saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/01/2010

Fajar dipanah Petir

SEORANG wartawan New Straits Times yang sering bersama saya meliputi lawatan Perdana Perdana Menteri ke luar negara, K. Bala menghantar pesanan ringkas berbunyi - ‘memories keep us going as we fade away - kenangan menghidupkan kita di kala kita semakin pudar’.

SMS itu dihantar setelah beliau membaca tulisan saya dalam Mingguan Malaysia minggu lalu bertajuk Kek Kecil Kek Besar tentang komunisme. Turut disertakan bersama tulisan itu gambar Bala bersama rakan-rakan wartawan lebih 20 tahun lalu di kota Belgrade ketika meliputi Persidangan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) pada musim gugur 1989 yang dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Saya dapat rasakan kebenaran pesanan ringkas itu sebagai seorang wartawan yang menyaksikan dari dekat beberapa peristiwa sejarah dalam pembikinan. Tetapi tentunya lebih lagi kepada mereka yang telah mencipta sejarah, yang pernah dalam perjuangan untuk idealisme besar yang dianggap agung dan murni.

Meskipun perjuangan itu patah, gagal dan runtuh tetapi ia sebati dengan mereka sebagai suatu keyakinan “agama” yang menjadi kemegahan sepanjang hayat.

Itulah yang terfikir oleh saya apabila membaca buku The Fajar Generation yang mencatatkan era kebangkitan kesedaran sosial suatu kumpulan mahasiswa di Singapura pada tahun 1953 untuk menentang penjajahan British. Kebangkitan itu berlangsung menerusi fahaman sosialis selepas tamatnya penjajahan Jepun dan setelah lima tahun darurat diisytiharkan di Malaya dan Singapura bagi mematahkan gerakan komunis.

Yang menggerakkan kebangkitan itu adalah sekumpulan kecil mahasiswa berbangsa Melayu, Cina dan India. Mereka menjadi minda di belakang penubuhan University Socialist Club (USC) Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1953 . Antara lain ialah Ungku Omar, Abdullah Majid, Hock Siew, Soo Kai, Rajakumar, Wang Gungwu dan Philomen Oorjitham.

Fajar, suara bulanan kelab itu dalam satu edisi tahun 1954 menimbulkan kemarahan penjajah British dengan rencana Aggression in Asia yang menyebabkan anggota pengarangnya ditahan dan dibicarakan atas tuduhan menghasut. Rencana itu mengutuk imperialisme Barat, undang-undang darurat dan negara polis yang dikuatkuasakan oleh British di Malaya dengan berselindung di sebalik nama Kampung Baru.

Kebanyakan kader sosialis di Universiti Malaya setelah tamat pengajian meneruskan perjuangan politik kiri di Malaya dan Singapura. Mereka menyusup ke dalam kesatuan kerja, parti politik dan berbagai pertubuhan awam tetapi akhirnya berkecai terutama di Singapura kerana antara lainnya Lee Kuan Yew yang mereka anggap rakan menjadi musuh dalam selimut.

Mereka di antara penaja penubuhan PAP (Peoples Action Party) atau Petir (Parti Tindakan Rakyat) yang dipimpin oleh Kuan Yew tetapi akhirnya tersingkir daripada parti itu, merengkok dalam penjara bertahun-tahun. Ada juga yang lari keluar negara atau lenyap dengan sendiri ditelan zaman, bertukar wajah menjadi sosialis revisionis atau sosialis realistik malah ada yang menjadi kapitalis besar. Khabarnya nama Petir diberikan oleh A. Samad Ismail.

Kata mendiang Dr. Rajakumar salah seorang pengasas USC dalam catatan kenangannya: Adalah menyedihkan semangat dan komitmen oleh mereka yang kecil ini akhirnya dipadamkan dan terlalu ramai orang muda yang bijak akhirnya terpinggir.

Saya mengenali Dr. Rajakumar sebagai salah seorang sosialis sejati, berdisiplin, bermoral bersih dan sepanjang hidupnya berkorban membantu orang yang memerlukan pertolongan terutamanya dengan memberi rawatan dan perubatan percuma.

Beliau menjadi anggota Parti Buruh dan mempunyai hubungan rapat dengan nasionalis Melayu dan penulis-

penulis kiri Melayu, di antaranya Pak Sako (Ishak Muhammad) Sasterawan Negara, Usman Awang dan wartawan-wartawan Utusan Melayu.

