saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 24/01/2010

Cinta & air mata Putei Sarah




RAUT wajah comelnya diperkenalkan menerusi iklan Silky Girl dua tahun lalu. Iklan yang berlatar belakangkan ruangan menunggu di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu menarik perhatian kerana ada elemen humor. Watak seorang ‘jurugambar wanita’ berbaju kurung yang sanggup memanjat tangga untuk mendapatkan sudut menarik dek terpesona dengan kecantikan gadis di hadapannya benar-benar mencuit hati.

Iklan itu sebenarnya pasport buat Puteri Sarah Liyana untuk terjun ke bidang seni. Wajahnya menjadi idaman bukan sahaja di kalangan agensi pengiklanan malah turut disenangi pembikin filem. Kehadiran Sarah bagaikan satu fenomena sewaktu industri memerlukan muka baru yang mempunyai pakej lengkap.

Wajah komersial gadis berdarah kacukan Afghanistan dan Siam ini menjadi sebutan meski pun tiada siapa yang tahu latar belakangnya. Sarah mula menerima bahana populariti di sebalik kejayaan iklan itu. Sarah juga mula dihujani tawaran daripada penerbit tempatan untuk menjayakan drama Pendekar 5, Dendam, Kisah Yusof dan Sari Maya 2.

Terbaru, Sarah berpeluang untuk menjayakan sebuah lagi iklan berdurasi seminit untuk Telekom Malaysia (TM) yang menampilkan dirinya sebagai watak utama. Iklan yang menggunakan tema lagu The Show oleh penyanyi kelahiran Australia, Lenka itu sekali lagi menaikkan nama Sarah meski pun masih ada yang tidak mengenalinya.

Itu semua adalah rezeki. Anak kelahiran England ini sendiri tidak menyangka perjalanan dunia seninya sebegitu mudah. Selepas dikenali dalam industri pengiklanan, Sarah ditawarkan untuk berlakon dalam filem Aduh Saliha yang diarahkan oleh seniman M. Nasir.

Meskipun terdapat masalah untuk menjayakan filem terbitan Camaraman Productions itu, namun Sarah akui ada hikmah di sebaliknya apabila tawaran berlakon tidak henti datang kepadanya.

Itu termasuk filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie yang bakal ditayangkan pada 11 Februari ini. Sarah berganding dengan Juara Raja Lawak 2, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil sebagai pasangan kekasih. Filem komedi romantik arahan pengarah baru, Aminah Rhapor itu bukan sahaja sarat dengan elemen percintaan malah menyelitkan elemen kasih sayang adik beradik dan nilai kekeluargaan.

Selain Sarah dan Nabil, filem itu diserikan dengan penampilan sulung Mila AF, kumpulan Meet Uncle Hussain, Zizan Raja Lawak, Vanidah Imran, Liza Othman, Zaibo dan Hisham Ahmad Tajuddin.

Bermusuh dengan Mila

Bercerita tentang filem terbitan SDAF Pictures (M) Sdn. Bhd. itu, tiba-tiba sahaja anak sulung daripada empat beradik ini beremosi. Sarah dikatakan tidak berpuas hati dengan poster rasmi untuk promosi filem berkenaan. Ini kerana pihak produksi menggunakan wajah Nabil dan Mila AF sebagai senjata utama promosi filem berkenaan.

‘‘Sarah sangat ‘sentap’ bila melihat poster itu. Kenapa wajah Sarah tiada langsung sedangkan Sarah memegang watak utama dan bukannya Mila? Sarah berhak mempertikaikan kerana merasakan diri teraniaya apatah lagi Sarah memberi sepenuh komitmen. Tak kanlah ini saja yang Sarah layak terima?

‘‘Sarah adalah kekasih Nabil dalam filem ini sementara Mila hanya adiknya dan berlakon hanya enam adegan sahaja. Poster itu menggambarkan seolah-olah Sarah hanya pelakon pembantu manakala Mila adalah watak utamanya,” gerutu gadis ketinggian 5'5 ini.

Baginya, pihak produksi tidak boleh bersikap berat sebelah sekiranya mahu membandingkan populariti Sarah dengan Mila. Kedua-duanya mempunyai peminat tersendiri dan perbuatan sebegitu pasti mencetuskan pertanyaan di kalangan peminat bila mengetahui duduk perkara sebenar.

Bercerita lanjut tentang perkara tersebut, Sarah berkata pihak produksi ada memaklumkan tentang sesi fotografi poster itu dan memintanya memakai pakaian berwarna merah jambu. Namun, Sarah hanya dimaklumkan bahawa bajunya tidak bersesuaian pada saat-saat akhir, sedangkan dia tiada baju ganti.

“Sarah sangat kecewa dengan keadaan itu. Mereka beritahu Sarah, gambar yang dirakam pada hari berkenaan hanya digunakan untuk kad undangan dan siaran akhbar sahaja.

“Pada masa yang sama, Sarah tertanya-tanya mengapa pihak produksi tidak memberitahu terlebih awal apa yang dikehendaki mereka. Apatah lagi ia adalah filem pertama yang dibintangi Sarah. Kalau boleh, Sarah mahu ada kelainan sama ada untuk acara atau apa sahaja melibatkan Lu Pikirlah Sendiri The Movie ini,” katanya kesal.

