saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 19/01/2010

Warna-warni kehidupan dan ragam manusia di New Delhi

SALAM dari New Delhi.

Semalam ruangan ini sepatutnya hadir seperti biasa. Namun, kita sebagai manusia hanya mampu merancang. Penulis tidak sempat untuk berkomentar di ruangan ini kerana kesuntukan masa pada hari Ahad lalu bagi membuat persiapan ke New Delhi sempena lawatan rasmi lima hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara India mulai hari ini. Akhbar Hindustan Times dalam ruangan India this week telah menyenaraikan lawatan Perdana Menteri itu di bawah tajuk 19.0110 Malay PM's visit. Pada Ahad yang sama juga, penulis terpaksa mendaftarkan anak secara sukarela untuk memasuki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Terima kasih kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) kerana memberi peluang kepada hampir 2,000 orang yang memohon secara sukarela untuk menyertai program itu. Mungkin terima kasih juga kepada jumlah yang sama yang tidak dapat menyertai program tersebut atas pelbagai sebab. Pada hari yang sama juga, penulis turut berkongsi kesedihan dengan anak buah penulis iaitu Khalid Saad yang terpaksa menerima hakikat pemergian isterinya Faridah Hashim yang juga wartawan yang pernah bersama-sama penulis di akhbar tabloid Bintang Timur, di Pulau Pinang. Kepada Khalid dan keluarga, semoga tabah menghadapi dugaan ini. Itu sudah menjadi ketetapan Ilahi. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin!

Kita yang masih berusia di muka bumi ini harus terus berusaha untuk hidup, mensyukuri apa yang kita ada dan berusaha untuk memperbaiki keadaaan. Dalam kita sedih dan berduka, masih ramai yang lebih berduka. Dalam keadaan kita susah, masih ramai di luar sana yang hidup mereka terlalu susah dan daif. Pengalaman mengajar kita untuk mensyukuri apa yang ada dan memperbaiki apa yang perlu demi masa depan. Dan walaupun baru sehari berada di New Delhi, ia cukup untuk mengatakan bahawa 'hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri'.

Rasanya tidak perlu untuk menceritakan suasana di ibu negara India ini. Takut-takut ada yang terasa hati. Datang dan lihatlah sendiri. Mungkin bagi peminat sukan boleh menjenguk New Delhi pada bulan Oktober ini semasa temasya Sukan Komanwel. Hakikatnya, India sebuah negara menarik untuk dilawati kerana menyimpan banyak tempat bersejarah sama ada di New Delhi, Old Delhi serta tempat-tempat lain seperti Agra yang terkenal dengan binaan Taj Mahal.

Berada di New Delhi, pelbagai 'warna dan wajah' kehidupan warganya dapat dilihat. Di atas jalan raya, semua jenis kenderaan ada di situ. Basikal, motosikal, beca roda tiga, teksi roda tiga, kereta, bas, lori dan sebagainya bergerak pantas seperti mahu mengejar sesuatu.

Pada kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan) ketika penulis dalam perjalanan ke Hotel Taj Palace, boleh dilihat bagaimana pergerakan kenderaan yang begitu pantas di atas jalan raya. Apabila diajukan soalan kepada pemandu yang membawa kami, beliau secara spontan berkata; ''Di atas jalan raya kenderaan macam permainan komputer". Maksudnya jelas. Tidak perlu diulas.

Semalam, disebabkan cuaca di luar begitu sejuk, penulis dan beberapa rakan yang lain terpaksa mengajak, Azhar pemandu kereta sewa sebuah agensi pelancongan mencari jaket kulit. Beliau membawa kami ke sebuah kedai milik orang Islam, Hassan Imam di Mohammadpur. Sebuah kedai kecil tetapi mempunyai pelbagai jaket dan sarung tangan kulit yang dibuat oleh orang Islam. Harganya agak berpatutan.

Selepas itu, kami meronda kawasan persekitaran New Delhi dan sempat singgah di kawasan Parlimen, Istana Presiden, India Gate dan Humayun Tomb. Di atas jalan raya, sekali lagi dapat menyaksikan kesibukan warga India, lebih teruk pada waktu siang berbanding malam. Tambahan pula, ada raptai perarakan ulang tahun kemerdekaan oleh anggota tentera India. Di atas jalan raya, pengangkutan awam seperti bas menampilkan pelbagai rupa. Ada yang baik dan ada yang uzur. Tidak seperti wajah bas di negara kita seperti RapidKL atau RapidPenang. Ada bas yang di sebelah pemandunya tidak ada pintu. Namun sesuatu yang menarik apabila melihat panorama di tepi-tepi jalan yang mempamerkan pelbagai ragam manusia daripada kanak-kanak kecil sehinggalah kepada orang dewasa atau warga tua. Di atas jalan yang sibuk itu, kanak-kanak bermain dan ada pula yang merayau-rayau di atas jalan raya. Beberapa projek kecil seperti kawasan pejalan kaki kelihatan pekerjanya bagaikan sebuah keluarga kerana kumpulan kecil itu menggabungkan pasangan lelaki dan wanita yang mungkin suami isteri serta anak-anak. Begitulah kesungguhan mereka untuk bekerja. Bayangkan keadaannya di negara kita Malaysia. Pastinya, ramai orang luar yang mengejar peluang pekerjaan itu.

Ketika perut mula berkeroncong, pemandu mengajak kami untuk makan di restoran Kassem di Jalan Ghalib. Katanya, makanan halal dan sedap. Di kawasan berkenaan, tidak nampak kedai makan di situ. Azhar meletak kereta di tepi jalan dan mengajak kami melalui satu lorong kecil tetapi besar sedikit daripada Lorong Line Clear yang popular dengan nasi kandar di Pulau Pinang. Di lorong itu ada pelbagai jenis perniagaan termasuk makanan seperti roti, daging panggang, serta daging kambing dan lembu. Ada juga kambing hidup yang ditambat atau berkeliaran untuk dijual. Setelah beberapa lama berjalan kaki dan menyaksikan pelbagai ragam manusia yang menjual di situ, malang sekali, Restoran Kassem tutup pada hari Isnin. Akhirnya Azhar membawa kami ke sebuah restoran di Pandara Road Market. Ramai pelancong di situ. Di luar restoran, boleh dilihat lagi pelbagai ragam manusia yang mencari rezeki halal. Orang dewasa menjual buku, poskad dan barang mainan sementara kanak-kanak pula membuat aksi jenaka dengan muka mereka diconteng dan sekali sekali membuat aksi akrobatik. Ada juga yang membuat pertunjukan ular. Semua aktiviti itu menjadi punca rezeki. Bak kata orang di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Lebih-lebih lagi bagi sebuah negara seperti India yang mempunyai jumlah penduduk yang besar iaitu 1.2 bilion.

Begitulah serba ringkas kehidupan di India. Biar betapa susahnya kehidupan, mereka mempunyai keazaman untuk terus hidup. Melakukan sesuatu yang boleh menjadi punca rezeki mereka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.