Pada Ogos 1999, Dr. Rajakumar menghubungi saya meminta jasa baik untuk membolehkan kerajaan membiaya rawatan hemodialisis Usman Awang di Pantai Medical Centre.

Dan dengan pertolongan Menteri Kewangan ketika itu Tun Daim Zainuddin permohonan itu diluluskan.

Berbangga

Saya segera membeli buku The Fajar Generation apabila di beritahu oleh seorang kawan. Ini kerana nama buku itu mengingatkan saya tentang zaman muda di mana ketika itu saya berbangga dengan anak-anak Melayu dari Kedah yang terlibat dalam gerakan sosialis di Singapura. Di antaranya ialah Kassim Ahmad dan Ahmad Mustapha (anak saudara kepada Dr. Mahathir).

Anak-anak Melayu lainnya yang turut terlibat dengan USC yang disebut dalam The Fajar Generation ialah Agoes Salim, Osman Cassim, Syed Husin Ali, Abdullah Majid, Abdul Razak dan Ungku Omar.

Abdullah Majid, Ahmad Mustaffa dan Kassim Ahmad adalah tiga intelektual Melayu yang berjaya meyakinkan USC tentang pentingnya bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi Malaya kerana bahasa Inggeris hanya digunakan oleh orang terpelajar di bandar. Untuk tujuan itu satu seminar bahasa kebangsaan telah diadakan oleh USC ketika Ahmad Mustapha menjadi presidennya pada tahun 1959.

Setiausaha Agung dan Presiden USC pada 1964-1965, Koh Kay Yew menulis, sekalipun anak Melayu merupakan bilangan yang terkecil di universiti tetapi USC selamanya menyokong bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan bagi Malaya yang bebas termasuk Singapura.

Abdullah Majid telah ditahan oleh British buat pertama kalinya pada 1951 serentak dengan penahanan 35 orang lagi anggota Anti British League termasuk Samad Ismail, wartawan Utusan Melayu.

Beliau ditahan lagi bersama beberapa anggota lembaga pengarang Fajar pada tahun 1954 atas tuduhan menghasut membenci British. Beliau kemudiannya dibebaskan dengan pembelaan peguam terkenal di Singapura masa itu Lee Kuan Yew (kemudiannya menjadi Perdana Menteri Singapura) dibantu oleh QC D.N Pritt. Tetapi kemenangan kes itu dianggap oleh Lim Kean Chye (adik kepada P.G. Lim bekas diplomat Malaysia) memberikan reputasi palsu kepada Kuan Yew sebagai peguam yang progresif.

Saya berkawan rapat dengan Ahmad Mustapha ketika beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah Kota Star setelah tamat pengajian di Singapura dan ketika beliau menjadi Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Husin (1974) dan Pengurus Besar Bernama (1980).

Sebagai pemberita saya juga sering menemui Kassim Ahmad semasa beliau menjadi Pengerusi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) – 1966-1984. Ketika berada di London sebagai pensyarah di School of Oriental and African Studies Universiti London (1962-66) beliau telah menubuhkan Pemuda Sosialis Malaya.

Yang masih menjadi ingatan saya hingga ke hari ini adalah interviu saya dengannya di Majestic Hotel Kuala Lumpur dalam awal tahun 70-an. Ketika itu beliau dengan penuh keyakinan meramalkan “Malaysia akan jatuh lima tahun lagi”. Ketika itu sedang berlaku peperangan antara tentera Amerika Syarikat (AS) dengan Vietcong di Vietnam Selatan. Bagaimanapun teori domino tidak berlaku sekalipun AS kalah dalam peperangan itu.

Di antara 10 orang yang memberikan sumbangan penulisan kepada The Fajar Generation ialah Agoes Salim yang pernah menjadi anggota Majlis Gerakan Negara dan Pengerusi Bank Pertanian, Ahmad Mustapha, Syed Husin Ali dan Poh Soo Kai bekas Penolong Setiausaha Barisan Sosialis Singapura yang turut menjadi penaja kepada penubuhan PAP tetapi akhirnya disingkirkan. Beliau dua kali menjadi tahanan politik di Singapura yang kesemuanya berjumlah 18 tahun.

