saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 23/01/2010

Sungai Melaka tercemar


JALANI Harun menunjukkan bangkai ikan akibat air Sungai Melaka tercemar menyebabkan dia dan rakannya, Nor Zaini Hamzah kehilangan punca rezeki tambahan.


MELAKA 22 Jan. -- Sungai Melaka yang terletak di tengah bandar raya ini kini menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan negeri sebagai destinasi pelancongan.

Setiap cuti hujung minggu dan cuti umum, tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara adalah menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki Bot Melaka River Cruise dan Teksi Air.

Walaupun dihimpit pembangunan, sungai yang mengalir di tengah-tengah bandar raya ini masih mampu menghasilkan pendapatan lumayan kepada kerajaan negeri setelah dinaik taraf sebagai produk pelancongan utama.

Di samping itu, penduduk yang tinggal di sepanjang sungai tersebut masih mampu mencari rezeki dengan sumber ikan yang terdapat sejak dahulu hingga sekarang.

Tidak hairanlah Sungai Melaka mendapat perhatian daripada Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) yang memastikan kebersihan sungai itu terus dijaga sepanjang masa.

Sungai yang menghubungkan pelbagai jalan air ini terutamanya di Jalan Pengkalan Rama yang kini menjadi laluan utama perkhidmatan Melaka River Cruise.

Agak mengejutkan, Sungai Melaka yang dikatakan bersih daripada segala jenis bentuk pembuangan sampah dan sisa pepejal sebenarnya mengalami masalah pencemaran.

Akibat pencemaran yang berlaku di bawah jambatan Tun Razak dekat Bachang hari ini, mengakibatkan ratusan bangkai ikan dan hidupan akuatik ditemui di sepanjang satu kilometer sungai tersebut.

Kejadian itu disedari oleh penduduk di kawasan berhampiran yang mendakwa pencemaran sungai menjadi punca ratusan ikan dan hidupan akuatik mati dan sekali gus menjejaskan sumber rezeki mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati spesies ikan yang ditemui mati ialah tilapia putih dan lampam.

Seorang penduduk, Jalani Harun, 43, berkata, kejadian tersebut disedarinya ketika hendak turun ke sungai untuk menjala ikan.

''Sebaik tiba di tepi sungai, saya terkejut melihat ratusan bangkai ikan dan hidupan akuatik di sepanjang sungai sejauh satu kilometer.

''Saya begitu terkejut apabila mendapati ikan berlonggok di tepi tepi air dan saya lihat sepanjang sungai ini, ikan-ikan sudah mati," katanya ketika ditemui di sini.

Sejak semalam, katanya, dia merasa pelik melihat banyak ikan timbul di permukaan air.

''Selalunya saya perlu menjala tetapi semalam kami hanya menangkap ikan-ikan menggunakan tangan.

''Jumlah keuntungan semalam juga berlipat ganda kerana banyak ikan dapat ditangkap dan ia berada dalam keadaan yang elok sekali," katanya.

Jalani berkata, dia tidak menolak kemungkinan sungai itu tercemar kerana pembuangan sisa toksik daripada kilang berhampiran yang menjadi punca ratusan bangkai ikan ditemui.

''Bukan mahu menuduh tetapi kejadian yang kerap berlaku ini menjadi tanda tanya saya dan rakan-rakan lain.

''Walaupun menjala ikan bukanlah pekerjaan tetap saya tetapi ini membantu saya mencari sumber rezeki yang halal.

''Ikan-ikan yang dijual juga perlu berada dalam keadaan yang baik dan jika ia mengalami masalah, saya tidak dapat menjual ikan-ikan tersebut," kata Jalani.

Seorang lagi penduduk yang menjadikan menjala ikan sebagai sumber rezeki tambahan, Nor Zaini Hamzah, 26, berkata, kejadian ini tidak seharusnya berlaku.

Menurutnya, Sungai Melaka sudah terkenal dengan kebersihannya dan menjadi habitat semulajadi ikan-ikan tersebut.

''Selain itu, saya juga mencari sedikit rezeki tambahan di sungai ini dan apabila melihat ratusan bangkai ikan saya benar-benar terkejut," ujarnya.

Nor Zaini berkata, ikan yang mati bukan sahaja boleh menyebabkan punca rezeki hilang tetapi boleh mengakibatkan pencemaran bau.

''Sungai ini amat berdekatan dengan perumahan sekitar Bachang dan Taman Arbi. Jika bangkai ikan dibiarkan di situ, ia akan menjadi busuk dan menganggu ketenteraman orang awam,"katanya.

Sehubungan itu, dia meminta pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak individu atau kilang yang menyebabkan berlakunya pencemaran di sungai tersebut.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.