Rawat imej tercalar

Sebagai artis berusia 25 tahun, Sarah bertuah kerana memiliki wajah yang sentiasa berubah setiap kali mengenakan mekap. Sebab itu sehingga ke hari ini ramai yang tidak mengenali Sarah jika bertembung di tempat awam. Kalau tegur pun, mereka menyebut beberapa nama pelakon yang mirip wajahnya.

Sarah sedikit pun tidak terasa. Baginya, kurang dikenali memberi ruang untuk lebih bernafas di tempat awam. Tidak perlu memikirkan pakaian yang sesuai dan mekap yang tebal bagi menunjukkan mereka dari kumpulan artis.

Apa yang membimbangkan Sarah apabila ada sesetengah pihak yang masih memandang serong terhadapnya berikutan penyebaran gambar bercumbu bersama kekasihnya, Ammar Alfian Aziz, 23, di Internet dua tahun lalu.

Sarah akui, mood dia akan berubah sekiranya ada individu memintanya bercerita tentang kisah tersebut. Baginya biarlah ‘kisah hitam’ menjadi sejarah. Tidak ada yang perlu diceritakan dan diungkitkan.

‘‘Apa yang pasti, Sarah belajar sesuatu daripada peristiwa itu. Jangan percaya orang dan perlu memilih kawan yang benar-benar boleh berkongsi dengan kita. Apa yang dipentingkan dalam persahabatan adalah kualiti berbanding kuantitinya,” katanya.

Mengimbas kembali selepas tersebarnya gambar aktiviti sosial berkenaan, Sarah berdepan dengan pelbagai rasa. Sedih, malu, marah, geram dan serabut fikiran.

Bagaikan seorang pesalah menjelaskan duduk perkara sebenar kepada bapa, Megat Kamarudddin Megat Samsuddin, 54, dan ibu, Faridah Puteh, 50. Selain itu juga mereka mengadap ibu bapa pelakon Tari Tirana, Ammar tentang perkara itu.

“Alhamdulillah, ia selesai tidak lama kemudian. Sebab itu Sarah bertindak untuk menyepikan diri dan tidak berbicara tentang kisah lampau. Sarah banyak berfikir, berhati-hati dalam memilih kawan dan matang. Selain itu, Sarah mengambil sikap tidak peduli dengan tohmahan oleh orang lain,” tegasnya.

Bercerita sedikit tentang hubungan cinta yang terjalin sejak Jun 2008, Sarah memberitahu mereka berdua seperti pasangan lain yang sedang bercinta. Ada pasang surutnya. Soal bermasam muka dan merajuk manja adalah perkara biasa. Mereka yakin semua rintangan dapat atasi dengan kepercayaan yang dibina.

‘‘Kami berdua masih muda. Sebab itu kami menanam impian untuk berjaya dalam bidang seni masing-masing. Ammar mahu realisasikan impian dalam pentas peragaan bertaraf dunia. Dia bakal terbang ke New York pada Mac depan untuk tujuan itu.

‘‘Begitu juga dengan Sarah. Sarah juga ada cita-cita. Soal kahwin atau tunang diketepikan sementara waktu. Biarlah kami mengumpul aset masing-masing dan mengukuhkan karier sebelum bercerita tentang soal kahwin,” katanya.

Tak boleh berpelukan

Janji Sarah, dia tidak akan terlalu mendedahkan kisah percintaan kepada umum. Ia juga seiring dengan pesanan ibu bapanya yang berulang kali mengingatkan agar kurangkan bercerita tentang kisah percintaan. Selain itu, Sarah dan Ammar juga ditegah untuk berposing berpeluk-pelukan bagi mengelak persepsi negatif di kalangan masyarakat.

‘‘Itu adalah syarat yang diberikan Mama dan Baba sekiranya Sarah mahu terus berkecimpung dalam bidang seni ini. Sarah kena kawal perlakuan dan percakapan. Kalau boleh, tidak mahu bercerita tentang kisah percintaan sahaja. Perlu diseimbangkan dengan kisah kerjaya,” kata Sarah yang melakonkan watak gadis Thai dalam drama bersiri Na-O-Mei yang ditayangkan di TV3.

Ia, bapa mana yang suka mendengar cerita buruk mengenai anak mereka dijaja ke merata tempat. Apatah lagi bapanya merupakan seorang ketua jabatan di sebuah syarikat swasta. Setiap imej yang dibawa Sarah, pasti bapanya turut terkena tempias.

Ada juga yang mempertikaikan kewibawaan dan tanggungjawab seorang ayah kerana tidak pandai menjaga anak perempuannya. Itu yang membuatkan Sarah sedih dan mengambil langkah berhati-hati pada masa depan.

Justeru, apa sahaja tindak tanduk Sarah kali ini perlu memikirkan air muka bapanya. Ia termasuk permintaan mereka yang mahu Sarah mengutamakan pelajaran meskipun mempunyai platform dalam bidang seni.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Kolej Taylor di Kelana Jaya ini juga mempunyai rancangan termasuk berhijrah ke luar negara. Sarah mahu menghabiskan pengajian yang bakal berakhir Januari 2011 dengan cemerlang.

‘‘Mama dan Baba pesan, artis dilihat tinggi pada pandangan masyarakat sekiranya berilmu. Tidak kiralah jenis kelulusan yang macam mana dimiliki. Asalkan ada kelayakan dan tidak hanya bergantung kepada tawaran lakonan semata-mata,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.