saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/01/2010

Semangat bebaskan Baitulmaqdis


Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan peserta Persidangan Agung Untuk Pembelaan Baitulmaqdis di Kuala Lumpur, kelmarin.


PERSIDANGAN Agung Untuk Pembelaan Baitulmaqdis berlangsung di Kuala Lumpur Rabu lalu. Misinya untuk mendapatkan sokongan masyarakat dunia bagi membebaskan kota suci Baitulmaqdis dan bumi Palestin daripada rejim Israel.

Kuala Lumpur menjadi lokasi persidangan tersebut kerana persidangan berkenaan merupakan idea bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penyelaras persidangan tersebut, Dr. Said Khaled El-Hassan yang pernah bertemu dengan Dr. Mahathir pada tahun 2002 berkata, usaha untuk mewujudkan persidangan tersebut sudah bermula sejak lebih 10 tahun lalu dengan objektif untuk merangka sebuah pelan yang disokong oleh pelbagai kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membebaskan Baitulmaqdis.

''Membebaskan Baitulmaqdis bererti mengembalikan bumi Palestin kepada warga Palestin. Kita perlu menjelaskan kepada masyarakat dunia bahawa tidak ada pihak yang boleh menghalang rakyat Palestin daripada hidup secara aman di tanah air mereka sendiri

''Semua pihak wajib menyokong pembebasan Baitulmaqdis dan adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mempertahankan tanah, masyarakat dan kesucian kota tersebut," katanya ketika berucap dalam persidangan itu yang dianjurkan oleh PGPO.

Tambah Said Khaled, Baitulmaqdis merupakan kota suci yang pernah dilawati oleh tiga orang nabi iaitu Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW di mana baginda naik ke syurga dari kota ini.

''Perjalanan baginda ke syurga yang bermula dari Baitulmaqdis menjadikan kota suci berkenaan sebagai simbol penyatuan antara kehidupan manusia dan alam syurga," jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PGPO kerana sudi memperjuangkan isu Baitulmaqdis dan pembebasan warga Palestin.

''Perjuangan kedua-dua isu berkenaan membolehkan sebuah bangsa menikmati hak untuk hidup dengan aman di tanah air sendiri tanpa perlu berhadapan dengan sebarang penindasan," katanya.

Baitulmaqdis yang dikenali sebagai Al-Quds merupakan kota suci ketiga bagi umat Islam. Ia menjadi kiblat pertama umat Islam dan merupakan tanah yang diturunkan ramai para Nabi sebagai utusan.

Kota itu juga dianggap sebagai kota suci bagi penganut agama Kristian dan Yahudi.

Konflik Asia Barat bermula pada 1967 apabila Israel menyerang Palestin dan menawan Baitulmaqdis.

Israel turut merampas tanah rakyat Palestin di Baitulmaqdis termasuk kota lama yang menempatkan Masjid al-Aqsa.

Sementara itu, Dr. Mahathir dalam ucaptama bagi persidangan berkenaan berkata, masyarakat Palestin dianiaya apabila tanah air mereka diberikan kepada masyarakat Yahudi untuk membentuk sebuah negara Israel.

''Masyarakat Yahudi sering menimbulkan masalah di negara-negara Eropah. Biarpun selepas pembunuhan beramai-ramai oleh Nazi di Jerman, mereka terus menjadi masalah kepada dunia.

''Oleh itu, mewujudkan sebuah negara untuk mereka dilihat sebagai penyelesaian yang baik. Namun jika mana-mana wilayah di benua Eropah dipilih sebagai negara Yahudi, orang Eropah pasti akan membunuh mereka. Timbul pula debat untuk mewujudkan negara Israel di Uganda, Afrika atau Amerika Latin dan Palestin. Adalah mudah untuk memilih Palestin, sebuah negara di bawah mandat British," jelas beliau.

Tambah Dr. Mahathir, Palestin berkemungkinan pernah menjadi sebahagian daripada negara Sham atau Syria ketika zaman Empayar Othmaniyah. Bagaimanapun, Perancis dan British kemudiannya membahagikan Sham kepada beberapa negara termasuk Palestin. Palestin kemudiannya diberikan mandat kepada British.

''Pada asalnya, Palestin dihuni oleh puak Kaniyah dan Yahudi merampas bumi Palestin daripada mereka. Masyarakat Palestin pada hari ini merupakan keturunan golongan Kaniyah. Oleh itu, dari segi sejarah, warga Palestin lebih berhak ke atas bumi Palestin daripada Yahudi Mesir yang cuma menjajah dan memerintah negara tersebut.

Berdasarkan mandat British, wilayah berkenaan adalah milik Arab Palestin dan bukannya Israel atau Yahudi," katanya.

Selepas bebas daripada Empayar Othmaniyah, British diberikan mandat untuk 'memegang bumi' Palestin sehingga masanya tiba untuk mengembalikan wilayah itu kepada penduduk asalnya iaitu bangsa Arab Palestin.

Bagaimanapun, British memungkiri janji apabila memberikan wilayah berkenaan kepada Yahudi.

Jelas Dr. Mahathir, rampasan bumi Palestin untuk mewujudkan negara Israel menyebabkan pembunuhan dan penyingkiran warga Palestin dari tanah air mereka sendiri. Perkara ini dilakukan dengan disaksikan oleh seluruh masyarakat dunia.

''Kini sudah lebih enam dekad rakyat Palestin hidup sebagai pelarian di bumi sendiri. Mereka tidak mempunyai cara lain untuk berjuang dan mendapatkan kembali bumi mereka. Mereka ada meminta bantuan Liga Arab, namun negara-negara anggota liga berkenaan bukanlah tandingan bagi Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis.

''Akibatnya Palestin terus ditindas dan dihina. Mereka kehilangan lebih banyak tanah kepada Israel. Apa yang tinggal hanyalah Pihak Berkuasa Palestin. Rakyat Palestin tidak dibenarkan menggunakan jalan raya yang dibina di atas tanah mereka," kata Dr. Mahathir.

Jelas beliau, dunia boleh tidak menghiraukan perang ini dan mengharapkan agar ia akan berhenti satu hari nanti. Tetapi perjuangan warga Palestin untuk mendapatkan tanah air mereka kembali tidak akan berakhir. Sebaliknya, ia melahirkan sesuatu yang baru dan negara Barat memilih untuk menamakannya sebagai keganasan.

''Seandainya musuh masyarakat Palestin menyangka mereka boleh memadamkan semangat warga Palestin, itu adalah tanggapan yang salah sama sekali. Masyarakat Palestin tidak pernah menyerah, sebaliknya semangat mereka bertambah kuat dari sebelumnya.

''Rakyat Palestin akan terus menuntut keadilan dan hak mereka biarpun perjuangan berkenaan akan mengambil masa seabad atau lebih daripada itu," tambah Dr. Mahathir.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.