saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 18/01/2010

Hati Z. Lokman terguris


Z. LOKMAN... walaupun tidak dihargai oleh stesen TV namun bersyukur kerana di Filipina bakatnya mendapat tempat
di stesen TV di sana.


SUTRADARA kontroversi tanah air ini seorang yang ceria. Mudah didekati, peramah serta tidak pernah tersentuh hati andai namanya disenarai sebagai pengarah yang kurang intelek.

Yang hanya dia tahu ialah buat filem. Sama ada orang suka untuk menonton atau tidak, itu bukan tanggungjawabnya.

Berbeza dengan pengarah lain, Z. Lokman dalam senarai kerja-kerja seninya sudah menghasilkan 30 buah filem selain 108 penerbitan drama untuk siaran RTM serta 30 buah drama untuk TV3.

Itu penangan Z. Lokman. Barangkali, rekod itu belum dapat diatasi oleh mana-mana pengarah kontemporari.

Kalau senarai panjang itu sudah dibuktikannya, kenapa pula Z. Lokman harus menjauhkan dirinya dari gelanggang perfileman tanah air?

Apakah beliau benar-benar merajuk setelah sering menjadi mangsa kecaman banyak pihak?

Semua ini berlaku selepas dia mengarahkan filem Mendam Berahi pada tahun 2000.

Kali terakhir berita mengenai Z. Lokman sampai ke pengetahuan media ialah dia sudah bertukar karier.

Dilahirkan dengan nama Zulfakar Lokman Islamiddin, pengarah berusia 65 tahun itu, dikhabarkan memilih untuk menjadi penjaja goreng pisang di stesen komuter Nilai, Negeri Sembilan.

Sesuatu yang memeranjatkan dan ada yang menganggapnya mustahil, tetapi ketika itu memang sukar untuk mengesan Z. Lokman.

Bagaimanapun, minggu lalu Z. Lokman berjaya dijejaki.

Seperti yang dijanjikan tepat pukul 4 petang, beliau muncul di coffee house sebuah hotel di pinggir kota.

Berkemeja putih dan berseluar kelabu dengan hanya berselipar, sifat dan keperibadian Z. Lokman yang happy-go-lucky tidak berubah.

Ramah dan lucu bila berbicara. Namun apa yang nyata walaupun usianya sudah melebihi setengah abad, Z. Lokman masih kaya dengan beribu idea.

Selepas lima minit bertanya khabar, ayah kepada 23 orang anak (hasil perkahwinannya dengan tiga orang wanita), tidak berselindung apabila ditanya mengenai 'kehilangannya'.

Sambil ketawa besar, Z. Lokman tanpa teraga-agak mengakui, dia selesa menjual goreng pisang daripada 'pening kepala' memikirkan kerenah industri perfileman.

"Memang saya jual goreng pisang. Saya tak malu mengaku kerana saya buat kerja yang halal. Saya tidak mencuri dan tidak menipu orang," itu jawapan yang terpacul dari mulutnya menjawab pertanyaan ramai.

Menurut Z. Lokman, sejak tahun 2003 hingga 2006, dia dan isteri, Rahimah Mansor memulakan rutin berniaga goreng pisang bermula pukul 11 pagi.

Bukan sahaja goreng pisang, bahkan pasangan suami isteri itu juga turut mempelbagaikan menu dengan menjual goreng keledek, keladi, keropok dan macam-macam makanan bergoreng yang menjadi kegemaran masyarakat.

"Selalunya bisnes bermula sekitar 12 tengah hari dan habis pukul 6 petang. Alhamdulillah pendapatan yang kami terima cukup untuk menampung kehidupan kami," kata Z. Lokman dalam nada yang cukup gembira kala diajak berbual mengenai perniagaan yang diceburinya itu.

Meskipun pada mulanya, Z. Lokman agak berat untuk menceritakan sebab dia beralih angin, akhirnya beliau akur.

Semuanya bermula selepas beliau kecewa dengan kerenah birokrasi yang berlaku di RTM dan TV swasta.

Layanan bagaikan orang asing yang diterima oleh Z. Lokman daripada pengusaha stesenTV menyebabkan dia rela menjual goreng pisang daripada menjadi 'peminta sedekah' dan meraih simpati.

Z. Lokman turut mengakui, hatinya benar-benar terguris selain merajuk dengan pihak televisyen.

Masakan tidak, selepas hampir tiga dekad mengarah, alih-alih namanya disenaraihitam oleh stesen TV kerana mereka mahukan pengarah yang muda-muda.

"Apa salah saya? Saya tidak pernah buat drama atau filem yang tidak senonoh. Saya kecewa sangat-sangat apabila beberapa orang produser yang membawa proposal saya ke stesen TV swasta dan RTM, keputusannya, cadangan itu ditolak.

