saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/01/2010

Bedah Siasat Ke-2: Beng Hock dibunuh atau bunuh diri?

KES Teoh Beng Hock, bekas wartawan yang kemudian bergelumang dalam politik cukup menjadi perhatian ramai. Dia ditemui terjatuh dan mati dari bangunan Masalam, Shah Alam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas soal-siasat dijalankan pada 16 Julai tahun lalu.

Maka itu, riuhlah satu Malaysia. Ramailah yang tumpang sekaki membuat pelbagai cerita dan analisis. Keputusan bedah siasat selepas kejadian itu mendapati Beng Hock mati mengejut, atau dalam istilah biasa beliau terjatuh dengan sengaja dan mati, atau dalam istilah lain bunuh diri(?).

SPRM pun nampak gelabah juga, kerana Beng Hock mati selepas dalam kawalan mereka. Orang mula letak curiga ke atas SPRM. Tidak semena-mena badan itu pun mula rasa bersalah atau nampak macam orang bersalah, walaupun ia agak tenang.

Kerajaan pun tertekan juga.

DAP dan lain-lain dalam pakatan pembangkang adalah pihak yang paling kuat riuh. Bola tanggung dalam tangan mereka. Seperti biasa mereka meminta Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.

Atas desakan itu, dan kerajaan pun mungkin mahu dilihat telus, maka tertubuhlah Inkues (Kematian) Teoh Beng Hock. Inkues, atau siasatan itu dibuat bagi menyiasat punca kematian pemuda berusia 30 tahun itu.

Hasil dari situ, pihak pembela membawa masuk seorang pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand. Bermulalah drama yang menarik. Kemunculan Dr. Pornthip menjadi perhatian media. Dengan stailnya ala artis Siam, beliau memberitahu inkues itu bahawa Beng Hock bukan mati membunuh diri, sebaliknya ‘‘80 peratus yakin Beng Hock dibunuh’’. Wah, makin menariklah kes itu.

Pendedahan itu, hasil analisis Dr. Pornthip ke atas gambar-gambar kematian Beng Hock di tempat kejadian, telah mendapat perhatian media satu dunia.

Berdasarkan kepada gambar, Dr. Pornthip memberitahu, mangsa mungkin ‘‘dicekik’'. Malah Dr. Pornthip bertegas bahawa Beng Hock menjadi ‘‘mangsa penderaan kerana ada kesan luka pada dubur akibat tusukan objek keras.”

Dr. Pornthip juga berkata, tengkorak kepala Beng Hock tidak mirip mangsa yang jatuh tetapi lebih kerana dipukul dengan kuat.

Melihatkan kepada keterangan Dr. Pornthip itu, seolah-olah SPRM ini atau sesiapa saja yang membunuh Beng Hock sebagai terlalu kejam.

Internet, yang didalangi oleh pihak-pihak tertentu terus mensensasikan penemuan Dr. Pornthip itu.

Semua pihak mula menuding jari ke atas SPRM. Kerajaan menjadi lagi tertekan. SPRM dituduh membunuh saksi selepas menyiasat satu kes penyelewengan membabitkan beberapa pemimpin kerajaan negeri Selangor.

Tujuan baik SPRM membongkar kes penyelewengan itu - yang menjadi tanggungjawabnya sebagai agensi pencegah rasuah - kini menjadi sebaliknya. SPRM dilihat orang jahat.

Maka itu, Dr. Pornthip mencadangkan supaya mayat Beng Hock digali semula dan bedah siasat kedua dilakukan. Beliau sendiri mahu menjalankan bedah siasat itu sendiri.

Inkues bersetuju dengan cadangan Dr. Pornthip, tapi bukan dia yang akan membedah mayat itu. Syarat di Malaysia mengkehendaki pegawai perubatan itu harus berdaftar dengan Majlis Perubatan negara ini.

Pada 22 November lalu autopsi atau bedah siasat kedua dijalankan oleh Ketua Jabatan Patologi dan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr. Shahidan Md Noor.

Autopsi itu disaksikan oleh Dr. Pornthip dan wakil bagi pihak SPRM iaitu pakar forensik, Prof. Dr. Peter Vanezis dari Pusat Sains Forensik Cameron, United Kingdom serta Dr. Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberker.

Sehingga kolum ini ditulis keputusan autopsi itu belum diketahui. Rakyat mula resah gelisah mahu tahu sama ada Beng Hock mati kena bunuh atau membunuh diri.

Setelah kerajaan membelanjakan banyak wang rakyat bagi mengadakan inkues itu, rakyat dan keluarga Beng Hock sendiri berhak mengetahui keputusannya dengan segera.

Kita tidak pasti siapa yang melambat-lambatkan keputusannya.

Tapi nampaknya inkues Jumaat ini akan mendengar hujah yang lain dahulu; iaitu saman pihak pembela terhadap seorang anggota SPRM, Raub Ghani kerana dikatakan menghina mahkamah. Raub membuat repot polis atas dakwaan Dr. Pornthip membocorkan rahsia keputusan bedah siasat itu kepada akhbar organ PKR, Suara Keadilan.

Suara Keadilan menerbitkan satu berita bertajuk: Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh.

Pihak pembela mendakwa tindakan Raub membuat laporan polis itu ‘‘adalah salah kerana telahpun menghina, dengan amat serius sekali’' mahkamah yang mendengar inkues itu. Pembela dalam afidavitnya mendakwa tindakan Raub yang mempersoalkan Dr. Pornthip itu sebagai ‘‘membawa ugutan jenayah’' kepada doktor Thailand itu.

Adakah kerana ‘‘ugutan jenayah’’ akan memungkinkan Dr. Pornthip yang kini berada di Bangkok enggan datang ke mari kerana takut dan pendengaran keputusan bedah siasat itu juga akan tertangguh.

Persoalannya, apakah berita yang kononnya dibocorkan itu dan disiarkan oleh Suara Keadilan tersebut ‘‘adalah keputusan sebenarnya?''

Rakyat sedang menanti dengan debaran. Kita harap pihak majistret inkues akan memanggil Pakar Forensik Hospital Sungai Buloh untuk membentangkan keputusannya segera.

Selagi keputusan itu dilengahkan, selagi itulah undang-undang negara dinafikan. Cepatlah Tuan Majistret, kami menunggu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:59
Zohor 1:21
Asar 4:23
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.