Menurut Soo Kai nama “Fajar” yang sebati dengan USC adalah kalimah yang dipetik dari karya Omar Khayyam - nama ini terus menyemarakkan suara puak radikal kiri sekalipun Fajar yang berada di pasaran selama 10 tahun telah diharamkan di Singapura serentak dengan Operasi Cold Store menahan anasir-anasir komunis pada tahun 1963.

Sumbangan

Di antara rencana menarik dalam buku itu adalah sumbangan Syed Husin Ali mengenai Dr.M. K. Rajakumar yang dikenalinya ketika menuntut di Univesiti Malaya Singapura. Beliau menyaksikan Rajakumar sebagai pelajar perubatan tahun keempat aktif bersama Samad Ismail membantu Kuan Yew menubuhkan PAP. Samad juga kemudiannya menjadi mangsa politik Kuan Yew.

Dicatatkan bahawa ketika mogok Utusan Melayu pada tahun 1961, Rajakumar telah membantu pemimpin pemimpin mogok yang terdiri dari anggota Jabatan Pengarang seperti Said Zahari, Usman Awang, Tajudin Kahar,Salim Kajai dan Samani Amin yang sering datang makan tengah hari atau minum teh dengannya.

Selain memberi makan, beliau juga membenarkan mereka mengambil barang-

barang dapur dari kedai yang dilangganinya.

Menurut Syed Husin oleh kerana sumbangan fikiran dan derma baktinya dalam dunia perubatan, Dr. Mahathir pernah menamakan Rajakumar untuk suatu anugerah negara tetapi beliau enggan menerimanya kerana tidak mencari kedudukan rasmi atau pengiktirafan.

‘‘Sehingga ke akhir hayatnya beliau kekal sebagai seorang rakyat biasa yang sederhana sikapnya dan komited kepada idea dan cita cita untuk membantu orang miskin ke arah mengwujudkan bangsa Malaysia yang bersatu,’’ kata Syed Husin..

Abdullah Majid setelah tamat pengajiannya di Singapura terlibat dengan gerakan kiri di Malaya. Beliau dan Rajakumar bertanggungjawab dalam penubuhan Parti Buruh dan Barisan Sosialis. Beliau berkerja dengan Majlis Bandaraya George Town (Pulau Pinang) dalam awal tahun 60-an ketika majlis itu dikuasai oleh Barisan Sosialis.

Bagaimanapun beliau telah meninggalkan majlis bandar raya itu untuk menyertai kerajaan Barisan Nasional. Beliau menjadi Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak seterusnya menjadi Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat.

Apabila berlaku perubahan kepimpinan kepada Tun Hussein Onn berikutan dengan kematian Tun Razak, Abdullah telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama dengan A. Samad Ismail dan Abdulah Ahmad atas dakwaan menjadi anasir komunis.

Berasaskan buku Memoir Lee Kuan Yew, ternyata penahanan mereka adalah suatu kejayaan Kuan Yew mempengaruhi Tun Hussein Onn yang melawat Singapura untuk membaharui hubungan antara kedua negara tidak lama selepas kematian Tun Abdul Razak.

Tindakan itu mendedahkan bahawa Kuan Yew senantiasa resah gelisah dan dalam kebimbangan melihat musuh- musuh politiknya berada di sekeliling Tun Abdul Razak.

Kehidupan Abdullah Majid adalah menyedihkan. Beliau terlantar di rumahnya di Taman Desa, Jalan Klang Lama kerana diserang angin ahmar sejak 20 tahun lalu. Adiknya Wahab Majid memberitahu saya beliau mengenali orang yang datang menziarah tetapi tidak dapat bercakap.

Sementara itu Kassim Ahmad menyertai UMNO ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. beliau menjadi Pengerusi PSRM selama 18 tahun.

Beliau ditahan di bawah ISA dari tahun 1976-1981 dan dibebaskan tanpa syarat 15 hari selepas Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Apa pun tafsiran tentang angkatan generasi fajar, tidak dapat dinafikan mereka telah mengorbankan jiwa raga dan fikiran tanpa mengharapkan balasan demi fahaman yang mereka penuh yakin akan membahagiakan manusia. Mereka adalah Marxis dan percaya Marxism sebagai jalan ke syurga tetapi ternyata fahaman ini telah membawa kemunduran dan penderitaan kepada umat manusia lalu ia runtuh dan pudar ditelan zaman.

Sejarah akan mencatatkan pernah suatu masa dahulu Fajar menyingsing di Singapura tetapi berkecai selepas penahanan Petir.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.