"Bukan itu sahaja, malah saya sendiri pernah membawa proposal saya dan mereka tolak mentah-mentah, kerana yang akan mengarah drama itu ialah saya, Z. Lokman.

"Tetapi yang pelik dan kelakarnya, apabila proposal itu ditukar nama (tajuk drama dan pengarah) mereka terima pula. Sah-sah drama itu sudahpun ditayangkan di TV," ceritanya dalam nada penuh sinis.

Bagaimanapun, katanya, setelah hampir tiga tahun menjual goreng pisang di stesen komuter, minatnya pada bidang pengarahan tiba-tiba tercetus semula.

"Ketika itu saya terfikir, kenapa saya jadi bodoh. Kalau orang di negara sendiri tidak menghargai bakat saya, lebih baik saya pergi ke negeri orang.

"Akhirnya saya ke Filipina. Saya ada kawan di sana dan tanpa diduga saya diberi peluang mengarah drama Sanip berbahasa Tagalog sebanyak empat episod. Drama itu telahpun ditayangkan di GMA Station.

"Kemudian saya menjalankan kajian tentang pasaran filem di sana. Tiga tahun saya buat kajian dan bila mengetahui filem-filem yang mereka minat saya beli dan pasarkan filem Melayu di sana," kata Z. Lokman mengenai bidang baru yang sangat disenanginya.

Antara filem-filem Melayu yang dibeli dan ditayangkan di sana ialah Jangan Pandang Belakang, Congkak, Pontianak Harum Sundal Malam, Longkong, Jin Hutan, Cicakman dan Duyong.

"Sebenarnya filem-filem Melayu boleh dimainkan di sana tapi untuk mencapai box-office susah sikit sebab saya tidak melakukan proses alihsuara filem itu.

"Saya sekadar beli dan menayangkan di sana dalam sarikata bahasa Inggeris. Kalau dialih ke bahasa Tagalog memang dapat sambutan tetapi mana saya nak cari duit sebab prosesnya mencecah RM4,000 untuk satu salinan," Z. Lokman berkongsi kekangan yang dihadapinya.

Sesudah mengetahui selera masyarakat di sana terhadap filem, Z. Lokman bersama rakannya dari Artistik Picture Sdn. Bhd. menerbitkan filem Toyol Nakal dengan dana Finas sebanyak RM1 juta.

Dengan bajet RM800,000, beliau menerbitkan Toyol Nakal dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Tagalog.

Untuk tayangan di Malaysia, Toyol Nakal dibintangi Joey, Julia Ziegler, Abon, Mr. Os dan Asan.

Sementara tayangan di Filipina dengan bahasa Tagalog ia dibintangi oleh Bong Navaro, Roldan Aquino. Ira Santos dan Desy Osey.

"Saya sekadar tukar watak hero untuk kedua versi itu. Sementara watak-watak lain saya menggunakan pelakon Malaysia yang akan menjalani rakaman suara menggunakan bahasa Tagalog.

"Saya mengekalkan pelakon pembantu dan tambahan orang Malaysia kerana wajah mereka hampir sama dengan orang Filipina.

"Walaupun orang-orang di stesen TV memandang rendah pada saya, Alhamdulillah dengan satu bajet 'pengarah tua' ini boleh buat filem dua versi," tegasnya menyindir pihak-pihak yang selama ini skeptikal dengan kemampuannya.

Menurutnya, jika tiada aral melintang, Toyol Nakal yang menjalani penggambaran 25 hari di Filipina dan Malaysia boleh ditonton tahun ini juga.

Sepanjang kerjayanya sebagai pengarah dengan 30 judul filem arahannya, seingat Z. Lokman hanya empat buah filem yang gagal di pawagam iaitu Jauh Di Sudut Hati, Azam, Mendam Berahi dan Anak Niat.

Filem-filem lain seperti Janda Meletup, Cikgu Sayang, Penyu, Minah Manja dan Awang Spanar mendapat sambutan ketika ditayangkan di pawagam.

Teori Z. Lokman diciplak

Sebagai manusia biasa, Z. Lokman tidak terlepas daripada menyedari namanya sering menjadi bahan ketawa segelintir karyawan filem.

Namun, semua itu tidak pernah menjejaskan minat dan kreativitinya.

"Sebenarnya saya tahu, ada pengarah yang bercakap kalau Steven Spielberg jumpa saya mesti menangis dan tabik pada saya sebab kreativiti saya tidak masuk akal.

"Walaupun ada kawan-kawan yang menganggap itu satu penghinaan, tetapi saya tidak kerana saya dapat tahu akhirnya mereka pakai juga cara kerja Z. Lokman apabila menghadapi masalah birokrasi," cerita Z. Lokman sambil ketawa.

Menurut Z. Lokman, sebagai pengarah yang sudah 30 tahun bergelumang dalam bidang tersebut matlamatnya hanya satu iaitu tidak mahu merugikan penerbit.

