mansor Puteh tahu apa yang dibuatnya. Sudut pandangannya jelas. Residency Years merupakan satu pengembaraan yang amat peribadi, sesuatu yang seakan-akan dirakam oleh beliau sendiri. Kata pengarah filem tersohor dari Sweden, Ingmar Bergman: 'Jika mahu tahu apa yang diperkatakan oleh seorang karyawan, lihatlah bagaimana ia memperkatakannya'. Jika mahu tahu apa yang ingin diperkatakan Mansor dalam Residency Years, lihatlah bagaimana ia memperkatakannya melalui teknik komposisi, sinematografi, suntingan dan penataan cahaya yang jelas melanggar segala peraturan pembikinan filem biasa.

Aerial shot Kuala Lumpur yang menampakkan bangunan-bangunan pencakar langit seakan 'dilihat' oleh Tunku. Mansor menguatkan adegan ini dengan syot arkib yang menunjukkan Tunku turun dari pesawat selepas misi Merdeka ke London. Visual pembangunan pesat di Kuala Lumpur seakan membangkitkan satu pertanyaan: Sekiranya Tunku masih hidup, apakah Tunku akan gembira dengan keadaan Malaysia sekarang? Apakah rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan muhibah sebagaimana diimpikannya sewaktu mencapai kemerdekaan dahulu?

Visual Stadium Merdeka diulang-ulang. Inilah tempat yang amat bersejarah yang telah dibina khusus untuk pengisytiharan merdeka dan di mana telah bergemanya laungan Tunku yang keramat. Apakah ia kini berdiri sebagai satu monumen yang sudah dilupakan asal usulnya? Perlukah kita menilai semula Stadium Merdeka sebagai simbol untuk membakar semangat agar kita dapat menjadi rakyat yang benar-benar merdeka? Atau apakah stadium bersejarah ini sudah tidak ubah seperti foto-foto dalam buku The Residency Years dan hanya menjadi tatapan semasa minum kopi?

Inilah persoalan-persoalan pada hemat saya yang dibawa oleh Mansor melalui visual-visual yang sarat dengan makna. Di akhir filemnya, Mansor mencuit para penonton dengan visual sekumpulan remaja bermain gitar dan bernyanyi dalam suasana tanpa cahaya. Maka timbullah lagi persoalan: Apakah makna kemerdekaan bagi mereka ini? Benarkah remaja-remaja ini (putera-putera merdeka) mewarisi apa yang benar-benar diimpikan Bapa Kemerdekaan kita? Lebih tepat lagi, apakah minda mereka sudah merdeka?

'Membaca' karya Mansor memerlukan sedikit usaha. Karya-karya daripada pembikin generasi baru seperti Mansor, U-Wei Hajisaari, Anuar Nor Arai, Mamat Khalid, Wan Azli Wan Jusoh, James Lee, Amir Muhammad, Ho Yuhang dan beberapa yang lain, adalah karya yang terhasil dari minda yang sudah merdeka; yang tidak dibelenggu oleh karya arus perdana yang bersandarkan keuntungan semata-mata.

Negara memerlukan karyawan yang inovatif dan kreatif untuk memberi inspirasi kepada para remaja dan graduan dalam bidang seni yang akan menjadi karyawan nanti. Para penilai di kalangan panel juri festival filem juga perlu dipilih dengan teliti supaya karyawan yang inovatif tidak menjadi mangsa mereka yang kurang ilmu penilaian.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.