Sebab itu tidak hairanlah apabila berdepan dengan ragam birokrasi dalam mendapatkan kelulusan untuk menggunakan tempat-tempat tertentu dalam babak-babak filem arahannya, Lokman mengambil jalan mudah.

"Bayangkan kadangkala kita sudah mendapat kelulusan untuk menggunakan penjara atau lokap tetapi di saat akhir tidak dapat kerana sebab-sebab tertentu.

"Bagi pengarah lain mungkin ia memberikan masalah dan akan mengganggu mereka. Tetapi bagi saya amat mudah kerana yang penting babak itu mesti siap. Saya guna apa saja cara yang mudah untuk dilakukan," katanya mengenai strategi kerja pengarahannya.

Sebagai contoh, Z. Lokman akan mengambil pendekatan tersendiri untuk memastikan babak dalam penjara dapat dilaksanakan andai tidak mendapat kelulusan daripada pihak berwajib.

Merujuk kepada sebuah filem arahannya, cara yang dilakukan oleh Z. Lokman mengarahkan krew teknikal mengatur light stand di sebuah restoran.

"Waktu itu saya berada di sebuah restoran di Nilai. Saya tengok warna temboknya sama dengan penjara, saya mengarahkan krew mengatur light stand dan jurukamera memberi fokus kepada muka pelakon di depan light stand yang kelihatan seperti pintu besi penjara," Z. Lokman menjelaskan cara beliau mengatasi masalah.

Bukan itu sahaja, malah banyak juga kreativiti yang diambilnya untuk mengatasi setiap masalah yang timbul apabila di saat akhir tidak dapat lokasi.

Contoh lain, dalam filem Mendam Berahi menerusi babak kereta bergerak laju.

Sebetulnya dalam babak itu kata Z. Lokman, kereta tersebut tidak bergerak. Yang bergerak cuma tiang kayu.

"Mengenai babak-babak bas dan kereta meletup dalam babak filem itu, saya tahu ramai mempertikaikannya dan melabelkan saya pembohong, saya tak marah.

"Saya bukan pembohong tetapi saya menggunakan akal fikiran saya. Caranya mudah saja, saya ke Filipina dan membeli American negative dari filem Combat dan Speed. Dengan hanya RM12,000 saya dapat shot-shot yang menarik, salah ke," katanya mempersoalkan sikap kurang senang segelintir karyawan filem terhadap pendekatannya berkarya.

Dalam soal ini katanya, dia bersetuju dengan pendapat seorang pengarah yang mengatakan film maker is a cheater (pembikin filem adalah penipu) dan kita kena kerja dengan bijak, bukan kerja keras.

"Cheater bukan bermaksud menipu tetapi cara kita mengatasi masalah di lokasi dan yang penting kita tidak melanggar hukum hakam dan dari segi logik penggambaran. Hasilnya memang menakjubkan," cerita Lokman sambil ketawa penuh bangga.

Nasihat pada FDAM

Sebagai orang lama dalam gelanggang perfileman, Z. Lokman tidak terlepas menyuarakan pandangannya mengenai perkembangan yang berlaku ketika Mesyuarat Agong Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) baru-baru ini.

Bersyukur kerana statusnya sebagai ahli seumur hidup diterima FDAM, namun ada satu perkara yang dibimbangkannya.

Katanya: "Cuma saya tidak faham mengapa mesti ada tembok pemisah dan kasta dalam persatuan ini."

Perkara itu disuarakan Z. Lokman selepas dia mendapat khabar sesetengah pihak yang tidak mencapai impian menjadi presiden persatuan itu mahu menubuhkan persatuan baru yang dianggotai oleh pengarah filem sahaja.

"Kononnya mereka mendakwa, FDAM dianggotai oleh pengarah drama sahaja. Saya nak tanya mereka, berapa ramai pengarah filem," tegas beliau.

Kata Z. Lokman, kalau benar pihak-pihak tertentu mahu tubuhkan persatuan pengarah filem, kebanyakan mereka bukan pengarah filem, sebaliknya pengarah kamera digital berteknologi tinggi (HDV) seperti video juga yang kemudian dipindahkan ke filem.

"Kalau pengarah filem betul, mereka mesti guna kamera 35 mm. Hakikatnya, semuanya sama, jadi tidak harus ada perpecahan," jelasnya lagi.

Justeru, sebagai 'orang tua' dalam bidang ini, nasihat Z. Lokman ialah persatuan yang ada harus diperkasakan dan janganlah ada pihak yang mengamalkan sikap beza membeza hanya kerana kejar jawatan.

"Kalau kita sesama kita tidak menghormati satu sama lain, macam mana orang luar terutama pihak stesen TV mahu menghormati kita," kata Z. Lokman mengakhiri perbualan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.